Khamis, 29 April 2010

Catatan Pengalaman Himega '10: Siri II

Dalam artikel yang lepas ada dibincangkan tentang cabaran di IPT yang menyebabkan pelbagai masalah dalam kehidupan seorang mahasiswa dan mahasiswi Islam, kali ini kita akan tengok pula faktor pelenyap kepada kesolehan itu sendiri. Faktor pelenyap kesolehan yang dapat melalaikan seseorang dari jalan tarbiyah dan dakwah.

Mengapa? Kesolehan dan kemuslehan adalah aset penting bagi seorang da'ie dan aktivis dakwah.

Bahkan, setiap muslim pasti tidak menginginkan keimanan dalam relung kalbunya mengalami kelemahan. Kelemahan ini akan terlihat dari kualiti amal ibadah dan kesolehannya, satu hal yang merupakan kayu ukur keimanan. Hal tersebut menunjukkan kenaikan atau penurunan keimanannya.

Oleh itu, setiap muslim tentu menginginkan kesolehan dan kebaikannya sentiasa wujud dalam ruangan keperibadiannya, dan kemudian menjelma dalam ruangan sosialnya. Namun, kesolehan dan kebaikan ini boleh bertahan, atau bahkan berkembang dengan ditentukan oleh keadaan keimanannya. Sejauh mana ia berusaha menyuburkan keimanannya dengan ketaatan dan kesolehan. Oleh itu, Rasulullah dalam sebuah hadisnya mengajarkan kepada kita sebuah doa sebagai berikut.

"Ya Allah, Engkau lah teman dalam perjalanan dan khalifah dalam keluarga. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari beratnya perjalanan dan keburukan keadaan, dari kekurangan setelah kesetabilan, dari doa orang yang terzalimi, dan dari buruknya pemandangan terhadap keluarga dan harta. "(HR. At-Tirmizi, hadis hasan sahih)

Dalam hadis ini, makna berlindung dari kekurangan adalah isyarat kepada setiap muslim untuk khusyuk berdoa agar keimanannya tidak mengalami penurunan, dan supaya kesolehan dan kebaikannya dari hari ke hari semakin berkembang dan berbuah.


Faktor Pelenyap Kesolehan.


1. Lemahnya Iman.

Sesiapa yang pernah merasai dan mengacapi nikmat dan manisnya iman, ia tahu bagaimana beruntungnya perasaan itu bila berada dalam diri.

Namun, seseorang yang tidak pernah merasainya, ia tidak pula merasakan bahawa iman adalah sesuatu yang penting untuk dipelihara. Manusia sebegini selalu terumbang- ambing dalam menghadapi kehidupan, malah tidak memiliki jati diri sebagai seorang Muslim sebenarnya.

Baginya, apakah pentingnya menjaga syaksiyah dalam mengajak manusia kepada Allah, apakah utamanya mengikut syarak dalam sesuatu perkara dan apakah pentingnya menjaga kesucian hati itu sendiri.

Imam Syafie Rahimahumullah berpesan, "Hati- hati yang tidak disucikan tidak boleh menyucikan hati- hati orang lain."

Maka, lemahnya iman ini sebenarnya berkadaran terus dengan kesolehan dan kebaikan seseorang.

Semakin kuat iman dalam jiwa seseorang, semakin kuat pula amal seseorang. Sebaliknya, semakin lemah iman seseorang, semakin lemah pula amalnya.

Apakah ini satu bala kepada jamaah dan aktivis dakwah itu sendiri. Tidak! Allah sesekali tidak memerlukan kita, tetapi kita lah yang rugi sebenarnya. Rugi kerana tidak menjaga keimanan kita melalui ilmu dan amal.


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِىُّ ٱلۡحَمِيدُ

(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.(Faatir:15)


Allah Maha Kaya, engkau tersilap, engkau yang faqir!

2. Tertinggal dalam Ilmu Pengetahuan.

“Demi Allah sesungguhnya jati diri seorang pemuda ada dalam ilmu dan ketakwaannya. Apabila keduanya tidak ada dalam dirinya, maka ia bukanlah pemuda sebenarnya.”(Imam Syafie)

Kekuatan dan kemenangan umat yang selalu dijanjikan Allah SWT kepada mereka, bukan hanya bertumpu pada sisi aqidah atau ibadah saja, melainkan harus diiringi dengan ilmu pengetahuan Islam dan pengembangan kebaikan atau amal islami dalam kehidupan. Namun, kekuatan dan kemenangan itu baru akan tegak kukuh jika berdiri di atas tiga pilar, yang satu sama lainnya tidak boleh terpisahkan, iaitu iman, ilmu, dan amal (ibadah).

Islam ditegakkan atas dasar ilmu. Masakan tidak, Nabi SAW bersabda:

 ( طلاب العلم واجيب على كل مسلم (رواه مسلم

Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim. (Riwayat Muslim)

Agama ini tegaknya kerana ilmu, bukan kerana sangkaan dan emosi semata- mata. Lihatlah berapa ramai yang tergelincir dati jalan ini(sunnah Nabi) kerana tidak mengikuti disiplin ilmu yang betul.

Ibn Taimiyah menyebut dalam Majmu'at al- Fatawa: " Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau dan meninggalkannya(cuai). Allah tidak memerintahkan hambaNya sesuatu melainkan syaitan akan mengganggunya melalui dua cara. Syaitan tidak kisah mana satu dia berjaya. Sama ada secara ifrat(melampaui batasan agama) atau tafrit(cuai terhadap agama)

Oleh kerana Islam adalah agama Allah yang tidak bolehdiambil dari sesiapa pun selainNya, maka syaitan mengganggu kebanyakan mereka yang mengaku mengikuti ajaran ini. Sehinggakan syaitan berjaya mengeluarkan mereka dari syariat yang sebenarnya.

Bahkan syaitan berjaya menyesatkan sejumlah umat ini yang kuat beribadah dan warak daripada agama umpama anak panah meluru keluar dari busurnya."

Dunia Islam menghadapi dua keadaan. Pertama, si bacul yang enggan membela agamanya. Kedua, si berani yang tidak mahu mengikut peraturan ketika membela agama. Seorang muslim hendaklah berada di garisan yang betul dalam hal ini. Dia bukan seorang yang bacul sehingga rela agamanya dihina dan bukan juga seorang yang hanya bersemangat tinggi tetapi tidak berpandukan kepada pertauran dan strategi yang baik.

Hakikatnya, aktivis dakwah ramai dari golongan kedua. Mereka tercicir. Tercicir kerana kurangnya ilmu pengetahuan. Penyakit malas membaca menjadi punca.

Kalaupun mereka membaca tetapi mereka tidak membaca apa yang sepatutnya menjadi keutamaan sebagai seorang pejuang Islam. Mereka larut dalam Ayat- ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan sewaktu dengannya.

Almari buku pejuang Islam sewaktunya sarat dengan buku fikrah Islamiy, kalaupun tidak mampu membaca Tafsir fi Dzilal Quran karangan Syed Qutb, apakah berat menghabiskan Dakwah Fardhiyyah oleh Mustapha Masyhur?

Sedarlah kalian, rantai dakwah ini memerlukan prioriti yang mendalam dalam setiap tindakan. Semestinya membaca novel Habiburrahman el- Shirazy bukan satu dosa. Bukan juga cela membaca novel tulisan saudara Hilal Asyraf. Apa yang penting, kita utamakan apa yang lebih utama dari segalanya untuk maslahah umat.

3. Meremehkan Dosa dan Maksiat.

Ketika seseorang menganggap remeh dosa dan maksiat, maka kesolehan dan kebaikannya akan mengalami penurunan. Bahkan, dengan meremehkan dosa dan maksiat, ia akan mudah terjebak dalam kancah kemaksiatan. Kerana tabiat dosa atau maksiat adalah sentiasa mengajak dan menggoda manusia untuk melakukan dosa lagi. Tentang masalah ini, Rasulullah SAW bersabda,

"Takutlah kamu akan meremehkan dosa-dosa, kerana sesungguhnya dosa-dosa tersebut akan berkumpul, dan akhirnya mencelakakannya. Perumpamaan dosa-dosa ini seperti kaum yang menuruni lembah dan setiap orang membawa sebatang kayu api. Mereka mengumpulkannya dan menjadikannya tumpukan, kemudian dinyalakan api dan semua yang dilemparkan ke dalamnya menjadi matang. "(HR Ahmad dan at-Thabrani)

Selain menambah dosa dan maksiat, meremehkannya boleh menyebabkan seseorang jauh dari jalan taubat, melemahkan hati untuk berjalan menuju Allah, dan bahkan di Hari Akhirat nanti dapat menjadi penghalang menuju ke pangkuan-Nya.
Ibnu Abbas berkata, "Sesungguhnya kebaikan melahirkan kecerahan di wajah, cahaya di hati, kelapangan rezeki, kekuatan badan, dan kecintaan di hati manusia lain. Adapun maksiat menimbulkan kepucatan pada wajah, kegelapan di hati, kelemahan badan, serta kesempitan dan kebencian di hati manusia. "

    Abdullah bin Mubarak berkata dalam syairnya.

    Aku melihat dosa-dosa itu mematikan hati

    Membiasakannya boleh mewariskan kehinaan,

    Sementara, meninggalkan dosa-dosa adalah kehidupan bagi hati

    dan kebaikan bagi jiwa,

    Tidak ada yang membatalkan agama ini, kecuali para raja dan cendekiawan yang rosak

4 ulasan:

saja nk tanya berkata...

ummm...tanya ckit bole?

iman + n - kan? well zaman sekarang bukan nk kata org xberiman tp more to jaga hal masing2... aku selalu jugak nampak geng2 buat perangai xelok tp xkacau org n geng2 baik pun buat perangai baik n xkacau org... cuma depa susah nk merge la macam ada jurang gtu..xtawla jurang tu mai dari sapa... just nak opinion how to make those two golongan as one

kamilah berkata...

Alhamdulillah,

It seems like the program did give you a good an positive impacts...

I'm glad to read your entries regarding the program which you summarize them with your own way and style...

This shows me that you really understand what are the speakers trying to convey...

Keep on writing my lil. brother!

Hope that your writing will give other people the understanding of this beautiful deen :)

p/s: sebagai salah seorang urusetia prog, akak merasa sangat gembira utk mengetahui ada hati2 yang tersentuh dengan prog ini...

adysuR berkata...

Syukran sekali lagi Muiz. Alhamdulillah kerana hang diberi kekuatan untuk menulis.

p/s: Dah habis?

Muiz Nasrallah berkata...

Solihin, soalan hang, akan cuba dijawab dalam satu artikel khas, insya Allah. :)

Kakak Kamilah, ini pertama kali saya terlibat dengan program macam ni. Boleh kata jugak lah pertama kali saya disentuh oleh dakwah dan tarbiyah yang sebenar. Saya ucapkan ribuan terima kaseh kepada semua yang terlibat untuk ini. Semoga terus berada dalam kasih sayang Allah, kalian sekalian.

Rusyda,
Dah disambung pun. Hehe