Rabu, 27 Julai 2011

Wahabi yang Aku Fahami

3 komen pembaca
Isu wahabi timbul lagi dengan tafsiran teroris. Jika dahulu, wahabi adalah mereka yang tidak membaca qunut, tidak menetap dalam satu- satu mazhab dan paling utama, melawan status quo tradisionalis.

Apakah sebenarnya Wahabi?

Wahabisme adalah aliran kefahaman agama, budaya dan politik yang sempit. Walaupun Dr Maza menulis bahawa wahabi adalah momokan kepada Salafisme, aku mohon untuk berbeza pendapat dalam spektrum yang berbeza. Bagi aku, tiada kena mengena dengan Salafisme yang lebih luas. Terma Salafisme lebih merujuk kepada gerakan tajdid, proses perubahan dan juga sikap progresif seperti yg telah ditunjukkan oleh Muhib al-Din al-Khatib pengasas Maktabah al-Salafiyyah & co., serta yang paling utama ialah Muhammad Abduh dan gerakan Islah sedunia di zamannya. Wahabisme pula adalah sikap kejumudan, kekerasan dan merujuk kepada fiqh yang berpaksikan ide-ide fanatisme.

Aku percaya tidak kira sama ada sufi, salafi atau khalafi boleh menjadi Wahabi jika dia membunuh idea seseorang tanpa ilmu untuk tidak bersetuju.

Fahaman politik Wahabisme adalah senjata bagi rejim Saudi yang didokongi oleh faham agama Muhammad Abdul Wahab untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Walaupun penubuhan Dinasti Saud adalah dengan kekerasan dan pemberontakan (dan tidak dikatakan HARAM, HARAM dan HARAM oleh para pengikut doktrin agama Muhammad Abdul Wahab), namun untuk mengekalkan kekuasaan mereka yang dianggap sebagai benteng terakhir faham Islam yang sebenar. Mereka mempopularkan doktrin haramnya menegur pemerintah dengan sikap 'pick and choose' terhadap dalil- dalil dan juga pendapat sesetengah ulama salaf tanpa melihat kepada 'illat, maqasid dan juga faktor sosiologi.

Ibaratnya, seorang yang telah memanjat pokok dengan menggunakan tangga, apabila telah sampai ke puncak pokok, ditendangnya tangga agar orang lain tidak boleh panjat seperti beliau. Malangnya, apabila slogan ittiba' dijadikan modal, dan dikecilkan ruang 'kebenaran', maka golongan yang tidak melihat Islam secara meluas menjadi mangsa.

Kesimpulannya, aku menulis Wahabisme dalam terma sebahagian konteks yang difahami di barat(political science). Mereka menginterpretasikan nas-nas atas kesempitan makna, kejanggalan waqie' dan kekelabuan maqasid. Maka lahirlah fatwa- fatwa taat kepada pemerintah secara membabi buta.

Benarlah kata Rasulullah saw "ربّ حامل ففه ليس بفاقه وربّ حامل فقه الى من هو افقه منه," betapa ramai yang memikul fiqh dengan sijil- sijil kesarjanaan tetapi tidak berpengertian.

Rujukan : Dr Maszlee Malik


Selasa, 19 Julai 2011

Daun Gugur

1 komen pembaca


untuk kalian... yang bergelar sahabat~

"daun yang gugur tidak akan pernah bencikan angin yang meniupnya"....

“ Wahai Tuhanku, betapa telah Kau aturkan perkenalan sehingga membenihnya persahabatan dan Kau pupuk ia tumbuh subur di hati kami agar bercambah keimanan. Namun andai hadirku menjadi ulat yang merosakkan antara dia denganMU, maka tidak ada tangguh untukku berundur dari dalam hidupnya.

KeranaMu Tuhanku, saat aku memohon teman yang mengemburkan keimanan dan Kau anugerahkan dia menjadi pohon singgahana agar rimbunnya menjadi teduhanku dari bahang kemarau kehidupan. Bagaimana Kau meminta dia dariku kembali, sedang aku dan dia nyata milik-MU.

PadaMu kuserahkannya, andai pengorbanan itu mahar keredhaan. Kerana saat Kau hadirkan pertemuan, telahku redha untuk sebuah perpisahan.”

Pernahkah kita bertemu dengan seseorang yang tidak pernah kita kenal siapa dia, tidak pernah kita tanyakan dari mana asalnya. Dan dia duduk seketika bersama kita, menyinggahi kamar kehidupan dan meninggalkan kalam bisunya di ruangan jiwa.

Dimensi pertemuan itu berbeza, saat kita tidak pernah melihat wajahnya namun kita bagai tahu bagaimana redup pandangannya. Dan tika kita tidak pernah sekali pun mendengar suaranya, kita bagai kenal nada bahasanya.

Dan kita tertawan pada agamanya, saat tazkirah dan nasihat menjadi utusan hatinya..saat hadis-hadis Baginda bermain dalam ratib bahasanya dan Al Huda menjadi ayat karangan jiwanya. Dan bagi kita,sahabat adalah keperluan jiwa. Dialah ladang hati, yang kita taburi dengan kasih dan kita tuai dengan penuh rasa terima kasih. Dan pada kita, dialah anugerah istimewa dariNya saat kita memohon padaNya memilih teman perjalanan yang terbaik dalam kembara perjuangan di jalanNya.

Begitu tika Dia hadirkannya berkali-kali menemani lena kita, saat istikharah yang kita pinta menjadi jawapanNya. Sehingga seluruh jiwa kita menyangka dialah sahabat yang bakal menjadi menjadi tonggak perjuangan selama masa kehidupan. Dan tika itu kita mengharapkan persahabatan yang berpanjangan dengan ikatan yang lebih kukuh dan diredhai..agar utusan hatinya sentiasa menemani kita, ratib bahasanya terus didendangkan di telinga dan karangan jiwanya terus kemas terukir saat kita alpa.

Dan tidak pernah ada prasangka, bagaimana andai hadir kita memberi masalah padanya..kewujudan kita tanpa sedar mengganggu hatinya bertemu Pencipta. Dan kita terpaku tiba-tiba, dari doa yang kita pohon agar persahabatan dinaungi rahmatNya tiba-tiba bertukar cela. Mungkinkah dalam persahabatan itu penuh terpalit dosa, apakah nasihat kita melaghokan jiwanya..saat kita bersahabat kerana agamaNya.

Namun tiba saat mengharuskan kita sedar, saat pertemuan diqasadkan untuk memburu redhaNya maka perpisahan keranaNya pasti membuah makna. Tika kita merunduk tawadhu` pada ketentuanNya dalam kudus jiwa kita membelas pada ketentuan takdir.. yakinlah Dia tidak pernah menganiaya hambaNya.

Kalau kehadiran dianggap menyusahkan, moga pemergian menghembuskan ketenangan. Bila membenih subur kerana ukhuwwah, biar jatuh gugur dalam mahabbah. Kerana daun yang jatuh takkan sekali-kali membenci angin. Dan amankanlah hatimu dengan janjiNya :"..Dan sekali-kali tidaklah Rabb-mu menganiaya hamba-hambaNya." Fussilat::46.

Isnin, 18 Julai 2011

Menjawab Seorang Kawan

1 komen pembaca
Sebentar tadi sebelum zohor, ada kawan memulakan perbualan di chatbox Facebook. Ini berikutan kerana perbincangan kami mengenai isu YB DAP membaca alQuran. Aku perasan ada hujah berbaur character assasination terhadap aku, sebab itu aku tidak teruskan perbincangan.

Tetapi saya tidak membalasnya di chatbox. 

Yalah, siapalah saya untuk berkomentar dengan seseorang yang lebih mengikut alQuran dan alSunnah dalam komen dan chatting facebook. Sedangkan komen dan chatting saya langsung tidak berlandaskan alQuran dan alSunnah melainkan saya hanya menggunakan keduanya untuk kepentingan politik pihak saya sahaja. Pada waktu tertentu dan untuk berhujah sahaja kan.

Sudahlah begitu, saya juga selalu menyerang peribadi orang lain. Selalu pula melukakan orang lain dengan post politik saya. Jadi, saya sebenarnya berasa sungguh malu kepada saudari untuk membalas chatting saudari di Facebook. Lalu saya diamkan diri membisu seribu bahasa sahaja.

Medan amal pun tidak seberapa. Tiadalah pernah turun ke masyarakat.

Saat saya menulis inipun saya berasa sungguh malu. Saya tiada pilihan lain untuk menulis, kerana ini sahajalah ruang yang saya ada.

Kalau tak suka saya, block sahaja saya dari Facebook saudari, kerana saudari berhak mendapatkan rakan yang seribu kali lebih baik dan soleh dari saya. Dan, mungkin rakan yang akan menyokong semua pendapat saudari. ;)

Sekian terima kaseh.

Jenayah Politik BN

2 komen pembaca

Sabtu, 16 Julai 2011

Catatan Kemboja II

0 komen pembaca
Aku dan para pelajar aku bersama seorang ikhwah Kemboja
Hari ini kami memulakan tugas utama kami, mengajar alQuran kepada anak- anak kampung Soy. Aku ditugaskan untuk mengajar pelajar perempuan yang berusia antara 13 dan 14 tahun. Semuanya ada lapan halaqah dibahagikan kepada lapan orang ustaz Malaysia.

Di dalam sebuah madrasah kecil yang mempunyai dua kelas, itulah kelas aku mengajar. Tiadalah susah mengajar pelajar- pelajar ini kerana rata- rata mereka susah mampu membaca alQuran. Cumanya, ada beberapa kesalahan makhraj dan tajwid yang perlu dibetulkan.

Tiadalah susah mengajar alQuran. Saranan Nabi dalam hadis alBukhari sentiasa diingati, "Sebaik- baik antara kamu adalah yang belajar alQuran atau mengajarkannya."

Tambahan pula, mereka sangat menghargai ilmu pengetahuan. Mereka sangat suka menuntut ilmu dan tidak akan mensia- siakan apa sahaja peluang untuk mendapatkan ilmu. Kegigihan mereka istiqamah dalam ilmu ini membuatkan aku banyak belajar dari mereka.

Mengajar memberi aku satu kepuasan. Tak dapat digambarkan bagaimana, tetapi itulah rasanya. Seperti aku, apa sahaja yang aku ada aku suka berkongsi. Begitu juga sewaktu di sekolah dahulu. Mewujudkan diskusi- diskusi ilmiah dan memberi tazkirah memang memenuhkan erti hidup aku sebagai insan. Erti hidup pada memberi.

Aku memberi tugasan kepada mereka menghafal tiga surah dalam masa dua minggu : Surah Al- Mulk, Surah Al- Insan dan surah al- Sajjadah. Tetapi di akhir pengajaran, mereka tidak sempat menghafal surah al- Mulk. Tidak mengapa, dapat dua surah dengan tajwid dan bacaan yang betul pun sudah memadai.

Aktiviti harian kami selepas mengajar, kami akan menziarah ke rumah- rumah penduduk fakir di sekitar Kampung Soy. Ada bermacam kisah, ibu tinggal, orang tua yang menunggu mati (tiada waris) dan mereka yang menumpang di rumah orang kerana tiada kediaman sendiri.

Rata- rata penduduk di kampung ini bukanlah orang yang senang, oleh itu kami memilih mereka yang lebih utama untuk dibantu.

Jauh beza kemiskinan penduduk Muslim Kemboja berbanding dengan Muslim di Malaysia.



Antara penduduk kampung yang berjaya menitiskan air mata aku adalah seorang kanak- kanak perempuan yang berumur 12 tahun. Kisahnya mudah tetapi menyayat hati. Terpaksa berhenti ke sekolah kerana ada saluran matanya tersumbat dengan lemak menyebabkan matanya buta. Baru lagi dia kehilangan kedua matanya, sejak dua bulan lepas. Dijaga oleh neneknya, kerana ibu bapanya bercerai. Lebih menyedihkan, ibu bapanya tiada mengambil tahu hal anaknya.



Selain menjaga anak ini, nenek ini juga menjaga tiga lagi anak- anak yatim yang lain. Nenek ini juga tiada sumber pendapatan, hanya bergantung kepada sumbangan dan zakat penduduk kampung.

Sekian sahaja catatan kali ini.

Catatan 29 - 30 Jun 2011

Khamis, 14 Julai 2011

Catatan Kemboja

3 komen pembaca
Aku sudah pulang dari Kemboja. Hanya sekarang aku sempat menulis.

Berat hati pada mulanya untuk meninggalkan rumah kerana hanya baru seminggu bersama keluarga setelah pulang dari Madinah. Tetapi mengenangkan urusan umat yang lebih utama aku gagahkan kaki jua. Terima kaseh kepada sahabat yang mengingatkan, "bantulah agama Allah, Allah akan membantu kamu."

Destinasi utama kami di Kemboja adalah Kampung Soy yang terletak di dalam wilayah Kampung Cham. Fokus utama kami berlapan ke sana adalah untuk melaksanakan program tahsin alQuran kepada anak- anak kampung di sana selain menyampaikan sedikit sumbangan. Setibanya kami di Cambodia Airport kami disambut oleh ikhwah- ikhwah Kemboja.

Makanan pertama di sini yang kami makan adalah nasi ayam Kemboja dan teh tanpa gula.

Perjalanan ke Kampung Soy melalui jalan tanah merah dan van yang kami naiki rasa melambung- lambung. Aku pening bila sampai ke rumah ketua kampung. Setelah berehat dan makan sebentar, aku keluar berjalan di tepian cabang Sungai Mekong pada waktu petang. Sungai Mekong pada waktu itu telah kering. Air mungkin akan naik dalam beberapa hari lagi, kata penduduk di sana.

Sungai Mekong yang kering.


Hari pertama, aku melihat perlawanan tinju kanak- kanak yang diadili oleh seorang dewasa. Walaupun mereka kecil tetapi tubuh mereka sasa. Ramai anak- anak kampung berkumpul di situ. Ia semacam sebuah pesta. Aku anggarkan tidak kurang seratus budak berkumpul melihat tinju. Di Malaysia, sudah tiada suasana seluruh anak kampung berkumpul sama- sama untuk bermain bersama. Ia kenangan silaturrahim yang silam yang aku saksikan semula.

Kami belum memulakan aktiviti lagi pada hari ini. Cukup sekadar berjalan sekitar kampung dan melihat suasana. Kami bermesyuarat pada malam hari dan esok akan bermula tugas kami.

Catatan 28 Jun 2011