Rabu, 24 Jun 2009

1 komen pembaca
Isu UG sudah berakhir, tetapi rata-rata ummah masih lagi keliru. Akhbar tali barut BN (izinkan saya menggunanya) tanpa segan silu menuduh PAS bersekongkol dengan kafir yang mahu menjatuhkan hasrat negara Islam PAS. Baca penjelasannya oleh Abu Saif Ustaz Hasrizal

Apakah Kemunafiqan Bukan Lagi Suatu Persoalan?

Lama dahulu, saya menulis sebuah artikel bertajuk SOKONG ISLAM ATAU MUSLIM?

Sepatutnya tidak perlu dibezakan di antara Islam dengan Muslim. Sesiapa sahaja yang menisbahkan Islam kepada dirinya dengan Syahadah adalah Muslim. Tetapi ada kalanya, Islam boleh berada di satu lembah dan Muslim berada di suatu lembah yang lain. Tatkala Muslim hanya memakai nama Islam tetapi membelakangkan prinsip Islam, Muslim itu Muslim, tetapi ada nama baru untuknya, iaitulah MUNAFIQ.

Munafiq tidak wujud di era Islam miskin dan ditindas. Munafiq muncul mengiringi kemenangan Islam. Kemenangan datang dengan ghanimah, status, kejayaan dan prestasi… semua itu disambut oleh Muslim yang Mukmin dengan SYUKUR, tetapi disambut oleh Muslim yang Munafiq dengan KUFUR. Dibelenggu oleh penyakit hati yang memusuhi kaum yang beriman.

Nifaq itu penyakit dan Munafiq ini berpenyakit. Ia boleh berkembang dari kemunafikan peribadi, kepada kemunafikan sistem dan gagasan.

Justeru muqaddimah Surah al-Baqarah sudah pun menjelaskan apa yang perlu diberi perhatian oleh kita semua.

TELADAN SURAH AL-BAQARAH

Berkenaan kaum MUKMININ yang bertaqwa, Allah Subhanahu wa Ta’aala menjelaskan dalam lima ayat yang ringkas, berterus terang dan mudah digarap oleh kita yang memerhatikannya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari Akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya” [al-Baqarah 2: 1-5]

Selepas menjelaskan tentang kriteria kaum MUKMININ yang berjaya, Allah Subhanahu wa Ta’aala menjelaskan pula perihal golongan yang bertentang dengan kaum Mukminin iaitu golongan KUFFAR. Penjelasannya juga mudah, ringkas dan terus menjurus kepada melakarkan garis sempadan antara keduanya.

Firman Allah ‘Azza wa Jalla:
“Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah materaikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.” [al-Baqarah 2: 6-7]

Dua ayat sudah memadai pada menjelaskan perihal golongan Kuffar ini.

Namun, di antara MUKMIN dan KAFIR itu, ada sekelompok manusia yang wujud sebagai penyakit. Sebelah kakinya memperlihatkan kebersamaan mereka dengan daerah hitam, manakala sebelah kaki yang lain menonjolkan kebersamaan mereka dengan daerah yang putih. Jika Mukmin diperincikan dengan 5 ayat dan Kafir pula diperjelaskan cukup dengan 2 ayat, kaum yang merewang di antara dua daerah ini, yang digelar sebagai kaum MUNAFIQ, diperincikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala dengan ayat yang panjang lebar.

Penyakitnya berbahaya.

Permusuhannya mengelirukan.

Lalu Allah ‘Azza wa Jalla berfirman bermula daripada ayat ke-8 surah al-Baqarah hinggalah ke ayat yang ke-20, 12 ayat yang panjang lebar diperuntukkan untuk memperkatakan tentang segala tipu muslihat, kelicikan dan kebobrokan golongan ini yang sangat-sangat memudaratkan kehidupan.

Tidak cukup dengan penjelasan di Surah al-Baqarah, sebuah surah diperuntukkan khusus dengan nama golongan ini. Surah al-Munafiqun memperincikan lagi gelagat dan tindak tanduk kelompok ini yang memakai Islam di mulut dan penampilan luarannya, tetapi amat membenci golongan yang bersama dengan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Ayuh diteliti, apakah ungkapan Allah Subhanahu wa Ta’aala tentang kaum berpenyakit ini:
“Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.

Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman. Mereka menjawab: Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu? Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman).

Allah (membalas) memperolok-olok dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayat.

Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.”


[Al-Baqarah 2: 8-19]

PENUH SINDIRAN

Allah Ta’aala memperkenalkan golongan ini dengan bahasa yang amat menyindir.

Adalah satu kelompok itu… atau dalam bahasa hari ini, “kamu sendiri pun tahu siapa mereka!”
Justeru dalam memperkatakan tentang kaum Munafiq ini, janganlah diacuh-acuh atau dilontarkan provokasi agar ‘tuduhan nifaq’ itu diberi nama siapa sebenarnya yang dimaksudkan. Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri membiarkan kelompok ini terdedah tembelang mereka tanpa nama, kerana sesungguhnya yang tidak kenal siapa Munafiq ini adalah si Munafiq itu sendiri, tatkala diberikan peringatan kepadanya agar jangan berterusan melakukan kerosakan, katanya “kami ini kaum yang membawa islah dan kebaikan!”

Tetapi cukuplah dibuat suatu penilaian, berdasarkan tentang kebejatan zahir dan batin mereka, yang didedahkan oleh Allah dengan begitu terpeinci, supaya kaum Mukmin berhati-hati. Jangan asal namanya Muslim, terus sahaja mahu diajak berkawan dan bekerjasama, tatkala yang Muslim jenis itu, ada banyak makarnya yang sudah diberitahu Tuhan.

KUFFAR

Ada pun Kuffar, biar pun mereka menolak Islam, mereka menolaknya atas kepercayaan mereka. Penolakan itu bukan suatu konspirasi yang menjadi api di dalam sekam, sebaliknya api yang tidak menyembunyikan kepanasannya. Warnanya jelas dan hala tujunya jelas.

Justeru urusan kaum Mukmin dengan Kuffar ini lebih telus.

Semasa mereka melawan, mereka mesti dilawan.

Semasa mereka mahu kepada perdamaian, ketelusan mereka terhadap apa yang mereka mahu, mesti disambut pula dengan ‘izzah kaum Muslimin, dengan menerima perdamaian yang diminta.

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman” [al-Anfaal 8: 61-62]

Biar pun Kuffar itu Kuffar, tetapi dek jelas warna luar dan dalamnya, Allah Subhanahu wa Ta’aala memberikan garis panduan interaksi kaum Mukminin dengan mereka. Dengan kesempurnaan Islam dalam menilai kawan dan lawan, kaum yang lawan itu, andai mahu mencari perdamaian, kaum Mukmin diperintahkan menerima perdamaian tersebut. Biar pun tangan yang dihulur masih dari hati yang kufur, namun jika zahirnya dinyatakan persetujuan untuk berdamai atas prinsip-prinsip utama Islam iaitu keadilan dan berlaku Ihsan, maka kecenderungan itu mesti disambut. Seterusnya bertawakkallah kepada Allah dalam erti kata, jangan putuskan pergantunganmu kepada Allah, selama engkau mencuba perdamaian dengan kaum yang KUFFAR itu.

Allah Maha Mendengar.

Allah Maha Mengetahui.

Tatkala mereka itu ada perancangan untuk mengkhianatimu, jangan lupa pada Allah yang menjadi asas engkau menerima perdamaian itu. Ketentuan akan datang, perdamaian akan berakhir, kawan kembali menjadi lawan, kerana khianat dan makar yang jahat.

Itu dengan kelompok yang terang warnanya pada IMAN dan KUFUR.

SURAH AL-MUNAFIQUN

Ada pun kaum MUNAFIQ yang duduk di celah kelompok kaum MUKMIN, yang menggaulimu di luar masjid bahkan di dalam masjid, Allah memerintahkan para MUKMIN agar sentiasa berhati-hati, jangan alpa dan jangan terpedaya.

“Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya. (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?” [al-Munafiqun 63: 4]

Justeru janganlah terlalu naif untuk sekalian MUSLIM dipadukan sesama MUSLIM hanya dengan alasan permukaan berjenama MUSLIM. Andai yang Muslim itu memusuhi Muslim yang lain, menyakiti mereka, mengkhianati mereka, membuat makar dengan sesiapa sahaja demi lempias kebencian mereka terhadap kaum yang beriman kepada Allah, tidakkah Muslim yang jenis seperti ini yang dimaksudkan oleh Allah di dalam lanjutan ayat yang berikutnya:

“Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya). Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya)” [al-Munafiqun 63: 7]

Salah satu kelakuan kaum MUNAFIQ ini adalah pada strategi mereka menyekat keperluan hidup orang-orang yang mahu mengikut petunjuk Nabawi. Mereka menyeru agar orang-orang yang beriman dilaparkan, dimiskinkan, disekat dana, ditahan nafkah dan rezeki mereka semata-mata atas satu tujuan yang berdasarkan sangkaan mereka iaitu “agar dengan tekanan itu, orang-orang yang beriman akan berputus asa dan berpecah belah meninggalkan Rasulullah“.

Siapakah yang mempelopori strategi yang jelek ini?

Mereka adalah golongan yang solat bersama kamu, bersyahadah seperti kamu, tetapi penyakit hatinya menjadikan kamu sasaran permusuhan mereka. Itulah kaum MUNAFIQ.

Dan kerana jeleknya sebuah KEMUNAFIQAN dan besarnya kemudaratan yang dicetuskan oleh talam bermuka-muka ini, toleransi Islam dalam kepelbagaian agama yang dianuti oleh sebuah komuniti, tetap mencetuskan sebuah perintah yang menggemparkan:

“Dan golongan (Munafiq) yang membina masjid dengan tujuan memudaratkan (orang-orang yang beriman) dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. “ [al-Taubah 9: 107]

Kaum perosak itu bukan calon kawan.

Mereka bukan rakan perdamaian.

Justeru yang diperintahkan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bukanlah diruntuhkan sebuah gereja, atau kuil, atau sinagog, tetapi sebuah MASJID!

Masjid yang dibina oleh kaum yang berlidah Muslim tetapi hatinya amat bermusuh dengan Islam. Itulah masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Projek kaum MUNAFIQ, iaitu sebenar-benar musuh kamu.

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam memerintahkan beberapa orang sahabat iaitu Malik bin al-Dakhshim, Ma’an ibn ‘Adi atau saudaranya ‘Asim bin ‘Adi dengan arahan berikut:

“Pergilah kamu kepada masjid ini yang ahli-ahlinya zalim dan hancurkan ia serta bakar olehmu masjid itu” [Tafseer Ibn Katheer: 2/508]

Tentu sahaja jika mahu diperkatakan soal persamaan, Masjid Dhirar lebih banyak persamaan dengan Masjid Quba’ atau Masjid Nabawi, berbanding dengan rumah ibadat berhala Jahiliah.

Tetapi isunya bukan itu.

Biar pun MASJID vs. MASJID, tetapi sebuah masjid dibina di atas TAQWA manakala sebuah masjid lagi dibina, dengan tujuan mahu membinasakan kaum Mukmin dari dalam. Sebab itu persamaan masjid vs masjid tidak lagi punya sebarang makna. Masjid itu adalah kubu musuh. Biar pun namanya masjid!

BIAR SAHAJA ALLAH URUSKAN

Biar pun kemunafiqan kaum MUNAFIQ itu jelas, malah kepalanya juga diketahui semua, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam masih tidak mengizinkan si kepala MUNAFIQ bernama ABDULLAH BIN UBAI BIN SALUL itu dibinasakan secara personal. Ia bukan permusuhan peribadi. Biar pun Baginda sentiasa disakiti oleh kaum Munafiq hingga isterinya Aisyah radhiyallaahu ‘anha sendiri pernah difitnah berat oleh kecelakaan mulut kaum ini, Baginda tetap tidak mengizinkan Abdullah iaitu anak kepada Abdullah bin Ubai bin Salul itu membunuh bapanya.

Hikmahnya besar.

Walau pun kemunafiqan itu adalah sesuatu yang amat berbahaya dan besar, ia tetap berlaku dalam debu dan kelabu yang mengelirukan. Tidak semua orang tahu sebenar-benar tahu akan kes-kes yang membabitkan kaum MUNAFIQ ini, khususnya mereka yang duduk jauh dari Madinah. Maka terhadap kaum yang menyembunyikan permusuhan mereka di sebalik Shahadah dan kesaksian iman itu, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam MENINGGALKAN kaum itu, MEMENCILKAN mereka dan tidak sama sekali menghukum hapus atau bunuh ke atas Abdullah bin Ubai bin Salul itu, agar jangan nanti ada yang tersalah faham lalu berkata, “Muhammad telah membunuh sahabatnya”.

Justeru dalam usaha merapatkan saf KAUM MUKMININ, janganlah terlalu naif diajak sekalian yang melabel diri sebagai MUSLIM untuk bersatu lagi berpadu tanpa asas, kerana di celah-celah MUSLIM itu ada NIFAQ dan MUNAFIQ yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Mereka sebenar-benar musuh. Allah sendiri sudah memberitahu, hati-hati dengan mereka.

Siapakah MUNAFIQ yang dimaksudkan itu?

Ia rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan Huzaifah radhiyallaahu ‘anhu. Tidak perlu disebut atau diberi-beri tahu.

Cukuplah sekadar segala perincian Allah tentang mereka, menjadi pedoman buatmu, wahai pejuang Islam. Jangan disengat dua kali pada lubang yang sama!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Jumaat, 12 Jun 2009

Wakil HAMAS gesa umat Islam bersama Palestin

0 komen pembaca
Wakil HAMAS gesa umat Islam bersama Palestin

SHAH ALAM: Pengerusi Persatuan Ulamak Palestin, Sheikh Marwan Abu Raz mengingatkan umat Islam di negara ini agar bersama dengan Palestin bagi membebaskan negara itu dari pendudukan Israel Yahudi selama ini.

Yahudi, ujarnya, telah berusaha bermati-matian untuk merampas Masjidil-Aqsa secara total yang mana pada hari ini, mereka sedang membina sebuah binaan seperti terowong dengan tiang besar dikenali sebagai Hayqal bagi menjayakan hasrat jahat itu.

Namun, tegas Sheikh Marwan, dengan kekuatan semangat perjuangan rakyat Palestin yang tidak akan pernah mengalah kepada kejahatan Yahudi itu, terus menerus berjuang dan menyerang balas semua tindakan musuh.

“Bangunlah wahai umat Islam Malaysia, bersamalah berjuang dengan kami rakyat Palestin, yang boleh disumbangkan dalam berbagai bentuk termasuk dana kewangan untuk kami menyiapkan kelengkapan terus berhadapan dengan mereka,” tegasnya dalam ucapan bersemangat kepada ribuan hadirin.

Sheikh Marwan yang juga seorang anggota parlimen mewakili Hamas berucap demikian di dalam majlis ceramah perdana di malam terakhir Muktamar PAS ke-55 yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam, dekat sini.

Turut berucap di dalam majlis rutin muktamar tahunan itu adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali.

Terdahulu, Sheikh Marwan bagi pihak rakyat Palestin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan rakyat negara ini di atas segala bantuan dan sumbangan kepada rakyat negaranya yang dicerobohi oleh Israel Zionis.

Untuk rekod, anaknya Asy-Syahid ‘Asim telah terkorban di dalam perjuangan menentang Israel dan beliau yang berjuang bersama-sama dengan Paduka AlMarhum Sheikh Ahmad Yassin sejak awal, nyaris terbunuh bila mana kediamannya telah dibom.

Selepas Sheikh Marwan selesai berucap, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengingatkan hadirin bahawa bumi Gaza adalah tanah kelahiran Imam Syafie RahmatulLah ‘aliah yang sangat rapat dengan umat Islam di sebelah sini yang mengamalkan fekah mazhabnya.

“Walaupun kita bermuktamar di sini jauh dari Gaza namun kerana PAS perjuangkan Islam, kita mengingati semua pejuang Islam sejak zaman Nabi hinggalah ke hari ini yang bertungkus lumus berjuang,” tegas Menteri Besar Kelantan itu.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Seksyen 18, dekat ini, Sheikh Marwan menegaskan keadaan umat Islam Palestin masih baik dan tetap teguh dengan perjuangan untuk membebaskan negara mereka dari cengkaman Israel.

“Ketahuilah saudara-saudari bahawa bumi Palestin bukan hanya milik umat Islam Palestin malah milik umat Islam seluruh dunia, isu Palestin bukan hanya persoalan kami sahaja malah merangkumi umat Islam sejagat.

“Dengan sebab Negara Palestin adalah tempat kelahiran ramai nabi-nabi yang dikenali sebagai bumi Ambiyak, isu ini mesti mendapat kerjasama meluas dari seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada,” tegasnya lagi yang ucapannya diterjemahkan oleh Ustaz Redzwan Abu Bakar dari Kedah .

Tambahnya, hanya dengan kembali berpegang teguh kepada ajaran dan melaksanakan tuntutan Al-Quran yang jelas paling mampu berhadapan dengan musuh; itulah yang dilakukan di Palestin sehingga hari ini sehinggakan Israel dan Zionis sedunia tidak mampu menewaskan Hamas dan semangat rakyat Palestin amnya. IBH

Rabu, 10 Jun 2009

1 Malaysia: Idealistik Tetapi Tidak Realistik

3 komen pembaca
Sekali pandang, slogan ini nampak hebat dan bergaya. Ia sungguh mudah disebut sehingga mudah meniti di mulut- mulut kanak- kanak tadika sekalipun. Perpaduan adalah skop yang dicanangkan sempena slogan ini.

Memandang Dalam Gelap

Tetapi, apakah dasar dan pelaksanaan yang menunjangi definisi bagi 1 Malaysia?

Siapakah pendokong 1 Malaysia?

Bagaimanakah seseorang itu layak dinobatkan sebagai pendokong 1 Malaysia?

Ini memerlukan satu kertas kerja atau sebuah buku yang bertajuk “1 Malaysia: Definisi Hari Ini”

Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa. Itu tak payah sebut, semua orang tahu. Tetapi apa yang selalu orang lupa dalam terdiri dari pelbagai bangsa sudah tentulah pengamalan budaya juga berbeza. Dalam istilah, kita sebut Kesamaan dalam Kepelbagaian (Unity In Diversity).

Oleh kerana tidak ada dasar yang jelas mengenai gagasan ini, saya memahami bahawa perpaduan yang dicanangkan adalah semua kaum adalah sama. Sudah pastinya bila semuanya sama maka mereka mengamalkan kebudayaan yang sama. Sehingga hari ini, pelaksanaan mengenai gagasan ini tiada.

Dalam hal ini, saya teragak- agak adakah 1 Malaysia bertentangan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan ? Saya simpulkan bahawa 1 Malaysia tidak bertentangan secara terus tetapi adakah gagasan ini benar- benar menyokong Dasar Kebudayaan Kebangsaan ? Perkara ini berikutan pelaksanaan masih tiada sehingga hari ini.

Serupa tapi Tak Sama
Dalam masyarakat Islam sendiripun, gerakan- gerakan Islam mempunyai pendirian berbeza dan tersendiri. Adalah tidak adil untuk kita menyapu rata semua gerakan Islam di dalam satu bakul, apatah lagi umat Islam di dalam satu bakul.Memanglah umat islam itu merupakan satu ummah, satu entiti, tetapi metode mereka berbeza. Malah bangsa mereka juga berbeza-beza. Cara pemikiran dan pendekatan mereka juga berbeza. Adalah tidak adil untuk menyamaratakan mereka semua.

Ikhwan Muslimun di Mesir tidak sama dengan Jamaah al-Adl wal Ihsan di Maghribi, HAMAS tidak sama dengan Hizbullah di Lubnan, Parti Nahdah di Tunisia tidak sama dengan FIS di Algeria, malah Hizbut Tahrir tidak sama dengan al-Muhajiroun di UK, AKP di Turki tidak sama dengan PKS di Indon, malah PAS di Malaysia tidak sama dengan Jabhah al-Amal al-Islami di Jordan. Taleban di Afghanistan tidak sama sekali serupa dengan Jamaat Islami di Indo-Pakistan, dan jamaah Tabligh tidak sama sekali serupa dengan golongan tarekat di Hadral Maut dan di Tarem. Golongan Salafi pro-Albani di Jordan tidak sama dengan Jamaah Salafiyyah di Kuwait, malah golongan pro-Madkhali di Saudi jauh sekali bezanya dengan golongan Deobandi di Indo-Pakistan.

Sesiapa yang ingin mengkaji setiap gerakan perlu melihat ruang-ruang perbezaan ini agar tidak terjerumus ke lembah generalisasi. Jika tidak kita tidak akan berlaku adil. Untuk melihat perbezaan ini, dan juga untuk mengkaji secara akademik, para pengkaji harus berlaku adil dan bersikap neutral. Kajian mereka bukanlah untuk menjatuhkan ataupun memenangkan sesuatu pihak ke atas pihak yang lain. Ruang bias dan taksub hanya akan merosakkan nilai akademik sesuatu kajian. Biarlah setiap individu membuat konklusi mereka sendiri berdasarkan maklumat dan ilmu yang mereka ada. Ruang akademik bukanlah ruang indoktrinisasi dan rekrutmen.

Khatimul
Bagaimana hendak menyamaratakan kebudayaan yang didokongi oleh pelbagai bangsa malah pelbagai agama pula?

Artikel ini tidak pernah menidakkan perpaduan, malah golongan muda seperti saya mudah sahaja menolak UMNO yang bersifat racis tetapi dek kerana pelaksanaan dan dasar yang masih samar maka saya menolak konsep 1 Malaysia.

Sungguh, 1Malaysia adalah gagasan yang idealistik tetapi tidak realistik.

p/s: Pasukan Bahas sekolah saya menumpaskan pasukan bahas Maktab Melayu Kuala Kangsar(MCKK) dengan hujjah ini~

Selasa, 9 Jun 2009

KONSEP MASLAHAH DAN MAFSADAH UNTUK DAMAI DENGAN MUSUH

0 komen pembaca
KONSEP MASLAHAH DAN MAFSADAH UNTUK DAMAI DENGAN MUSUH
oleh:Ustaz Bakistani


tak larat nak berdamai di Palestine, tapi rakyat Palestine sering dibunuh dan dihina di palestine.. apakah damai cara Yasir Arafat ini bersesuaian dengan maksud surah Muhammad ayat 35

KONSEP MASLAHAH DAN MAFSADAH UNTUK DAMAI DENGAN MUSUH


Kita kena sambut salam damai dari sesiapa sahaja, hatta daripada musuh sekalipun.

Dalilnya, Allah firman dalam Al-Quran;

فَلَا تَهِنُوا وَتَدْعُوا إِلَى السَّلْمِ وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ وَاللَّهُ مَعَكُمْ وَلَنْ يَتِرَكُمْ أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya;
“Janganlah kamu lemah dan minta damai padahal kamulah yang di atas dan Allah pun bersamamu dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu”

(Surah Muhammad : 35)

KOMEN:

ada pihak menyebut, tindakan Tidak mahu berdamai dengan UMNO, bermakna menafikan maksud ayat ini; menolak Al-Quran.

Apa yang ingin dinyatakan, tidak mahu berdamai dengan UMNO yang merupakan musuh dikala ini, tidak bermakna menafikan ayat Al-Quran, Surah Muhammad ayat 35.

Ini kerana, dalam menafsirkan ayat ini, Imam Fakhr Ar-Razi menyebut dalam kitab At-Tafsir Al-Kabir;

إشارة إلى أن الأمور الدنيوية لا ينبغي أن تكون مانعة من الإتيان

Maksudnya;
“Ia adalah satu Isyarat kepada sesungguhnya perkara duniawi tidak sepatutnya menjadi pencegah daripada berdamai[1]”

Fahamnya apa??

Berdamai itu adalah dituntut sekiranya dengan tujuan akhirat. iaitu, sekiranya damai itu memberi kemaslahatan kepada Islam, maka itu dibenarkan. Adapun sekiranya berdamai itu melahirkan mudharat kepada Islam, maka berdamai itu adalah terlarang, malah ia tidak termasuk dalam maksud ayat ini.

Dengan erti kata lain, sekiranya musuh tidak mempunyai agenda untuk menghancurkan balik parti Islam, maka berdamai itu dituntut. Pun begitu, sekiranya musuh mempunyai agenda untuk memusnahkan perjuangan islam, berdamai ketika itu tidak dituntut.

Jika difahami konsep ini, barulah kita faham maksud “hulur salam damai” yang dilakukan oleh Nabi Musa A.S terhadap Firaun. Yang mana, ketika itu tindakan Nabi Musa berhadapan dengan Firaun lebih memberikan maslahat berbanding tidak tidak berhadapan dengan Firaun.

Justeru, Apakah UMNO Ikhlas menghulurkan salam damai, ataupun mempunyai agenda untuk musnahkan PAS???

Jawapannya amat senang. Dikala kita berbicara soal ”politik damai”, krisis perak tetap mencengkam, malah melahirkan kemarahan rakyat terhadap UMNO/BN.

Tok Guru Nik Abdul Aziz ada menyebut;

”kalau berpolitik macam ini, ertinya politik kita (PAS) untuk tolong lawan, bukannya jaga kestabilan diri (PAS). Ini bukan politik, ia perangkap namanya dan keadaan ini adalah satu kejayaan kepada pihak lawan yang boleh memperbesarkan isu yang bukan-bukan[2]»

Fikir-fikirkanlah.....

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com

- Sri Indah (B), Sg Buloh
8 jun 2009 *

[1] At-Tafsir Al-Kabir : 14/120.
[2] Kemuncup dalam perjuangan : m/s : 122.

Kerajaan Perpaduan II

4 komen pembaca
“SAYA TIDAK TAHU SAMA ADA KENYATAAN BELIAU TELAH DISALAH TAFSIR OLEH MEDIA TETAPI SEBAGAI SEORANG PEMIMPIN YANG ARIF TENTANG AGAMA, JIKA BELIAU MENYATAKAN DAP TELAH BERSETUJU DENGAN CADANGAN PAS, BELIAU BUKAN SAHAJA HARUS MENJAWAB KEPADA DAP TETAPI JUGA KEPADA TUHAN,”

Malunya saya!!!

Tak Jelas
Semalam, dalam Agenda Awani dibincangkan Kerjasama UMNO- PAS. Kenapa Khairy seronok benar memuji PAS hah? Katanya moderate laa apa laa.

Sebenarnya konsep Kerajaan Perpaduan yang dicanangkan oleh Tuan Guru Presiden masih lagi samar- samar.

Tetapi, apa yang saya faham dari maksud kerajaan perpaduan cadangan Presiden PAS adalah kerajaan tanpa pembangkang. Bermakna, semua parti-parti yang wujud dalam Malaysia berada dibawah satu bumbung, tidak kira ia dari BN atau dari PR.

Bukankah ia satu sindiran kepada sistem demokrasi? Kita ada parlimen, media dan sebagainya untuk menyuarakan pendapat, mengapa perlu lagi kepada kerjasama yang jelas menghancurkan masa depan PAS dan PR?

Saya masih menunggu penjelasan sebenar dari mengenai gagasan ini.

Orang arab ada keluarkan pepatah yang bermaksud;
"manusia itu akan bermusuh dengan apa yang dia tidak tahu"

Selagi mana saya tak jelas mengenai konsep Tuan Guru Presiden, maka tanpa segan silu saya menolak Kerajaan Perpaduan.

Kalau tak faham lagi mengenai Kerajaan Perpaduan ni ada artikel berkaitan:
PAS: Sebenarnya Kumpulan Anti Muqabalah Menang
BERJAYAKAH KERAJAAN PERPADUAN??
KONSEP MASLAHAH DAN MAFSADAH UNTUK DAMAI DENGAN MUSUH
PEMIKIRAN UMMAH CENTRIC SEMAKIN DITERIMA
Mengapa Gabra dengan UG?

p/s: Ingatkan Pak bakaq tak pernah baca blog saya, maklumlah blog budak sekolah... Maaf Pak Bakaq!

Isnin, 8 Jun 2009

Kerajaan Perpaduan

1 komen pembaca
Semasa saya menulis, muktamar sudah berakhir.

Flashback Dulu

Dalam sebulan ini, media perdana(izinkan saya, media tali barut BN) sibuk memprovok golongan profesional sehinggakan datuk Paduka Husam Musa bisa menyaman Utusan atas sebuah artikel yang memfitnahnya. Ramai berkata media BN cuba memecah belahkan PAS antara golongan ulama' dan profesional.

Saya tak fikir begitu.

Kalau benar ada momentum menghancurkan ukhuwwah dan mahabbah dalam PAS, mengapa profesional diprovok habis- habisan sedangkan ulama' disanjung- sanjung dalam akhbar?


Paling saya tak tahan MyKmu merayakan kemenangan Ustaz Hadi dan Ustaz Nasharudin.

Isu Apa Sebenarnya?

Pertarungan sebenarnya melibatkan pro- muqabalah dan anti- muqabalah.

Nak kerjasama dengan UMNO? Tuan Guru Nik Aziz kata apa?

"Kerajaan perpaduan di antara PAS dan BN tidak mungkin berlaku walau pun ada dakwaan kononnya saya akan bersetuju sekiranya PAS ditawarkan jawatan penting termasuk Menteri Pelajaran atau Menteri Kewangan.

"Saya sudah tidak percaya kepada keikhlasan mereka yang pernah menipu PAS. Mereka pernah menendang PAS keluar daripada kerajaan Perikatan pada 1978.

"Oleh itu sekiranya berlaku lagi kerajaan perpaduan di antara PAS dan Umno, apa jaminan Umno tidak akan menendang kami keluar lagi,"


Saya sokong Tuan Guru!

Ustaz Ahmad Awang dan Pengkhianat

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang enggan mendedahkan nama inidividu yang menghasut beliau supaya merelakan PAS membentuk kerajaan bersama-sama Umno di Perak.

"Hanya beberapa orang pemimpin lain dan saya sendiri yang tahu siapa beliau," kata beliau yang hanya tersenyum apabila didesak oleh wartawan yang mahu tahu adakah indinidu itu dari kalangan mereka yang terpilih sebagai pemimpin PAS baru-baru ini.


Blog Penarik Beca:

Saya juga akan berusaha mencari identiti sebenar jalang politik barua Umno itu dan mendedahkan namanya dalam blog ini



Pak Bakaq tak pernah baca blog saya, tetapi saya nak memandai- mandai nak tunggu siapa dia yang gatal sangat nak hancurkan matlamat penubuhan Negara Islam

Sabtu, 6 Jun 2009

Syabab Musafir Kasih

0 komen pembaca
Sewaktu saya menulis, saya baru sahaja selesai menghabiskan novel Syabab Musafir Kasih karya Fatimah Syarha Mohd Nordin.

Secara ringkasnya, novel ini mengisahkan seorang anak kecil bernama Syabab yang mana hidupnya dipersetankan oleh masyarakat sehingga dewasa. Hanya seorang jiran yang rela membantu Syabab iaitu Kak Zah dalam menjalani hidupnya.

Saya tak bercadang untuk mengulas mengenai penderitaan yang dilalui Syabab, kerana nanti tidak ada yang akan tinggal untuk pembaca apabila membacanya.

Dakwah Keperluan Remaja

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar [217]; merekalah orang-orang yang beruntung. [217] "Ma'ruf": segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah; sedangkan Munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-Nya. (Surah Ali Imran 3:104)

Skop dakwah adalah elemen utama yang menghidupkan novel ini.

Watak Ustaz bolehlah disebut sebagai satu agen perubah yang berkesan kepada penduduk kampung. Kecintaan terhadap Islam dan kemanisan Iman kembali mekar dalam kalangan penduduk kampung.

Novel ini mengajar kepada remaja di luar sana yang mempunyai semangat mengembangkan Islam tetapi tidak tahu bagaimana bermula. Dakwah yang ditekankan di sini lebih kepada Lisanul Hal dari Lisanul Maqal.

Lisanul Maqal ialah pendakwah menyampaikan mesej agama melalui kekuatan kefahamannya dan pencapaian ilmu masing- masing. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Sampaikanlah dariku(Islam) walau satu ayat”(Riwayat Muslim)

Hadis berkenaan menjelaskan bahawa pendakwah perlu menyampaikan ajaran, kaunseling, motivasi dan nasihat tanpa serba salah dan ragu. Bagi memperhebatkan tugas dakwah, pedakwah wajiblah menelaah Al- Quran, mengetahui selok- belok, bangun untuk solat malam dan melakukan amalan sunat di samping berusaha untuk meninggalkan dosa dan maksiat.

Jika cara yang dilakukan melalui Lisanul Maqal tidak berkesan, maka bolehlah beralih kepada Lisanul Hal. Lisanul Hal bererti dakwah melalui bahasa badan (body language) atau mimik muka. Antara sunnah yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila seseorang datang bertanya kepada baginda sesuatu yang disukainya, baginda hanya melempar senyuman tanpa perlu menjawab apa-apa.

Bermula dari bermain bola di padang bersama- sama sehingga boleh dibawa ke kuliah agama di masjid, bukankah ia sesuatu dakwah Lisanul Hal yang hebat?

Dakwah Atas Manhaj Apa?


Apa yang menariknya, kemunculan suami Kak Zah, Ustaz di dalam Kampung Lintah Pacat menyebabkan berlaku sedikit konflik. Watak segar Ustaz bolehlah ditonjolkan sebagai Kaum Muda(Salaf) manakala watak Imam diceritakan mewakili pemikian Kaum Tua(Khalaf).

Hakikatnya ramai tidak menyedari bahawa agamawan di Malaysia terdiri daripada golongan Salaf dan Khalaf.

Namun demikian, tidak ramai orang awam yang faham tentang kewujudan dua aliran kefahaman utama di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Cuma jangan dipelikkan kerana ia perkara biasa malah turut wujud dengan luasnya di seluruh dunia umat Islam.

Watak Syabab pada mulanya pening kepala dengan amalan Salafi yang diperlihatkan oleh Ustaz Dia bertanya kepada Kak Zah, tetapi Kak Zah hanya berdiam dan menyuruh bertanya kepada ustaz sendiri. Sikap Kak Zah akan menyerlahkan disiplin ilmu yang tinggi yakni penilaian yang adil terhadap sesuatu perkara mestilah merujuk kepada sumber pertama ilmu itu sendiri (bukannya kepada sumber golongan musuh dan taasub).

Pada mulanya Syabab merasakan ustaz seorang yang hipokrit kerana menjawab soalan yang dikemukakan olehnya, dijawab dalam konteks Khalaf. Sedangkan amalan yang dilakukan oleh ustaz berdasarkan manhaj(panduan) Salaf.

Walaupun kadangkala approach golongan Salaf dilihat agak keras, tidak bersesuaian dengan masyarakat Melayu yang “lemah lembut”, itu bukan alasan untuk menolak konsep aqidah dan feqh mereka.

Namun begitu, menurut pengamatan saya. Aliran Salaf di Malaysia boleh dibahagikan secara umumnya kepada tiga jenis, Pertama : Yang ekstrem lagi keras dan tegas. Kedua : Yang Sederhana (moderate), Ketiga : Yang lebih lembut dan toleran (Mild).

Menyedari sikap masyarakat Melayu yang “lemah lembut”, maka approach dakwah Ustaz … lebih dalam kadaran berhikmah. Contohnya dapat dilihat dalam peristiwa majlis bacaan Yassin dari rumah ke rumah. Walaupun perkara tersebut bukan suatu sunnah dan tidak pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW, namun Ustaz menawarkan majlis tersebut diadakan di rumahnya. Syabab yang sudah mula memahami manhaj Salaf menyanggah tindakan ustaz, katanya majilis itu tidak sunnah.

Jawab ustaz, “Kebanyakan dari orang kampung hanya tahu membaca Yassin sebagai amalan mereka, bukankah merugika kalau tidak dilakukan?”(lebih kurang camni la kot)

Bukankah di situ juga terlihat Fiqh al- Awlawiyat? Mengutamakan perkara yang lebih utama dalam soal furuq(cabang) tanpa perlu ada pertikaman dan pertelingkahan.

Kesimpulannya, mesej yang cuba dibawa oleh Fatimah Syarha adalah kepentingan mengutamakan dakwah melebihi prinsip. Kadangkala, prinsip harus digadaikan seketika supaya kerja dakwah berjalan. Kalaulah approach dakwah oleh Ustaz dengan membid’ahkan masyarakat, tentu payah dakwah hendak diterima masyarakat. Sudah tentulah kampung itu sepi dari cahaya Islam.

Fatimah Syarha membawa kita memahami konsep tasammuh(bertolak ansur) dalam menerima pendapat orang lain. Itu juga merupakan manhaj yang diajar agama.

Khatimul


Pertelingkahan terus berlanjutan bukan sahaja di negara ini, malah di negara tempat pengajian Syabab, Syria. Golongan yang saling tuduh- menuduh antara satu sama lain sebenarnya janganlah kita melihatnya sebagai golongan Salaf dan Khalaf semata- mata bahkan mereka adalah golongan yang taksub kepada pandangan masing- masing.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang saling bertoleransi antara satu sama lain, menghormati pandangan orang lain tanpa perlu ada sikap mahu mempertahankan amalan yang bertentangan dengan jalan sunnah. Sesuai dengan namanya : Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ahli yang berpegang kepada sunnah dan jemaah).

Jika ada perselisihan mengenai sesuatu, mereka serahkan kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah An- Nisa' 4:59)

Bukannya bertelingkah dengan maki hamun dan perkara seumpamanya yang tidak memperlihatkan akhlak umat Islam. Kalau seseorang ingin beramal dengan amalan manhaj Salaf, biarkan dia. Itu tidak salah. Tak perlu kita labelkan dia, “Tengok, Muiz tu gerakkan jari waktu tasyahud, sah dia Wahabi.”

Fokus umat hari ini adalah ancaman sekularisme dan kapitalisme bukannya amalan siapa betul dan siapa salah antara Kaum Muda atau Kaum Tua.

Saya amat selesa dengan nasihat Imam Hassan al- Banna. Katanya, “sama ada kamu memilih aliran Salaf, mahu pun Khalaf, mana-mana yang membawa kamu kepada beriman dengan yakin kepada Allah, maka teruskan sahaja dengan manhaj itu!”. Saranan yang sama saya dapat daripada ramai lagi tokoh yang berjiwa Da’ie.

Antara sebab kukuh saya menyokong perjuangan PAS adalah kerana mereka mengisytiharkan secara berterus terang bahawa, ‘Aku’ ingin hidup berdasarkan Islam dan manhajnya!” Itu adalah taktikal dakwah untuk mewujudkan negara Islam.

Kalau umat Islam berpecah kepada Salaf dan Khalaf sudah pasti konsep negara Islam juga akan menjadi satu perbahasan yang panjang. “Nanti Negara Islam tu nak guna manhaj apa? Salaf atau Khalaf?” Siapa nak jawab?

Tak perlu dipertikai manhaj Salaf atau manhaj Khalaf atau manhaj Wahabi, cukuplah kita dengan jalan Islam. Bukankah itu lebih sejahtera?

Berkaitan:
Wahai Dai`e !!: Jalan Yang Lurus Atau Jalan Yang bengkok?