Sabtu, 21 Mac 2009

Melayu Mudah Nyanyuk.

7 komen pembaca

Teringat kepada hari pendaftaran pelajar tingkatan empat baru di bumi SBPI Kubang Pasu, maka coretkan di sini sahaja.

Terlihat seorang lelaki pertengahan usia bersama anak lelakinya datang ke sekolah dengan begitu ringkas sekali. Lelaki itu hanya berkain pelekat, bersongkok dan tentunya berbaju melayu nampak seperti bukan calang- calang orang. Rasanya pernah tengok lelaki tersebut, tapi di mana ya?

Biarkan sahaja teka- teki itu, tetapi yang pasti ramai memandang sinis kepada penampilannya. Mereka cemuhkan pakaiannya kolot, selekeh dan sebagainya.

Peristiwa yang lain, seusai kuliah agama di Sri Mentaloon saya langsung bergegas pulang ke Bandar Baru Bangi dengan menaiki bas ekspress. Di R&R Bukit Gantang, saya terlihat suatu insiden yang menarik.

Sebuah kereta BMW 3 Series dan sebuah kereta Nissan Sunny (model lama) diparkir bersebelahan. Pemilik dan keluarga kepada kedua- dua buah kereta tersebut keluar serentak. Seorang ibu dan anak yang keluar dari Nissan Sunny berpakaian moden tetapi malang ketatnya menjolok mata. Dari warna kulit dan percakapan terbukti mereka keluarga Melayu. Manakala di sebelahnya yang lain, pemilik BMW yang mana seorang perempuan Cina memakai baju kurung nampak sopan dan ayu.

Agaknya pembaca boleh mengandaikan kedua- dua peristiwa di atas.

Melayu Lupa Budaya dan Agama

Melayu hari ini lupa cara mereka sepatutnya berbudaya. Seperti yang disebutkan dalam Manikam Kalbu, di sana ada garis panduan yang jelas bagaimana Melayu sepatutnya berpakaian. Sebagai contoh,mengapa baju Melayu mempunyai lima rumah yang diletakkan butang? Jawapannya kerana Melayu itu berpegang kepada rukun Islam yang lima. Begitu juga baju kurung yang direka, bukan sahaja untuk dipakai sekadar menutup badan sahaja, tetapi melambangkan maruah yang dimiliki pemakainya. Diwajibkan berselendang apabila berbaju kurung.

Mengapa Melayu suka memakai pakaian yang menampakkan aib dan cela? Mengapa Melayu yang masih mengekalkan identiti dianggap kolot dan selekeh?

Kedudukan kini sudah banyak berubah. Melayu akan menjadi satu artifak sejarah dengan patung – patung berbaju Melayu lambang peraih dan penjual bangsa. Gambar songkok yang menjadi simbol kemelayuan tetapi sibuk bercinta dengan kapitalis untuk menyegerakan kemasukan wang ke bank tanda sempurna transaksi penjual bangsa.

Melayu hari ini bersepah di pusat serenti, pusat pelacuran dan lebih membimbangkan pelajar- pelajar Melayu yang mula rosak. Melayu masih tak apa makan di McDonald dan menghirup kopi Starbucks walaupun saudaranya di Palestin dizalimi, dinafikan hak mereka.

Islam datang dengan membersihkan akidah syirik Melayu. Islam juga datang dengan membetulkan segala budaya Melayu. Sebelumnya Melayu dipengaruhi agama Hindu dalam berpakaian, adat dan resam serta agama. Budaya Melayu sebenarnya banyak dicorakkan Islam. Tetapi Melayu apabila melupakan budayanya, ia sedikit demi sedikit menghakis agamanya. Bukankah Islam itu dilihat selari dengan Melayu?

Agungnya pemerintahan Sultan Muzaffar Shah kerana lagaknya seperti Umar Abdul Aziz, saat semua lena dibuai mimpi mereka mengintip untuk mengetahui kisah rakyat. Jatuhnya kerajaan Melayu Melaka kerana kerakusan dan kebuasan nafsu Sultan Mahmud Shah yang melupakan hukum Islam. Flor De La Mar yang dipimpin oleh Alfonso de Albuqerque hanyalah kapal yang hampir reput, berbeza dengan angkatan tentera Melaka yang berkali ganda kuat dari syaitan Portugis; tetapi mereka kalah. Khabarnya seminggu sebelum Melaka dilanggar Portugis, sultan merayakan hari lahirnya dan ramai hilang dara.

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.(Surah Al- Hajj 22:78)

Melaka melupakan Islam, wajarlah mereka diazab.

Sudah sampai masanya kita bertanya, siapa yang keliru. Adakah kita masih lagi Melayu? Apa dia Melayu dan apa guna jadi Melayu? Adakah Melayu itu hanya zahir kerana adat, itu pun sudah mula kegersangan atau Melayu itu pada nama tanpa maruah. Siapa yang jadi petualang dan siapa pula bakal mewarisi kepimpinan pendekar yang sanggup menggadai nyawa atas perjuangan ini?

Melayu Lupa Bahasa

Melayu hari ini juga lupa kepada bahasa. Masih ramai melayu nyanyuk dan tak insaf diri di luar sana menyokong dasar PPSMI diteruskan. Tak kurang juga Melayu yang bodoh(maaf, adakah perkataan lain dapat menggantikannya?) terdiri dari orang ‘berilmu’ mempertahankan PPSMI ini.

Saya tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. Saya juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Saya cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

Hal yang sangat menghairankan Melayu dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik.

Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu. Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (‘foreign language’) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5. Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia.

Khatimul

Kita bukan lagi Melayu. Kita sudah hilang maruah sebagai Melayu dan kita tidak lagi peduli erti Melayu. Melayu bukan satu identiti Malaysia lagi. Kini menyebut Melayu adalah sebagai Bangsa Malaysia sama seperti kaum lain di Malaysia seperti India dan Cina. Apa yang ada pada Melayu mungkin hanya tersorok dalam lipatan sejarah. Kepimpinan Melayu sudah tidak lagi ada jiwa kemelayuan kerana matlamat sudah berubah.

Bukankah ini satu kebenaran. Kalau benar Melayu itu sudah tidak ada lagi apa relevannya UMNO dalam perjuangan politik orang Melayu? Kalau UMNO sendiri sudah menterjemah penggunaan Barisan Nasional dan Bangsa Malaysia apa guna mereka dalam mempertahankan semangat Melayu. Apa guna ketuanan Melayu dan apa guna bumiputera dalam definisi keistimewaan hak. Kalau benar Melayu tidak mahu lagi jadi Melayu mungkin perjuangan DAP lebih sempurna dengan falsafah Malaysian Malaysia. Ini mungkin menyebabkan mereka lebih relevan dari MCA, satu komponen parti yang kerap berselindung di sebalik kain UMNO.

Melayu kecundang kerana UMNO?

UMNO – puncanya? Kepimpinan UMNO penerajunya? Adakah pimpinan sebegini yang menjadi dalang menjual kuasa untuk kekayaan dan menggunakan wang ringgit ini untuk mengaburi Melayu lalu menyerahkan amanah kuasa kembali kepada mereka untuk mereka terus menjual kuasa untuk kepentingan diri. Politik wang berleluasa. Dan Datuk Zahid hanya cakap sekadar cakap melakukan ‘ jihad’
dalam UMNO, kononnya menghapuskan rasuah.

Dan adakah ini sebenarnya yang membunuh tamadun bangsa Melayu itu?Apa yang nyata, Melayu dahulu dan Melayu sekarang sudah banyak berubah.
Melayu, kembalilah kepada Islam!

* Lelaki yang hanya berkain pelekat, bersongkok dan tentunya berbaju melayu ialah Cikgu Mohamad Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS Pengupayaan Melayu. Terlibat sama dengan Himpunan mansuhkan PPSMI. Kadangkala menulis di Harakah.

Isnin, 9 Mac 2009

Berkat Jema'ah

1 komen pembaca
Cikgu Saidah marah- marah. Semuanya disebabkan oleh sikap segelintir pelajar Form 5 yang masih belum cukup matang. Protokol yang disusun oleh pengawas dan Cikgu Asz dilanggar sesuka hati saja. Ye la, patut ke suruh budak Form 1 naik pentas ambil sijil Delf depa walhal budak Form 1 tak tahu protokol majlis rasmi?

Cuaca yang panas pada petang Ahad memanaskan lagi keadaan apabila mereka (Cikgu Saidah, KP dan Ketua BADAR) meluahkan rasa masing- masing. Lama sudah rupanya mereka memendam rasa masing- masing. Antara ucapan yang tidak terlupakan ialah ucapan Ketua BADAR, Fuad.

"Petang ni aku nak cakap satu benda ja. Kita semua tahun ni nak ambil SPM. Tapi kalau kita jauh dari ALLAH macam mana ALLAH nak bagi kat kita kejayaan. Petang semalam, ramai lap(istilah ponteng di sekolah aku) solat Asar berjema'ah. Malam semalam, aku denda (baca: takzir) sapa yang lap solat. Aku pun buat sekali dengan hangpa semua pasal kalau aku tak buat hangpa akan benci aku. Kalau ikutkan aku, malas dah nak ambil tahu pasal hangpa tapi hangpa semua kawan- kawan aku. Dah berbuih mulut aku nasihat hangpa, bukannya aku tak pernah cakap langsung. Banyak kali dah. Aku harap lepas ni musolla kita full," cakap Fuad.

Saya tertarik dengan kata- kata Fuad yang kata, "Aku pun buat sekali dengan hangpa semua pasal kalau aku tak buat hangpa akan benci aku." Maknanya bila dia denda(baca: takzir) orang di setiap dorm dengan satu rakaat satu kali pumping, entah berapa banyak Fuad pumping dalam semalaman. 60? 70?

Suasana

Seawal jam 4:50, azan dilaungkan. Petang itu kelihatan saf hadapan dipenuhi oleh semua pelajar Form 5. Lamanya suasana sebegini tidak muncul dan hadir memberi nur kepada bumi SBPI Kubang Pasu. Sewaktu hendak memulakan surah Al- Fatihah, entah mengapa hati ini diserbu rasa sebak dan pilu.

Mana tidaknya, selama ini kami (BADAR) sentiasa menyeru mereka jangan tinggalkan solat jema'ah tetapi tidak berhasil sepenuhnya. Masih ada yang 'lap' walaupun bilangannya kecil. Secara tiba- tiba berlaku satu kejadian yang memberi hikmah yang besar. Subhanallah... Dia mengkehendaki apa yang dirancangnya.

"Dan merekapun merencanakan makar dengan sungguh-sungguh dan Kami merencanakan makar (pula), sedang mereka tidak menyedari" (An- Naml 27: 50)

Benarlah firman Allah, mengapa hati menjadi sayu:

"Jikalau sekiranya penduduk sesebuah negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (al- A'raaf 7:96)

Kerana keberkatan itu, air mata saya tumpah.

Selasa, 3 Mac 2009

Fikrah Di Bawah Rintisan Hujan

3 komen pembaca
Suasana syahdu terus menyelubungi waktu senja Jumaat di bumi SBPI Kubang Pasu. Tambahan keadaan hujan menambahkan lagi keheningan petang. Makin sunyi apabila hanya tinggal beberapa penghuni Asrama Asy- Syafi’i kerana pulang ke kampung halaman masing- masing. Lengang.

Segalanya basah dan sejuk. Sebenarnya kesuraman dikala hujan membangkitkan rasa sunyi di hati. Walaupun seusai beriadah bersama rakan taulan kesunyian tetap hadir.

Entah mengapa suasana suram sebegini mengetuk hati untuk menulis.

Wajarkah Dasar Seniority?

Walaupun hujan lebat di luar, namun tanda berakhir musim kemarau di sini bakal berakhir. Keadaan panas dan kering kala matahari meninggi tetapi dengan tiupan angin dingin. Suatu perkara saya sayang kepada Bukit Kayu Hitam(I can't believe that Im actually saying this ) kerana istimewanya bercuaca sebegini..Mungkin pengaruh Angin Monsun Tropika yang berpusat di Negara Thai sampai ke sini. Sebenarnya begitu jugalah kehidupan di sini dalam masa awal tahun sebegini: sentiasa panas dan tegang.

Semenjak awal tahun, Akmal Muzakkir (KP SBPI Kubang Pasu) menyeru semua pelajar Form 5 menjalankan ‘dasar seniority’. Kata Akmal, “Hangpa tau tak senior sekolah lain kata senior sekolah ni lembik.” Rasanya kebanyakan sekolah berasrama tahu apa itu ‘dasar seniority’. Senior berhak berbuat apa sahaja kepada junior apatah lagi apabila peraturan yang dilanggar melibatkan senior tersebut.

Secara hujahnya, dasar ini dapat mengekang salah laku disiplin pelajar. Tetapi, setelah beberapa minggu dasar berjalan, terpancarlah maksud sebenar seniority ini. Tukang tegur tidak lebih hanya sekadar tegur melainkan akhlak mereka lebih buruk dari yang ditegur.

Apakah mereka tidak memerhatikan firman ALLAH S.W.T.?:



“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah As Shaff 61: 2 & 3)

Ayat ini jelas sekali menyatakan balasan yang bakal diterima apabila kita cakap tak serupa bikin. Sebenarnya bukan sahaja adanya ‘kebencian di sisi Allah’ tetapi juga kebencian manusia. Kejian kepada sesiapa sahaja yang cakap berdegar- degar tetapi tidak melakukannya.

Yalah, si senior menyuruh adik juniornya menutup aurat tetapi si senior sendiri dengan bangganya memakai seluar pendek yang menampakkan pusat dan lutut. Tentu geram kalau kita jadi adik junior tersebut.

Memanglah tidak ada salahnya mengenakan hukuman untuk menginsafkan si pelaku kesalahan, tetapi adakah kita menjatuhkan hukuman lantaran benar- benar marah kerana ALLAH atau apakah sebab lain yang mendorong kita mendenda pesalah?

Adakah terdapat dalam syariat bahawa hak kepada orang awam untuk menghukum sebahagian yang lain melainkan diwajibkan ke atas pemerintah sahaja?

Mendungkah Masa Depan Ummah?

Dalam cuaca mendung dan hujan ini , saya banyak mengambil masa untuk merenung dan memerhati titisan- titisan air hujan yang turun membasahi bumi. Tanpa disedari , banyak pula idea menerjah di saat begitu , lalu saya mengambil keputusan untuk menulis guna dikongsi bersama apa yang bermain di benak ini.

Ya , perkara utama dan paling awal melintasi garis idea ini ialah nasib dan keadaan ummah dewasa kini. Apakah masa depan mereka turut mendung dan suram bagaikan cuaca hari ini ?

Saya antara berjuta ummah ini, pasti sahaja persoalan sebegini sangat merisaukan. Manakan tidak , setelah menyaksikan tanda aras akhlak mereka yang kian surut , tahap imej moral mereka yang kian pudar dan nilai ketulenan aqidah mereka yang kian luntur ternyata masa depan mereka tampak mendung dan suram.

Bagi para mad’u, salah satu manhaj(methode) dakwah yang berkesan ialah kasih sayang sesama manusia. Cinta dan kasih sayang merupakan titik tolak bagi dakwah yang berhasil. Prasyarat jurudakwah ialah menjadikan dirinya seperti bejana yang dipenuhi dengan kasih sayang yang tulus untuk golongan yang didakwahkan. Tidak kira apa jua golongan, agam mahupun fahaman politik mereka.

Peringkat itu boleh dicapai sekiranya jurudakwah sedia mengorbankankan kepentingan diri dan maslahat duniawi mereka. Sekiranya anda menghadapi kesukaran untuk mengadakan maslahat ini, kembalilah kepada ajaran Al- Quran dan Hadis. Hakikat dan rahsia petunjuk merupakan suruhan Allah kepada para hambanya.

Menyelami hakikat dan rahsia yang tersembunyi tersebut pasti anda akan menyaksikan hakikat rahmat(kasih sayang) Allah kepada hambanya. ‘Izzudin bin Abdussalam berkata, 'perhatikan semua ajakan Allah kepada para hambanya dalam Al- Quran yang memang ditanzilkan bagi memenuhi keperluan manusia,anda tidak melihat selain di hujung itu hal yang membawa kebaikan kepada umat manusia. Dan jika ia dalam bentuk larangan, hal yang dilarang itu pada hakikatnya merugikan manusia.'

Sekiranya masih ada keraguan di hati anda, maka alangkah baiknya untuk menyelidiki kehidupan Muhammad SAW. Sesungguhnya baginda ialah penghulu kepada semua jurudakwah.renungkanlah betapa baginda menumpahkan cinta dan kasihnya kepada umatnya, baginda cuba berusaha menyingkap tabir dan hakikat kepada manusia sebagaimana baginda pernah bersabda:

“Orang- orang yang penyayang akan disayangi Allah. Maka, sayanglah kamu kepada penghuni bumi, nescaya kamu disayangi penghuni langit” (HR Ahmad, Hakim, Abu Dawud dan Tirmizi)

Selain itu bacalah riwayat hidup sahabat Nabi, yakni ketika dalam suatu peperangan melawan orang- orang musyrik, sahabat bertanya kepada Nabi SAW:

“Mengapa anda tidak mendoakan mereka mendapat kecelakaan ya Rasulullah?”

Jawab Nabi SAW:

“Sesungguhnya aku bukan diutus untuk menjadi tukang kutuk.”

Sesungguhnya telah warid dari Rasulullah baginda tidak pernah mendoakan seseorang, sama ada Islam atau kafir, agar mendapat kecelakaan atau keburukan malah beliau tetap mendoakan orang yang jahat itu agar mendapat rahmat, keampunan dan hidayah dari Allah.

Masih Adakah Esok Buat Ummah?

Melihat kepada perpecahan umat yang semakin melampau hari ini, baik dari segi politik atau aliran Salaf mahupun Khalaf, hati tergerak untuk menyatakan sesuatu pada hari ini.

Dari sudut politik, berlaku pertelagahan antara Muslim dan non- Muslim di luar kawasan parlimen baru- baru ini.

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam bersama dengan badan – badan Islam yang lain termasuklah orang perseorangan yang menunjuk cinta dan kasihnya terhadap Islam , biarpun sering ditohmah dan ditekan dari segenap arah sewajarnya terus berjuang bagi menyelamatkan ummah.

Seharusnya inilah masa yang sesuai bagi para mad’u dalam PAS menunjukkan kasih sayang dan cinta dalam Islam yang sebenarnya. Janganlah pula PAS turut terjebak dengan perbalahan politik yang meminggirkan akhlak Islami.

Dari permasalahan Salaf atau Khalaf pula, saya sebenarnya selesa berpegang dengan “sama ada kamu memilih aliran Salaf, mahu pun Khalaf, mana-mana yang membawa kamu kepada beriman dengan Yakin kepada Allah, maka teruskan sahaja dengan manhaj itu!”. Saranan inilah yang saya dapat daripada Hasan al-Banna dan ramai lagi tokoh yang berjiwa Da’ie.

Pada awalnya saya juga begitu memusuhi golongan yang dikatakan Wahabi ini. Mana tidaknya, web yang menjadi rujukan saya sepanjang waktu tersebut hanyalah bankwahabi.blogspot.com. Begitu juga apabila saya kenal rapat dengan seorang pemuda pondok yang pandai berhujah menentang Wahabi.

Sehinggakan pernah suatu ketika, salah seorang ustaz saya yang dilabel Wahabi memberi kuliah di hadapan musolla, saya dan beberapa senior yang taksub kepada satu pendapat mazhab sahaja(Shafi’i) menentang pendapat ustaz tersebut di belakang surau. Na’azubillah...

Tetapi, alhamdulillah Allah masih belum menutup pintu hati saya untuk membezakan antara hak dan batil. Apabila saya semakin dewasa dan sanggup mengkaji khilaf para ulama, ia mengajar saya lebih bersikap adil terhadap ilmu.

Ya, itu kenangan silam saya tentang Wahabi.

Betapa rumitnya permasalahan ini sehingga timbulnya web- web yang menghentam antara satu sama lain. Hanya dengan beberapa klik kalian akan dapat membaca cacian dan makian dalam mempertahankan pendapat masing- masing.

Isu pertembungan Salaf dan Khalaf, saya suka mengambil pendekatan Hasan al-Banna yang sentiasa mengenengahkan titik-titik persamaan dan bukannya berkasar dengan perbezaan. Mudah-mudahan cara ini adalah cara paling baik, khususnya di dalam usaha pembaikan umat.

Di manakah disiplin ilmu yang wajib dipertahankan?

Betapa rumitnya permasalahan ini juga menyebabkan ulama mujtahid zaman moden Dr. Muhammad Said Ramadhan Al- Bouty mengarang sebuah buku bertajuk As- Salafiah. Insya- Allah andai kalian ikhlas mahu mencari kebenaran bacalah buku tersebut.

Sampaikan saya pernah mendengar kata- kata kurang enak dari seorang kawan, “Orang agama pun mencerca dan memaki hamun sesama mereka bagaimana kami hendak mengikut ajaran yang mereka sampaikan?” Tak sungguh tak melata, tak sungguh saya tak kata. Tambahan, akses internet digunakan sepenuhnya oleh remaja pada hari ini.

Barangkali kalian ingin mengatakan: “Jika benar matlamat dakwah itu untuk mengelakkan manusia menyimpang daripada kebenaran dan terjerumus ke dalam lembah kecelakaan – atas dasar cinta dan kasih sayang – lalu mengapa diperintahkan memerangi orang- orang kafir atau ahlul bid’ah jika keadaan menuntut sedemikian?”

Sebenarnya dakwah menurut Islam hendaklah dijalankan dengan cara damai (muwajah bis’silm) berupa saran, nasihat atau pengajaran yang didasari cinta dan kasih sayang sesama manusia dalam erti kata yang luas. Itulah asalnya mula kegiatan dakwah Islam menurut para ulama. Jadi apabila cara dakwah ini telah berubah kepada kekerasan, maka dakwah ini telah dicemari dari hakikatnya.

Dakwah yang dilaksanakan dengan lembut dan damai tidak akan ditentang oleh manusia yang mempunyai maslahat duniawi yang ingin mempertahakan kedudukan masing- masing. Kebenaran pandangan ini terbukti dengan dakwah Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis. Begitu juga penaklukan kerajaan Parsi dan Romawi oleh tentera muslimin.

Maka dasar cinta dan kasih sayang itu jugalah – jika terpaksa, jika tidak ada jalan lain – maka diwajibkan berperang untuk menundukkan musuh- musuh Islam. Tetapi harus diingat bahawa perang yang disyariatkan oleh Allah hanya ketika saat yang diperlukan, bukan perang yang didasari kedengkian atau niat buruk. Perang yang dibenarkan adalah perang yang sifatnya mendidik yang sesuai menurut ajaran dan etika dalam Islam.

Tidak perlu dibahskan bab jihad dalam artikel pendek ini, eloklah merujuk buku yang khusus membincangkannya untuk sesiapa yang mahu memahami selok- belok dan hikmah jihad.

Khatimul

Mungkin kalian berkata, “Bagaimana menyatukan cinta dan kasih kepada semua makhluk dengan kewajipan seorang Muslim untuk membenci kerana Allah di samping cinta kerana- Nya?” Jawabnya, “Tidak ada pertentangan antara cinta dan kasih kepada orang yang melaksanakan dosa dan maksiat, dan pada masa itu dia merasa benci kepadanya kerana Allah Azza wa Jalla, tapi kita hendaklah membezakan antara bencik kerana Allah atau benci kepada hawa nafsu, atau benci yang baik atau benci yang buruk.”

Makna benci kerana Allah ialah bahawa seorang Muslim membenci seseorang yang berbuat maksiat bukan kerana benci kepada peribadi orang tersebut, dan yang mendorong dia benci adalah cinta itu sendiri, dia ingin orang yang dicintainya beroleh kebaikan.

Berapa banyakkah Muslim hari ini yang membenci maksiat kerana Allah dan muncul ‘perasaan kasihan’ kepada seseorang yang membuat maksiat? Bukan kerana kepentingan diri dan hawa nafsu untuk membenci seseorang yang berbuat maksiat apatah lagi kedengkian.Terjadi demikian pada sebahagian orang Islam lalu mereka mensyari’atkannya dan menamakannya ‘lambang benci kepada Allah’. Sungguh, ini adalah satu fitnah dan jenayah kepada agama.

Ya Allah, celikkan mata hatiku untuk melihat kebenaran di akhir zaman.
Amin...