Sabtu, 21 Mac 2009

Melayu Mudah Nyanyuk.


Teringat kepada hari pendaftaran pelajar tingkatan empat baru di bumi SBPI Kubang Pasu, maka coretkan di sini sahaja.

Terlihat seorang lelaki pertengahan usia bersama anak lelakinya datang ke sekolah dengan begitu ringkas sekali. Lelaki itu hanya berkain pelekat, bersongkok dan tentunya berbaju melayu nampak seperti bukan calang- calang orang. Rasanya pernah tengok lelaki tersebut, tapi di mana ya?

Biarkan sahaja teka- teki itu, tetapi yang pasti ramai memandang sinis kepada penampilannya. Mereka cemuhkan pakaiannya kolot, selekeh dan sebagainya.

Peristiwa yang lain, seusai kuliah agama di Sri Mentaloon saya langsung bergegas pulang ke Bandar Baru Bangi dengan menaiki bas ekspress. Di R&R Bukit Gantang, saya terlihat suatu insiden yang menarik.

Sebuah kereta BMW 3 Series dan sebuah kereta Nissan Sunny (model lama) diparkir bersebelahan. Pemilik dan keluarga kepada kedua- dua buah kereta tersebut keluar serentak. Seorang ibu dan anak yang keluar dari Nissan Sunny berpakaian moden tetapi malang ketatnya menjolok mata. Dari warna kulit dan percakapan terbukti mereka keluarga Melayu. Manakala di sebelahnya yang lain, pemilik BMW yang mana seorang perempuan Cina memakai baju kurung nampak sopan dan ayu.

Agaknya pembaca boleh mengandaikan kedua- dua peristiwa di atas.

Melayu Lupa Budaya dan Agama

Melayu hari ini lupa cara mereka sepatutnya berbudaya. Seperti yang disebutkan dalam Manikam Kalbu, di sana ada garis panduan yang jelas bagaimana Melayu sepatutnya berpakaian. Sebagai contoh,mengapa baju Melayu mempunyai lima rumah yang diletakkan butang? Jawapannya kerana Melayu itu berpegang kepada rukun Islam yang lima. Begitu juga baju kurung yang direka, bukan sahaja untuk dipakai sekadar menutup badan sahaja, tetapi melambangkan maruah yang dimiliki pemakainya. Diwajibkan berselendang apabila berbaju kurung.

Mengapa Melayu suka memakai pakaian yang menampakkan aib dan cela? Mengapa Melayu yang masih mengekalkan identiti dianggap kolot dan selekeh?

Kedudukan kini sudah banyak berubah. Melayu akan menjadi satu artifak sejarah dengan patung – patung berbaju Melayu lambang peraih dan penjual bangsa. Gambar songkok yang menjadi simbol kemelayuan tetapi sibuk bercinta dengan kapitalis untuk menyegerakan kemasukan wang ke bank tanda sempurna transaksi penjual bangsa.

Melayu hari ini bersepah di pusat serenti, pusat pelacuran dan lebih membimbangkan pelajar- pelajar Melayu yang mula rosak. Melayu masih tak apa makan di McDonald dan menghirup kopi Starbucks walaupun saudaranya di Palestin dizalimi, dinafikan hak mereka.

Islam datang dengan membersihkan akidah syirik Melayu. Islam juga datang dengan membetulkan segala budaya Melayu. Sebelumnya Melayu dipengaruhi agama Hindu dalam berpakaian, adat dan resam serta agama. Budaya Melayu sebenarnya banyak dicorakkan Islam. Tetapi Melayu apabila melupakan budayanya, ia sedikit demi sedikit menghakis agamanya. Bukankah Islam itu dilihat selari dengan Melayu?

Agungnya pemerintahan Sultan Muzaffar Shah kerana lagaknya seperti Umar Abdul Aziz, saat semua lena dibuai mimpi mereka mengintip untuk mengetahui kisah rakyat. Jatuhnya kerajaan Melayu Melaka kerana kerakusan dan kebuasan nafsu Sultan Mahmud Shah yang melupakan hukum Islam. Flor De La Mar yang dipimpin oleh Alfonso de Albuqerque hanyalah kapal yang hampir reput, berbeza dengan angkatan tentera Melaka yang berkali ganda kuat dari syaitan Portugis; tetapi mereka kalah. Khabarnya seminggu sebelum Melaka dilanggar Portugis, sultan merayakan hari lahirnya dan ramai hilang dara.

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.(Surah Al- Hajj 22:78)

Melaka melupakan Islam, wajarlah mereka diazab.

Sudah sampai masanya kita bertanya, siapa yang keliru. Adakah kita masih lagi Melayu? Apa dia Melayu dan apa guna jadi Melayu? Adakah Melayu itu hanya zahir kerana adat, itu pun sudah mula kegersangan atau Melayu itu pada nama tanpa maruah. Siapa yang jadi petualang dan siapa pula bakal mewarisi kepimpinan pendekar yang sanggup menggadai nyawa atas perjuangan ini?

Melayu Lupa Bahasa

Melayu hari ini juga lupa kepada bahasa. Masih ramai melayu nyanyuk dan tak insaf diri di luar sana menyokong dasar PPSMI diteruskan. Tak kurang juga Melayu yang bodoh(maaf, adakah perkataan lain dapat menggantikannya?) terdiri dari orang ‘berilmu’ mempertahankan PPSMI ini.

Saya tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. Saya juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Saya cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

Hal yang sangat menghairankan Melayu dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik.

Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu. Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (‘foreign language’) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5. Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia.

Khatimul

Kita bukan lagi Melayu. Kita sudah hilang maruah sebagai Melayu dan kita tidak lagi peduli erti Melayu. Melayu bukan satu identiti Malaysia lagi. Kini menyebut Melayu adalah sebagai Bangsa Malaysia sama seperti kaum lain di Malaysia seperti India dan Cina. Apa yang ada pada Melayu mungkin hanya tersorok dalam lipatan sejarah. Kepimpinan Melayu sudah tidak lagi ada jiwa kemelayuan kerana matlamat sudah berubah.

Bukankah ini satu kebenaran. Kalau benar Melayu itu sudah tidak ada lagi apa relevannya UMNO dalam perjuangan politik orang Melayu? Kalau UMNO sendiri sudah menterjemah penggunaan Barisan Nasional dan Bangsa Malaysia apa guna mereka dalam mempertahankan semangat Melayu. Apa guna ketuanan Melayu dan apa guna bumiputera dalam definisi keistimewaan hak. Kalau benar Melayu tidak mahu lagi jadi Melayu mungkin perjuangan DAP lebih sempurna dengan falsafah Malaysian Malaysia. Ini mungkin menyebabkan mereka lebih relevan dari MCA, satu komponen parti yang kerap berselindung di sebalik kain UMNO.

Melayu kecundang kerana UMNO?

UMNO – puncanya? Kepimpinan UMNO penerajunya? Adakah pimpinan sebegini yang menjadi dalang menjual kuasa untuk kekayaan dan menggunakan wang ringgit ini untuk mengaburi Melayu lalu menyerahkan amanah kuasa kembali kepada mereka untuk mereka terus menjual kuasa untuk kepentingan diri. Politik wang berleluasa. Dan Datuk Zahid hanya cakap sekadar cakap melakukan ‘ jihad’
dalam UMNO, kononnya menghapuskan rasuah.

Dan adakah ini sebenarnya yang membunuh tamadun bangsa Melayu itu?Apa yang nyata, Melayu dahulu dan Melayu sekarang sudah banyak berubah.
Melayu, kembalilah kepada Islam!

* Lelaki yang hanya berkain pelekat, bersongkok dan tentunya berbaju melayu ialah Cikgu Mohamad Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS Pengupayaan Melayu. Terlibat sama dengan Himpunan mansuhkan PPSMI. Kadangkala menulis di Harakah.

7 ulasan:

adysuR berkata...

Terima kasih!
Satu lagi post yang membuka mata dan minda insan yang bergelar pembaca ;)

jiwamelayu berkata...

kita hidup saling memperingati,sama-sama berpesan dengan kebenaran

insya ALLAH Islam gemilang...

zeeyazain berkata...

huhu...
bagus2...aku suka cara ko mengulas isu ni...

maaf ye pasal adult content tu...saja je letak hari tu...

gimik ja...

zawani berkata...

if im x mistaken, cikgu azmi tu ayah kak ilham syatirah. batch FBI. wallah la ayah dia.

jiwamelayu berkata...

@kak zawani:

ye ke? sama ke???

ni cikgu azmi anak dia seorang lelaki. dok kat sp.

zawani berkata...

entahlah, maybe kami silap kot, sebab rasanya tak pernah pulak kak am crita dia ada adik laki, rasanya adik dia pmpn. tapi ayah dia mmg orang hebat, dan memang berkain pelikat kemana-mana termasuklah pi overseas. takpa2, nnti kami pi confirmkan lain ok.

Tanpa Nama berkata...

mengenai penggunaan bahasa inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik adalah satu usaha yang baik..tidak salah jika mempelajari bahasa asing..it is an international language.,so if comes to university life the malay student will not shock with the language barier..same goes to arabic language.mempelajari sesuatu bahasa itu amat penting..setiap bahasa itu adalah ilmu dari Allah..poor command of english is one of the most reasons inferiority complex faced by students in local universities..wallahualam..it is just my opinion..:)