Jumaat, 1 Mei 2009

Warkah Terbuka buat Sahabat Tercinta

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaykum warahmatullah wabarakatuh.

Bersulamkan rasa kasih dan cinta kepada sahabat sekalian, saya tuliskan warkah ini. Warkah ini tidak boleh dibincangkan dengan emosi, ianya harus diperkatakan dengan ukhuwwah. Dengan harapan semoga kita melihat dan menilai sesuatu itu dengan kaca mata yang adil dan benar. Warkah ini juga sebenarnya khas untuk pelajar- pelajar SBPI Kubang Pasu yang baru pulang dari Kursus Bina Negara anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri. Sebahagiannya masih lagi berada di sana.

Biro Tatanegara telah mewajibkan semua pelajar SBP seluruh negara menghadiri kursus ini.

Sahabat yang saya kasihi,


Mereka menimbulkan 'kesedaran' kepada kita dengan lagu ini:

video

Mereka dari kursus tersebut mengatakan Melayu sedang ditindas. Mereka juga mengatakan yang menindas Melayu adalah dari kaum yang lain: Cina dan India. Mereka menyalahkan DAP yang memansuhkan DEB di Pulau Pinang. Kerana ketiadaan DEB, Melayu mundur. Mereka menuduh Tuan Guru Nik Aziz seorang ulama' yang jahat: sanggup membenarkan penggunaan kalimah ALLAH bagi penganut agama samawi lain.

Benarkah begitu?

Mereka juga mengatakan ada hadis yang mendakwa salam orang bukan Islam tak boleh dijawab. Mereka mungkin tidak tahu hadis nabi:

"Sesiapa yang berbohong atas namaku (dengan sengaja) maka siaplah tempat duduknya dalam neraka" (HR Bukhari dan Muslim)

Sahabatku yang disayangi,

"Di Malaysia cuma ada satu bangsa sahaja, Melayu. Cina dan India tak layak duduk di sini. Ini bumi kita!"

"Kedudukan orang Melayu tergugat apabila satu pertiga kerusi di Parlimen dikuasai oleh bukan Bumiputra."

Apabila tiba di sekolah, inilah yang didengar oleh telinga sahabatmu. Nampaknya misi menerapkan ketuanan Melayu telah berjaya dilakukan mereka.

Hiba saya mendengar ungkapan sebegitu. Hiba saya bukan kerana itu tanda Melayu jatuh tetapi kerana ucapan- ucapan itu mengandungi erti ashabiyyah yang perit. Bukankah Islam menekankan prinsip keadilan yang teguh kepada penganut agama lain?

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Surah Al- Mumtahanah 60:8)

Apa yang bangsa Cina dan India buat terhadap bangsa Melayu? Adakah mereka melakukan penghapusan etnik? Adakah mereka membunuh bangsa Melayu saban hari?

Tidak wahai sahabat!

Sahabat yang saya sentiasa ingati,


Siapakah yang telah 'membunuh bangsa Melayu secara senyap sebenarnya?

Sepanjang DEB berjalan, berapa ramai jutawan Melayu yang lahir? Sekurang- kurangnya kemiskinan Melayu menjadi sifar. Tetapi, itu tidak berlaku. Mengapa mereka menuduh Lim Guan Eng sebagai pemusnah bangsa Melayu?

Sejarah tidak mungkin dapat melupakan tindakan "jahat" UMNO menghapuskan tulisan jawi sehingga melahirkan generasi yang buta jawi dan al Quran . Implikasinya , generasi ini membesar dalam keadaan jauh dari petunjuk Ilahi dan mereka mula terpesong dengan menjebakkan diri secara mudah dalam kancah maksiat dan mungkar .

UMNO mungkin tidak dapat memaafkan diri mereka sendiri apabila bertindak "bodoh" demi mengekalkan kuasa mereka , dalam kesempatan membentuk persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi sessi penggal 2003/2004 tidak menambah langsung kerusi parlimen di kawasan majoriti Melayu seperti Kedah , Perlis , Terengganu dan Kelantan berasaskan kebimbangan pihak PAS akan menang besar dalam pilihanraya .

Samalah sebagaimana UMNO "mendera" rakyat yang rata - ratanya berbangsa Melayu di negeri Terengganu dangan merampas Royalti minyak petroleum Terengganu sedang mereka membayarnya untuk Sabah dan Serawak .

Menutup dua buah MRSM di negeri Terengganu berasaskan "dendam" politik di zaman PAS menguasai negeri tersebut turut dilihat sebagai jenayah UMNO terhadap bangsa Melayu .

Bertambah parah apabila UMNO kelihatan nekad membantai dan membelasah orang melayu yang rata - rata beragama Islam apabila mereka meruntuhkan institusi ibadah orang melayu yang beragama Islam seperti masjid dan surau dan ini berlaku di Kg. Bujal Terengganu , Kampung Berembang di Ampang , Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi dan demikian mereka mengunci surau dan masjid seperti apa yang berlaku kepada surau seksyen 18 di Shah Alam dan lainnya.

UMNO juga bertanggungjawab memberi tekanan ke atas sekolah agama rakyat (SAR) dengan tidak lagi memberi bantuan perkapita kepada sekolah - sekolah agama milik rakyat yang umumnya pelajar SAR ini adalah orang - orang melayu yang beragama Islam sehingga akhirnya sebahagian SAR rebah menyembah bumi dan tidak lagi mampu beroperasi dengan baik untuk mebekalkan ilmu agama kepada rakyat.

Tiada siapa yang dapat memaafkan UMNO apabila mereka menangkap dan memenjara malah menyeksa pemimpin - pemimpin Melayu terutama daripada PAS hanya kerana mereka menentang UMNO dalam sebuah negara demokrasi . Pula tidak pernah mereka membicarakan para pemimpin melayu yang mereka tahan secara adil di mahkamah sebaliknya menggunakan akta draconian ISA untuk kepentingan atau survival kuasa politik mereka .

Pemimpin UMNO mengambil kesempatan di atas mandat undi rakyat untuk mengautkan keuntungan membina empayar dan kemewahan keluarga dan kroni mereka bertaraf million ringgit , sementara rakyat khasnya yang berbangsa Melayu terus melarat sehingga masih ada kampung Melayu dalam negeri maju di negara ini di sampai elektrik dan air.

Bila UMNO menjaga Melayu ? Lihat aksi mereka menjelang pilihanraya . Sasaran mereka ialah Kelantan yang Menteri Besar dan Exco serta rakyatnya majoriti Melayu . Mereka dera Kelantan lebih 17 tahun hanya kerana semata - mata Kelantan menolak kepimpinan UMNO . Sedang mereka tidak peduli nasib orang Melayu di Pulau Pinang yang pernah disebut oleh Tun Dr. Mahathir bagai berada di zaman perang dunia kedua. Mereka juga tidak ambil endah kesan ke atas orang Melayu di Johor dengan projek Pembangunan Wilayah Iskandar apabila mereka membuka kawasan itu kepada Singapura .

Banyak lagi wahai sahabat, tindakan- tindakan yang menindas bangsa Melayu.

Entahlah , saya naik jelak apabila UMNO cuba bercakap soal Melayu . Melayu yang mereka tindas dan khianati . UMNO menikam Melayu dari belakang kemudian berlagak nak bercakap soal Melayu.

Sejauh manakah autoriti UMNO untuk terus bercakap soal Melayu?

Sahabat yang saya cintai,

Sebagai rakyat berbangsa Melayu , saya bangga dengan bangsa saya dan saya bangga menjadi Melayu . Saya juga mahukan bangsa saya hebat di mata dunia dengan memiliki maruah dan harga diri yang tinggi .

Tetapi UMNO tidak layak untuk bercakap soal Melayu apalagi untuk bercakap soal ketuanan Melayu . Selain daripada UMNO adalah sebuah parti perkauman dan hanya bercakap soal Melayu dengan bahang api perkauman dikala mereka tersepit dan kalah seperti ini , UMNO lebih dilihat sebagai pengkhianat bangsa dan perosak anak bangsa sendiri.

Soal bangsa boleh diperjuangkan tetapi tidak dengan semangat perkauman tetapi atas semangat agama yang penuh toleransi dan saling menghormati antara agama dan bangsa .

Agama Islam mengizinkan kita kasihkan bangsa tetapi tidak menghela kepada semangat perkauman sehingga bersikap prejudis terhadap kaum bangsa lain. Justeru itu, Ketuanan Islam wajar diperjuangkan. Islam selamat maka bangsa akan selamat.

Islam adalah agama yang tidak meletakkan warna kulit dan bahasa lidah sebagai kualiti dalam sistem nilainya, tetapi merujuk kepada taqwa dan ketundukkannya kepada Allah Tuhan yang mencipta alam ini.

Dalam khutbah al wada' ( dari Jabir bin Abdullah rha. ) Nabi saw. pernah bersabda:

يأيها الناس ألا إن ربكم واحد ألا إن أباكم واحد ألا لا فضل لعربي على أعجمي و لا لعجمي على عربي و لا لأسود على أحمر و لا أحمر على أسود إلا بالتقوى إن أكرمكم عند الله أتقاكم

Maksudnya : Wahai manusia ! Ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu . Sesungguhnya bapa kamu adalah satu . Ketahuilah ! Tiada kelebihan bagi Arab mengatasi bukan Arab dan tiada ( kelebihan ) bukan Arab mengatasi Arab dan demikian tiada ( kelebihan ) sikulit hitam mengatasi sikulit merah dan tiada ( kelebihan ) sikulit merah mengatasi sikulit hitam kecuali dengan TAQWA. Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dikalangan kamu.(HR Al- Bukhari)

Demikian membawa maksud yang sama, Allah berfirman di dalam surah al Hujurat ayat 13 bahawa Ia mencipta manusia yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan malah berpuak- puak dengan pelbagai suku kaum untuk mereka saling kenal mengenal (berinteraksi dan bekerjasama) antara satu sama lain dan kemuliaan melalui sistem nilai Ilahi ialah kepada mereka yang paling bertaqwa kepadanya.

Islam membatasi isu perkauman dan sangat menghormatinya malah Islam telah menetapkan dasar tidak sekali- kali boleh kita memaksa orang lain memeluk ajaran Islam termasuklah menghina tuhan- tuhan mereka.

Ini sebahagian adab dan prinsip Islam yang berjaya meletakkan Islam sebagai sebuah agama yang sesuai untuk semua dan sangat toleransi dengan semua kecuali terhadap mereka yang menghina dan memeranginya.

Alhamdulillah, perkembangan semasa hari ini memperlihatkan sedikit demi sedikit tembok perkauman ini runtuh dan ia membuka ruang yang lebar untuk semua pihak menilai Islam dari dekat tanpa sebarang halangan besar.

Sekurang - kurangnya mereka akan memahami bahawa apa yang dilontar oleh Barat selama ini adalah tidak lebih sekadar satu tohmahan jahat dan liar terhadap Islam.

Islam sebenarnya tidak asing kepada semua bangsa dalam negara kita. Islam terlebih dahulu sampai ke negera China berbanding Malaysia demikian juga India yang lebih awal menerima kemasukan Islam ke negara mereka. Melayu ternyata jauh lebih lewat menerima Islam berbanding China dan India.

Islam mengajar elemen yang suci dan baik serta menghormati perbezaan agama dan budaya. Lantaran itu, Islam andai diberi peluang, mampu meletakkan negara yang pelbagai kaum ini berada dalam satu hubungan raya antara kaum dan bangsa yang harmonis dan selamat . Tiada siapa yang akan dinafikan haq apalagi disakiti oleh pemimpinnya tanpa haq.

Lihat sajalah kepada 2 prinsip dan dasar kepimpinan Islam dalam isu hubungan antara kaum dan hak persamaan mereka dalam sebuah negara Islam, sebagai contoh saya perlihatkan:

Pertama kenyataan Saidina Abu Bakar as - Siddiq pada hari baginda dibaiah atau dilantik menjadi Ketua Pemerintah:

إني وليت عليكم و لست بخيركم فإن أحسنت فأعينوني و إن أسأت فقوموني الصدق الأمانة و الكذب الخيانة القوي فيكم ضعيف عندي حتى آخذ حق منه و الضعيف فيكم قوي عندي حتى آخذ حق له

Sesungguhnya akhu dilantik menjadi pemimpin kamu sedang aku bukanlah yang terbaik dikalanmgan kamu. Justeru itu , jika berlaku adil maka bantulah aku dan jika aku menyeleweng maka perbetulkan aku. Benar adalah amanah dan bohong adalah khianat . Orang kuat pada kamu adalah lemah padaku sehingga aku boleh mengambil suatu yang hak daripadanya sementara orang lemah pada kamu adalah kuat padaku sehingga aku mengembalikan haknya.

Kedua dapat dilihat melalui sikap Nabi saw. terhadap non muslim yang sedia berada dibawah pemerintahan Islam yang disebut sebagai kafir zimmi:

من آذى ذميا فقد آذاني

Barang siapa yang menyakiti non muslim yang berada di bawah pemerintahan Islam (zimmi) maka ia telah menyakiti diriku.

Sahabat yang menjadi ruhul qalbi,

Sebagaimana berkali saya tegaskan bahawa kaum dan bangsa selain Melayu akan tersentuh hati mereka apabila kita senantiasa mengenegahkan soal Melayu , Melayu dan Melayu . Kenapa tidak ? sebagaimana kita juga akan tersentuh perasaan jika mereka hanya mengenegahkan isu Cina , Cina dan Cina .

Ini kerana di sebabkan bangsa kita adalah suatu yang tidak boleh berubah. Kita jadi Melayu bukan kerana pilihan kita sebagaimana Cina menjadi Cina bukan kerana pilihan mereka .

Justeru itu, bercakap soal bangsa tidak boleh menyelesaikan masaalah perpaduan dan persefahaman antara kaum . Kita bercakap soal bangsa malah selalu berbangga dan mendabik dada dengan bangsa kita , sekalipun bangsa kita mempunyai pelbagai kelebihan dan kehebatan ia tetap akan mengundang rasa tidak puas hati dikalangan bangsa lain kerana mereka sampai bila pun tidak boleh jadi melayu untuk sama - sama menikmati kelebihan tersebut.

Apabila kita timbulkan isu ketuanan Melayu, maka Cina dan India akan terguris perasaan mereka disebabkan sampai bila pun, mereka tidak boleh jadi Melayu untuk turut sama menikmati "ketuanan" tersebut. Tambahan kalau Melayu dipandang tidak memiliki apa - apa oleh mereka , saya kira sampai bila pun mereka tidak berminat "menjadi" Melayu .

Berbeza kiranya kita bercakap soal Ketuanan Islam. Selain daripada Islam adalah agama samawi yang benar dan hebat , ia adalah agama yang boleh diterima oleh siapa sahaja justeru turunnya adalah menjadi rahmat kepada sekelian alam .

Sesiapa sahaja boleh menjadi muslim. Tidak mengira apa bangsa ia dicipta , Asy Syahadatain boleh menjadikan mereka layak sebagai seorang muslim. Maksudnya sesiapa sahaja boleh menerima Islam asal sahaja meyakini bahawa tiada Tuhan melainkan Allah sebagai Tuhan yang layak disembah. Melayu kah mereka demikianlah cina atau Indiakah mereka. Mereka boleh jadi Melayu Muslim, Cina Muslim, India Muslim atau apa sahaja bangsa mereka.

Kalau pun mereka tidak mahu menjadi muslim atau tidak menerima Islam sebagai agama dan cara hidup mereka. Mereka masih boleh memilih untuk berada dibawah lindungan Islam sebagai golongan zimmi yang membayar Jizyah kepada pemerintahan Islam.

Memandangkan Cina dan India terlebih dahulu mengenali Islam berbanding Melayu , maka saya sangat yakin apabila kita bercakap soal Ketuanan Islam, ianya tidaklah mengecewakan mereka.

Apa yang malang ialah umat Islam sendiri gagal beramal dan menghayati Islam sebagai cara hidup dan membimbing manusia kembali ke jalan yang benar. Sedikit sebanyak ia menjadi fitnah kepada ummah .

Namun begitu Islam tetap utuh sebagai agama suci yang dipelihara oleh Allah jalla wa A'ala . Ajarannya tetap menunjuk ke arah jalan yang benar. TIdak sahaja jalan menuju akhirat dan membina kehidupan akhirat di syurga ALlah tetapi Islam adalah agama yang lengkap dengan pelbagai akta dan enakmen serta peraturan untuk manusia menjalani kehidupan di dunia.

Persoalannya kenapa tidak kita bercakap soal Ketuanan Islam lantas memperjuangkannya . Islam agama yang syumul pula kaya dengan kemuliaan akhlak dan ketinggian nilai.

Saya berkeyakinan tinggi bahawa Islam agama yang mampu malah boleh diterima oleh sesiapa sahaja andainya sampai kepadanya keterangan dan penjelasan yang lengkap mengenai Islam. Selebihnya kembali kepada ketentuan Allah untuk memberi hidayah atau tidak.

Paling tidak, menjadikan mereka akur akan kebenaran Islam dan tidak lagi memusuhi Islam atau peringkat seterusnya, mereka sedia malah memilih untuk berada dibawah lembayung Islam justeru menginsafi keadilannya kalaupun mereka belum bersedia untuk menganut ajaran Islam.

Mempertahan dan memperjuangkan Ketuanan Islam nyata berbaloi berbanding perjuangan bangsa dan warna kulit.

Berasaskan realiti ini, saya menyeru agar kita tidak lagi memperjuangkan bangsa sebaliknya memperjuangkan Ketuanan Islam disamping kita berbangga menjadi bangsa apa kita diciptakan.

Sahabat sekalian, anda mempunyai dua pilihan. Memperjuangkan Melayu yang tidak terjamin keselamatannya atau memperjuangkan Islam yang ALLAH jamin kemuliannya sehingga hari kiamat.

Yang Benar,
Sahabatmu

Tiada ulasan: