Rabu, 21 Mac 2012

Simbol vs Nilai

Sebelum memulakan tulisan kali ini, barangkali, ada baiknya kita menelaah dahulu puisi berharga daripada W.S Rendra :

“Dasar pendidikan kita adalah kepatuhan.
Bukan pertukaran pikiran.
Ilmu sekolah adalah ilmu hafalan,
dan bukan ilmu latihan menguraikan.”

Di Malaysia, bila keputusan SPM diumumkan nanti, akan berlaku kemenangan simbol atas nilai. Sebagaimana Firaun membina simbol Piramid sebagai lambang keabadiannya sebagai tuhan(supaya manusia selepas terus menyembahnya), manusia- manusia moden yang menyembah simbol A akan memuja muji budak- budak SPM yang sijilnya penuh dengan A. Pihak sekolah akan berbangga sebab sekolah berpeluang naik taraf jadi SBT. Pengetua tersenyum lebar sebab akan naik pangkat dengan kejayaan sekolah, kalau nasib baik, dapat gelaran 'pengetua cemerlang'. Akhbar akan menempatkan muka hadapan 'pelajar- pelajar cemerlang SPM'. Ibu bapa tumpang sekaki seronok.

Ini realiti hari ini, simbol A menjadi lebih agung berbanding nilai ilmu yang dikutip sepanjang sekolah. Apakah bilangan A itu menyebabkan proses kita menjadi manusia yang lebih baik? Mungkin kita sudah mula lupa dengan kisah Amalina yang cemerlang dalam sistem peperiksaan tapi melupakan tudung yang pernah dipakai? Ahh, tak heran setakat buka tudung, Sufiah lagi genius, akhirnya pelacur.

Cemerlang dalam peperiksaan, tapi miskin nilai diri, menunjukkan kepada kita kejayaan sains positivisme menguasai masharakat akhirnya membentuk masharakat rasional instrumental (dikenali juga sebagai rasional tujuan).. Menatang apa positivisme dan rasional instrumental tu?

Sejarah ringkas untuk menerangkan dua istilah ini, sewaktu Eropah bercita- cita mahu menuju kepada Pencerahan, pada masa inilah rasional diangkat. Pada waktu Pencerahan, pekikan 'Sapere Aude' bergema kuat, nyaring. Atas nama pengetahuan, Pencerahan ghairah mahu membebaskan dunia dari kuasa yang tidak terlihat (yakni kuasa yang tidak menepati hukum rasional-positivisme). Pada masa inilah, manusia mula mengunakan kata 'tuan ke atas diri sendiri', secara tak langsung, menjadikan diri sebagai 'subjek'. Alam sekeliling sebagai 'objek'. Manusia menakluki alam,  menentukan takdir sendiri, tidak takut lagi dengan cabaran sekeliling dan alam(objek) mula menjadi tujuan buat manusia.

Panjang, susah nak faham apa yang aku tulis? Memanglah, hampa ingat senang nak terangkan pasal falsafah?

Jadi, mudahnya, fahamlah bahawa rasional instrumental atau rasional tujuan ini menjadikan sesuatu objek sebagai tujuan dengan cara yang kelihatan rasional.

Bila manusia dah meletakkan diri sebagai subjek, maka rahsia alam mula disingkap. Air, hutan, pokok, udara, api haiwan dikaji diperhati dan dicerap. Kebenaran dinilai dengan bukti rasional dan hasil empirikal(pemboleh ubah yang hampa belajar dalam sains tu). Semua kajian saintifik mesti dibenarkan dengan bukti rasional dan empiris.

Maka di sini lahirlah sains tabii yang mengkelaskan fizik, kimia, biologi kepada satu bahagian dan bahagian keduanya adalah sains sosial yang mengamati tingkahlaku dan budaya manusia. Pemisahan inilah yang dilakukan oleh pisau Positivisme. Sekarang baru habis cerita pasal positivisme, hehe. Sabar.

Malangnya, golongan positivistik ini tidak mau terhenti setakat menggunakan bukti empirikal terhadap alam, tetapi terhadap manusia. Wilayah rohani dan budaya dicemari apabila kenyataan, kebenaran dibuktikan dengan bukti empirikal. Metodologi sains diguna pakai untuk menentukan hikmah- hikmah dalam agama, perasaan, moral dan sebagainya telah menghilangkan nilai aura manusia itu sendiri.

Ada tuhan baru semasa musim peperiksaan. Namanya CGPA. Pengalaman Gates telah memukul nabi- nabi yang menyembah CGPA.
Cubalah kaitkan dengan keadaan sistem peperiksaan Malaysia, pelajar kelihatan bersungguh- sungguh belajar untuk dapat keputusan cemerlang, dengan mengabaikan potensi diri sebenar. Pada masa inilah kelihatannya rasional 'belajar bersungguh- sunguh' untuk mencapai tujuan 'berjaya dalam hidup'. Kita di sekolah terus menghafal fakta- fakta yang hendak ditulis dalam kertas peperiksaan. Pelajar mencapai tujuan dengan bukti empirikal melalui sijil peperiksaan yang berderet simbol A. Lepas peperiksaan terus lupa apa yang dipelajari. Simbol tak lebih sekadar simbol, hanya dapat A dalam Pendidikan Islam, tapi hormat orang tua pon tak reti. Cikgu pula berusaha menghabiskan sukatan pelajaran supaya pelajar cemerlang peperiksaan.

Aku tak generalisasi. Aku tak nafikan maseh ada para guru yang ikhlas dalam mengajar, tapi selagi mana kita maseh berada dalam sistem ini, selagi itulah kitaran pembodohan yang membekukan fikiran umat Islam terus berjalan.

Banyak A dalam SPM tak menentukan hampa boleh survive hidup dalam kehidupan harini. Apa yang hampa perlukan adalah skill kehidupan, bukan sejumlah A. Tak percaya, laluilah pengalaman sendiri nanti. Orang tua kita dahulu, tak masuk universiti pon tapi dapat membesarkan kita dengan baik.

Jadi, apa tujuannya kita melalui sistem peperiksaan dan diberi 'hadiah A'? Sejak Tun Mahathir memahkotakan simbol moden bagi Malaysia, dengan target Wawasan 2020, maka keserakahan kapitalis tanpa nilai terus menjadi- jadi. Universiti dibina semakin banyak, bukan dengan tujuan menyuburkan ilmu yang bebas nilai, tetapi supaya lepasan SPM masuk ke universiti (yang perlu dengan gred SPM yang baik, dahulunya) belajar teknik- teknik untuk memenuhi permintaan industri- industri kapitalis. Kita terus ditipu, masuk ke universiti, terpaksa meminjam dengan PTPTN walaupun banyak A. Bukan semua orang yang peroleh banyak A dapat biasiswa. Belum bekerja lagi sudah berhutang.

Kemudian kita masuk universiti, kita terus belajar untuk mengaut CGPA yang baik. Keinginan untuk mendapatkan simbol- simbol yang 'cemerlang' terus melampaui makna dengan alasan simbol ini dapat memastikan mendapat pekerjaan yang baik. Universiti mesti dipastikan supaya mendapat penarafan yang baik, bukan kualiti pengetahuan yang lahir. Di sinilah hilangnya nilai kritis dalam diri kita. Kita jarang dapat menghasilkan inovasi yang baru sebab terbeban dengan silibus. Malah, kita tak dapat mempersoalkan apa yang kita pelajari kerana sibuknya kita dengan nota- nota kuliah. Kesannya, (maha)siswa yang dilahirkan hanya untuk memenuhi kehendak pasaran, kehendak negara, jauh dari aspirasi rakyat marhaen.

Tujuan pendidikan adalah menimbulkan kesedaran, seperti kata Nietzcshe, manusia ini penuh dengan perkara ketidakpastian, nihilisme. Berproses dari manusia (dengan m kecil) menjadi Manusia(dengan M besar) menuntut kita menggunakan pengetahuan untuk melahirkan pengetahuan baru. Pengetahuan yang membebaskan kita dari status quo. Seterusnya berlaku dominasi atas nama intelektual, akhirnya tolitarian. Sebab itu kita selalu melihat hal- hal yang ironi, misalnya penuntut undang- undang Universiti Malaya selesa menjadi pro- ISA, misalnya penuntut agama selesa bergayut pada kezaliman pemerintah.

Dengan penerangan di atas, malang bagi kita, positivisme yang melahirkan masharakat rasional instrumental berhubungan terus dengan ideologi negara menjadikan kita sebagai alat kapitalis moden. Menjadi binatang peliharaan kapitalis yang tidak bebas menentukan kehidupan sendiri. Hidup untuk memuaskan keserakahan industrial, mungkin bagi yang taqwa, Tuhan adalah makna seterusnya.

Ya, walaupun sijil SPM membantu untuk mendapatkan tempat di universiti, dapatkan pekerjaan yang baik, tapi ianya bukan penentu kejayaan hidup. Apalah sangat 5 tahun di sekolah menengah nak dinilai dalam sekeping kertas berbanding hidup yang akan kita tempuhi berpuluh- puluh tahun lagi? Baru dua tahun berlalu selepas aku ambil SPM, orang dah tak tanya dah keputusan SPM aku(keputusan aku teruk tak setaraf pelajar SBP). Apa yang orang nampak, tempat aku berdiri sekarang.

Akhir tulisan aku dengan menyertakan fakta di bawah :

- Lebih 50% CEO kepada 500 anak syarikat Fortune (sebuah syarikat yang terkenal) sering mendapat C semasa di kolej.

- 65% daripada seluruh ahli senat Amerika adalah mereka yang sering mendapat kelas pertengahan dan ke bawah ketika di sekolah.

- 75% daripada Presiden-presiden Amerika mempunyai rekod akademik yang buruk.

- Lebih 50% usahawan jutawan tidak menamatkan pengajian di universiti.

Jadi, apa pandangan hampa setelah membaca fakta di atas?

2 ulasan:

Zida berkata...

fuyyo fuyyo fuyyo well said bro!

hehe

taktau nak komen apa, sebab terdiam sebentar :P

Inspector Saahab berkata...

menarik. ulasan yang telus dan direct to the point. dan apa peranan kita?