Rabu, 7 Julai 2010

Tiada larangan wanita jadi hakim syarie

Tiada larangan wanita jadi hakim syarie PDF Print E-mail
Image (Gambar: Dr. Juanda Jaya)Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan harus bagi wanita Islam yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Syariah.
Batasnya, mereka tidak mengadili kes-kes hudud dan qisas. (keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 6 April 2006).


Bagaimanapun, hal ini masih terus menjadi topik perbahasan. Di pihak yang membantah, hujah mereka antara lainnya ialah firman Allah, Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita). (al-Nisa’: 34)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ZUL AZHAR SHEBLEE menemu bual mantan Timbalan Mufti Negeri Sarawak, Dr. Juanda Jaya bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah kedudukan wanita dalam Islam?

DR. JUANDA: Islam adalah agama yang meletakkan wanita setaraf dengan lelaki. Adalah amat malang sekiranya wujud pemahaman kuno lagi lapuk yang memandang lelaki lebih mulia daripada wanita dan wanita adalah gender kelas dua. Pegangan mundur sebeginilah yang mencacatkan imej Islam. Ia berpunca daripada sikap segolongan manusia yang mengutamakan kebiasaan, tanpa mahu memahami tuntutan nas dan perubahan zaman.

Bukankah Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa wanita itu adalah saudara kandung lelaki. Kesamaan taraf yang menjelaskan tiada sebarang perbezaan melainkan apa yang telah digariskan oleh Yang Maha Pencipta. Al-Quran telah melaungkan persamaan ini ribuan tahun yang lalu yang bermaksud: Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal saleh, baik laki-laki maupun wanita sedang ia orang yang beriman, Maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun. (an-Nisa’: 124)

Umat hanya akan kuat jika sepenuh kekuatan yang mereka miliki digunakan. Wanita adalah ‘separuh daripada umat'. Bahkan kini setelah peluang pendidikan dibuka untuk semua jantina didapati majoriti yang bijak dan terkehadapan adalah wanita.

Realiti sebegini sepatutnya membuka mata, telinga dan hati mereka yang masih memandang rendah kekuatan ‘separuh umat ini’. Bukankah realiti menunjukkan setiap jantina diberikan hak sivil yang sama dalam kehidupan moden dan hal ini diakui dan diterima semua, tetapi tiba-tiba sebahagian umat Islam apabila membincangkan isu wanita dari skop agama, wujud sikap prejudis kepada wanita, semata-mata kerana mereka itu wanita!

Antara sebab menolak hakim syariah di kalangan wanita ialah perbezaan akal antara wanita dan lelaki. Wanita dikatakan mempunyai sembilan nafsu dan satu akal berbanding lelaki sembilan akal dan satu nafsu. Bolehkah kita berpegang kepada fahaman begini dalam hal ini?

DR. JUANDA: Inilah antara stigma yang masih mendasar dalam pemikiran sebahagian umat Islam. Hatta di kalangan wanita sendiri ada yang menganggap wanita dijadikan kurang berakal berbanding lelaki.
Sebenarnya berlaku silap faham dalam hal sebegini yang wajar dirujukkan kepada tafsiran yang sahih terhadap nas dan teks yang berkenaan dengan mengambil kira sabab wurud al-hadis.
Hadis ini sebenarnya disampaikan sebagai satu cara Nabi s.a.w bermesra dengan wanita sewaktu mengutip derma setelah selesai solat Eid.

Apakah termasuk kurang akal para sahabat wanita seperti Ummu Salamah yang memberi nasihat bernas dalam Peristiwa Hudaibiyah, Nusaibah binti Ka’ab yang terlibat secara berkesan dalam Perang Uhud, Ummu Sulaim binti Milhan yang gagah dalam Perang Hunain, al-Shifa’ yang dijadikan oleh Umar r.a. sebagai penasihatnya.

Lebih hebat lagi kedudukan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid. Ini menunjukkan bahawa wanita juga setaraf dengan lelaki dalam soal kecerdasan otak
.
Catatan sejarah terkini Malaysia telah membuktikan, wanita adalah setaraf dengan lelaki dalam soal kecerdasan akal.

Contohnya tokoh kehakiman seperti Tan Sri Norma Yaakob, mantan Hakim Besar Malaya. Saya diberitahu oleh seorang tokoh politik bahawa pernah berlaku sedikit keributan puluhan tahun lalu apabila Siti Norma hendak dilantik memasuki bidang kehakiman, namun akhirnya ia dapat diatasi dengan baik.

Dalam konteks kehakiman syarie, rujukan kepada lelaki sebagai syarat menjadi hakim sering diterima bulat-bulat. Rujukan dibuat kepada pandangan sebagai contohnya Ibnu Abu al-Dam yang menegaskan keperluan perlantikan hakim itu adalah seorang lelaki kerana wanita tidak termasuk Ahlu al-Qadha’.

Apakah alasan wanita bukan Ahlu al-Qadha’ menepati kehendak tekstual dan kontekstual. Masa berubah dan manusia turut berubah. Nas tetap kekal teksnya, manakala konteksnya perlulah diambil kira.

Apakah kita masih mahu menerima pakai hujah wanita tidak layak menjadi hakim semata-mata kerana mereka wanita? Contohnya Ibnu Qudamah dalam al-Mughni menyatakan bahawa wanita tidak layak menjadi hakim kerana mereka tidak layak menjadi saksi dalam kes tertentu walaupun bilangan mereka sebagai saksi adalah 1,000 orang. Subhanallah! Benarkah nas syarak sebegitu ketat?

Mengapakah Abu Hanifah berpendapat wanita boleh menjadi hakim dalam kes-kes yang mereka boleh menjadi saksi iaitu selain kes hudud dan qisas?

Mengapa pula ulama tafsir yang ulung, Ibnu Jarir al-Tabari dan Ibnu Hazm menyatakan bahawa wanita boleh dilantik menjadi hakim untuk menghakimi semua kes secara mutlak sebagaimana yang dilakukan oleh orang lelaki tanpa kecuali? Kalau dilihat dari segi sejarah mereka ini hidup pada zaman awal Islam yang gemilang.
Umat Islam di Malaysia menjadikan mazhab syafie sebagai pegangan utama. Antara pandangan yang melarang melantik hakim syariah wanita ialah Imam as-Syafie. Persoalannya, bolehkah kita bertaklid kepada mazhab lain dalam hal ini?

DR. JUANDA: Persoalan merujuk kepada pandangan mazhab lain yang didapati lebih sesuai dalam menyelesaikan masalah umat bukanlah perkara baru di Malaysia.
Bahkan dalam perundangan syariah di Malaysia telah dikanunkan bahawa rujukan kepada hukum syarak dalam undang-undang bererti merujuk kepada pandangan mana-mana mazhab yang empat ataupun mana-mana pandangan ulama yang muktabar.

Terlalu banyak rujukan syariah masa kini di Malaysia adalah berdasarkan pandangan bukan mazhab Syafie walaupun sentiasa dilaungkan ketaksuban kepada mazhab Syafie.

Dalam urusan munakahat, perundangan kekeluargaan Islam di Malaysia banyak merujuk kepada pandangan mazhab Maliki dan Hanbali. Dalam urusan muamalat, banyak pandangan Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnu al-Qaiyim menjadi rujukan dan sandaran.

Dalam urusan akidah dan akhlak, rujukan kepada ulama luar seperti dari Arab Saudi dan Mesir yang bukan bermazhab Syafie turut diamalkan. Dalam zakat kita banyak mengikut mazhab Hanafi, dalam hal ibadat haji juga dirujuk dan diamalkan pendapat pelbagai mazhab lain dan sebagainya.

Jelasnya, tidak timbul langsung isu bertaklidkan mazhab lain boleh menggugat keharmonian mazhab Syafie. Apa yang menjadi matlamat ialah selagi mana sesuatu pandangan itu menepati kehendak dalil, kesesuaian kehendak teks dan kontekstual berlaku, maka pandangan yang tepat itu hendaklah diaplikasikan demi memastikan maslahat umat terpelihara.

Dalam isu hakim wanita, pandangan yang meletakkan perbezaan gender sebagai kayu pengukur dalam menilai keupayaan dan kompetensi seseorang dalam kerjayanya wajar diketepikan kerana ia akan membantutkan kemajuan sebuah negara.

Keengganan melantik hakim wanita walaupun berwibawa dan memenuhi syarat atas alasan kurang akal, kurang bijak, tidak berpengalaman dan tidak terdedah kepada cabaran semasa sehingga menyebabkan mereka tidak mampu membuat keputusan dengan tepat, adalah amat jahil dan mereka yang sebegini wajar dijauhi daripada pembuat dasar.

Hadis riwayat al-Bukhari iaitu “Kaum yang dipimpin oleh wanita tidak akan berjaya dalam urusan mereka” sering menjadi dalil bagi golongan yang membantah pelantikan hakim syarie wanita. Tidakkah cadangan melantik hakim syarie wanita bercanggah dengan sunah Rasulullah?

DR. JUANDA: Umum mengetahui hujah utama golongan yang menolak kehakiman wanita hanyalah sebuah hadis di atas sahaja.

Sewajarnya teks hadis ini disesuaikan dengan konteksnya iaitu Rasulullah s.a.w bersabda sedemikian ketika bersiap sedia memerangi bangsa Parsi yang ketika itu diketuai oleh Kisra wanita iaitu Buran binti Kisra.

Kerajaan Parsi telah menabalkan anak perempuan kepada Maharaja yang telah mangkat dan berita ini sampai kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda sedemikian.

Menurut ulama terkenal mazhab al-Syafie iaitu al-Sha’rani dan ulama paling ulung sedunia masakini yang juga Pengerusi Majlis Ulama sedunia, Prof. al-Shaikh Yusuf al-Qaradawi, hadis tersebut membawa maksud kepimpinan umum ke atas ummah seluruhnya iaitu kepimpinan ketua negara.

Ia dinyatakan dengan kalimah “urusan mereka” yang membawa maksud kepimpinan umum mereka. Bagi sebahagian urusan lain tidak dilarang kepimpinan wanita seperti kepimpinan dalam fatwa atau ijtihad, pengajaran, periwayatan, pentadbiran dan sebagainya.

Perkara ini dipersetujui secara ijmak malah sejarah membuktikan ia telah diamalkan sejak sekian lama. Jelasnya hadis ini bukan berkaitan urusan kehakiman wanita.

Sepatutnya sikap yang diamalkan sekarang adalah sekurang-kurangnya mengikut pandangan Abu Hanifah dan ashabnya yang membenarkan wanita menjadi hakim dalam perkara selain hudud dan qisas. Bahkan tabien yang ulung seperti Sufyan al-Thauri dan Tawus menyatakan kesaksian lelaki dan wanita adalah diterima dalam segalanya kecuali hudud dan zina.

Saya pula berpandangan lebih jauh mengajak agar pandangan Ibn Jarir al-Tabari, Ibnu Hazm, al-Sha’rani dan tokoh perundangan Islam moden seperti Prof. Dr. Muhammad Baltaji dari Universiti Kaherah yang membenarkan wanita menjadi Hakim secara mutlak, tanpa kekecualian diterima pakai.

Ini bukan hanya pandangan mereka, bahkan sebelum mereka lagi, kalangan salaf seperti Ali bin Abu Talib dan Sufyan bin ‘Uyainah (dalam satu riwayat), ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Hamad bin Abi Sulaiman (dalam satu riwayat) mempunyai kecenderungan ke arah pandangan yang sama.

Ini disebut oleh Ibnu al-Qayyim dalam al-Turuq al-Hukmiyyah. Ibnu Hazm turut membenarkan walaupun beliau seorang yang bermazhab “Zahiriyyah” yang hanya melihat kepada teks nas. Ini menunjukkan tiada nas syarak yang qatie melarang wanita menjadi hakim. Sekiranya ada dalil pasti Ibnu Hazm akan menentangnya sebagaimana kebiasaan beliau yang mempertahankan nas menurut al-Qaradawi.

Bolehkah doktor jelaskan asas dalam agama suci ini ialah hukum Allah itu kekal bukannya hakim yang memutuskannya?

DR. JUANDA: Persoalan ini memerlukan penjelasan yang panjang lebar dan saya rasa ruang ini bukanlah tempatnya. Memadai saya ungkapkan pandangan ulama mazhab al-Syafie yang terkenal iaitu Al-Sha’rani dalam al-Mizan al-Kubra 2: 205 yang mengulas pertikaian pandangan ulama bagi masalah hakim wanita. Beliau menyatakan: “Kita rujukkan perkara ini kepada dua martabat mizan. Yang pertama menyatakan Hakim adalah wakil al-Imam al-‘Azam, mereka sepakat ia mestilah seorang lelaki. Yang kedua dan ketiga menyatakan bahawa menyelesaikan pertikaian adalah termasuk dalam amar makruf nahi munkar dan ia tidak disyaratkan seorang lelaki”.

Yang menjadi asas dalam syariah yang suci ialah “Yang kekal adalah hukum bukan hakim yang memutuskannya.” ... Inilah pandangan-pandangan yang berbeza dan dalilnya. Tetapi apalah daya kita apabila berhadapan dengan pandangan Imam al-Mufassirin dan Shaikh al-Muarrikhin Ibnu Jarir?

Apakah boleh sesiapa menyalahkan kita apabila kita mengikuti pandangan Ibnu Jarir yang membenarkan wanita secara mutlak boleh menjadi Hakim sedangkan asas syariah adalah “Yang kekal adalah hukum bukan hakim yang memutuskannya”.

Kehakiman wanita adalah cabang daripada hak wanita dalam al-wilayah al-’ammah. Sedangkan firman Allah s.w.t datang secara mutlak dalam ayat 71 surah al-Taubah dan tiada sesiapa ada hak untuk menghalang wanita daripada memegang wilayah al-Qada’.

Jadi, kesimpulannya bolehkah kita melantik wanita sebagai hakim atau pemimpin?

DR. JUANDA: Kesimpulannya, tiada nas yang qat’ie melarang pelantikan hakim wanita. Hatta al-Nawawi, Ibnu Abdul Salam dan al-Sharbini dari kalangan al-Shafi’eyah menyatakan bahawa sekiranya pemerintah yang mempunyai kuasa telah melantik wanita sebagai hakim maka hukuman dia boleh dijalankan.

Ini membuktikan tiada nas sareh yang melarang. Nas syarak juga menunjukkan bahawa tiada suatu bentuk khusus bagi mengendalikan mahkamah ditetapkan, yang ada hanyalah arahan umum untuk berlaku adil dalam hukuman.

Ia diserahkan kepada para mujtahid pada zamannya. Apa yang lebih jelas, jawatan hakim bukanlah lebih penting daripada jawatan fatwa dalam agama yang memerlukan proses berijtihad hukum, menaqalkan nas dan meriwayatkannya kepada manusia. Sedangkan semua ini telah dilakukan oleh wanita sejak zaman sahabat tanpa dinafikan. Bahkan sebahagiannya dilakukan dengan perintah Nabi s.a.w kepada sebahagian sahabatnya, sebagaimana dinukilkan oleh al-Syafie dalam al-Risalah.
----------------
sumber: utusanonline

3 ulasan:

Eyl berkata...

syukran ilmu ni, aku tertanya tanya jugak boleh tak wanita jadi hakim.thanks ye muiz.

adysuR berkata...

Eh, dalam buku teks syariah dulu bukan ka ada kata wanita tak leh jadi hakim ? [ka aku silap baca..?]. Cam pernah jawab soalan time exam dulu.

little lady~ berkata...

wey muiz,,

ang sokong ka dr juanda jaya ni?

kan ustaz ridhwan da ckp mse tutor ai tu?

haih,,,pk2 sket...