Jumaat, 30 Julai 2010

MASALAH SOSIAL: IMPLIKASI KE ATAS USAHA DAKWAH DI MALAYSIA

MASALAH SOSIAL: IMPLIKASI KE ATAS USAHA DAKWAH DI MALAYSIA
Dr. Supyan Hussin,
Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM
http://www.atma.ukm.my/

PENGENALAN
Melayu itu Islam?
Sering kita mendengar beberapa pemimpin negara kerajaan, dan sebahagian rakyat Melayu, mendakwa bahawa negara Malaysia adalah “negara Islam” meskipun kita tahu bahawa falsafah pemerintahan negara tidak berpijak di atas dasar Islam. Malah tanpa segan silu, ada juga orang mendakwa bahawa “Melayu itu Islam” dan “Islam itu Melayu” walaupun kita maklum bahawa tidak semua Melayu itu Islam.

Menurut banci penduduk 1980, Jabatan Perangkaan mendapati bahawa daripada penduduk Melayu yang berjumlah 6.1 juta orang, 4,766 orang Melayu adalah beragama Kristian, 522 orang Melayu beragama Hindu, 456 orang Melayu beragama Buddha/Konfusius, 44,317 orang Melayu menganut agama suku kaum (anisma), 1,706 orang Melayu beragama lain dari yang di atas, dan 13,666 orang Melayu tidak ada agama. Jelas bahawa tidak semua Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Dan sudah tentu bilangan Melayu yang tidak beragama Islam semakin meningkat di abad ini walaupun statistik mengenainya tidak dipaparkan oleh pihak berwajib.

Apa yang lebih menarik ialah kedua-dua dakwaan ini adalah suatu yang ironik jika kita meneliti pelbagai gejala sosial yang berlaku dalam negara. Logiknya, kalau benar Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan Islam sudah tentu gejala sosial berada di tahap minima atau berkurangan setiap tahun. Sebaliknya terdapat kecenderungan peningkatan dalam setiap kes gejala sosial pada setiap tahun.
Lebih tepat lagi kalau kita katakan bahawa kaum Melayu yang kononnya beragama Islam lebih banyak terlibat dengan kes-kes masalah sosial. Apa yang jelas ialah orang Melayu rata-rata mendahului kaum lain dalam pelbagai gejala sosial. Persoalan pertama yang sering ditanyakan ialah mengapa boleh jadi begini? Persoalan seterusnya, jika kaum Melayu-Islam lebih terkedepan dalam pelbagai gejala sosial, maka apakah mungkin perkembangan dakwah Islam akan terjejas akibat dari gambaran buruk yang ditunjukkan oleh orang Melayu dalam negara ini?

GEJALA SOSIAL

Di bawah ini disertakan data-data mengenai gejala sosial yang berlaku di kalangan dalam negara Malaysia yang didakwa sebagai “negara Islam” dan orang “Melayu=Islam”.

Sepanjang 1985-1991, daripada 449 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, 43.3% daripada kanak-kanak malang ini adalah keturunan Melayu, 29.5% keturunan India, dan 22.5% keturunan Cina. (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1996)

Sepanjang 1985-1995, daripada 1688 kes penganiyaan kanak-kanak, 50.2% melibatkan orang Melayu, 29.8% melibatkan orang India, dan 14.6% melibatkan orang Cina (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1996)

Pada tahun 1992, daripada 166 kes remaja lari dari rumah, 59.6% daripadanya adalah membabitkan orang Melayu (Kementerian Kesihatan, 1992).

Pada tahun 1992, daripada 970 kes penderaan ke atas remaja, 45.6% daripadanya melibatkan keluarga Melayu (Kementerian Kesihatan, 1992).

Sepanjang 1997-2001, jumlah kes rogol membabitkan orang Melayu ialah 4,465; Cina 761; India 449; lain-lain 1,209. Daripada jumlah keseluruhan ini, 3,715 adalah mangsa di bawah umur 16 tahun. (NST 22 April 2002)

Daripada 10,000 bilangan makyah Melayu 70-80%, Cina 8.33, India 10.84, dan lain-lain 3.33. South East Asia Research, 6(2) July: 165-180

Kadar penceraian meningkat dari 506 (1992) kepada 615 (1993) di Wilayah Persekutuan (Muslimah April 1993).

Kes sumbang mahram yang melibatkan bapa kandung. 1992: 42 kes; 1993: 35 kes; 1995:, 62 (35.8%) kes daripada 173 kes; 1996: 65 kes (32.5%) daripada 200 kes membabitkan bapa kandung; 1997 April- dari jumlah 56 kes, 20 kes melibatkan bapa kandung (35.7%). Yang melibatkan bapa tiri (1991)18 kes; (1992): 25kes

1997 1998 1999 200 2001 2002 (Jan – Mac)
Melayu 186 220 192 158 179 43
Cina 10 13 7 5 9 4
India 21 27 15 12 17 6
Lain2 34 57 61 38 41 12
Jumlah 251 317 275 213 246 65

Laporan Polis Diraja Malaysia (1997 – 2002).

2001: kes juvana (3,479), sebanyak 2,288 melibatkan lelaki Melayu; 546 Cina; 383 India; 262lain-lain

Bilangan penduduk Malaysia yang terlibat dengan penagihan dadah : 500,000 orang. Bilangan remaja

Melayu yang dianggarkan terlibat dengan penagihan: 350,000 (70%). (Sunday Mail 6/2/94, Utusan

Malaysia 10/2/96, Berita Harian 8/4/96 dan New Straits Times 11/7/96).

Agensi Dadah Kebangsaan. Jan – Sept 2001: Statistik penagih dadah di Malaysia: 17,382 daripada 21,692 penagih dadah baru berumur antara 13 hingga 40 tahun. 14,754 daripada 21,692 adalah Melayu. Terdapat 25 pusat serenti awam dan 55 pusat pemulihan swasta.

Anggaran perbelanjaan untuk dadah di kalangan penagih Melayu: Harian : 350,000 x RM 10 = RM 3.5 juta; Bulanan : RM 3.5 juta x 30 = RM 105 juta;Tahunan : RM 105 juta x 12 = RM 1.26 bilion. (Sunday Mail 6/2/94, Utusan Malaysia 10/2/96, Berita Harian 8/4/96 dan New Straits Times 11/7/96)

Kes pembuangan bayi (1994): Jumlah anak dibuang – 54 ( JKM) Melayu – 32; Cina 4; India 16; lain-lain – 2. (Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96).

Sepanjang 1997-1999 (Ogos), jumlah kes pembuangan bayi di kalangan orang Melayu ialah 106, manakala Cina 12, dan India 19 (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1999).

Kes mengandung luar nikah (JKM) 1994: Jumlah yang mengandung – 181; Melayu – 147; Cina 10; India 12; lain-lain 12. (Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96).

Wanita Mengandung Luar Nikah (JKM) 1995: Jumlah yang mengandung – 125; Melayu 115; Cina 4; India 4. (Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96.

Wanita Mengandung Luar Nikah (JKM) 1996 ( Jan – Jun) Jumlah yang mengandung - 72; Melayu 65; Cina 3; India 2. (Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96).

Sepanjang 1997-1999 (Ogos), jumlah kes hamil luar nikah yang melibatkan orang Melayu ialah 14, manakala Cina 6, dan India 4 (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1999).

Bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti HIV dan AIDS : 51,256 (HIV ) hingga Disember 2002. 7,218 daripadanya adalah AIDS. 63.7% Melayu, 21.3% Cina, Indian 6.2%, Asing, 4.4%. 5,424 pesakit telah mati. Johor mencatat kes palng tinggi, 1421 (20.3%) diikuti oleh Selangor, 1152 (16.5%). Majoriti adalah penagih dadah. (NST 8 Dec 2003)

Pembawa kuman HIV dan AIDS di kalangan orang Melayu di Johor. Pada tahun 1989, setiap 100,000 rakyat Johor, maka 48.2 orang adalah pembawa kuman HIV/AIDS, 1999 – 52.7; 2000 – 61.2 orang. 2003 – 10,000 pembawa kuman HIV/AIDS di mana 90% daripadanya adalah Melayu. (BH 25 Feb 2004)

DILEMA

Jika dilihat data-data yang dipaparkan di atas, jelas kelihatan kaum Melayu mendahului kaum-kaum lain dalam pelbagai bentuk gejala sosial. Data-data ini bukan sahaja memalukan bangsa Melayu yang konon semuanya Islam, malah ia boleh menjadi penghalang kepada usaha-usaha dakwah Islamiah dalam negara ini.

Sudah pasti orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu merasa hairan bagaimana orang Melayu yang sering mengatakan Islam itu bersih, suci, dan syumul serta membawa kesejahteraan menunjukkan gambaran yang buruk dan jijik dalam gejala sosial. Justeru agak sukar bagi orang bukan Islam dan bukan Melayu untuk menerima Islam apabila orang Melayu Islam tidak menunjukkan contoh tauladan yang terbaik.

Di dalam persoalan dakwah, terdapat 3 perkara yang perlu diberi perhatian. Yang pertama ialah mesej Islam yang benar dan syumul; kedua, pendakwah yang bertanggungjawab; ketiga, pendekatan berhikmah. Dalam beberapa keadaan, biar bagaimana cantik sekalipun mesej Islam itu tetapi apabila pendakwahnya atau penganutnya tidak menunjukkan contoh dari apa yang didakwahkan atau diajar oleh ugama, maka sudah tentu mesej itu akan ditolak. Begitu juga akan berlaku pada kita jika salah satu dari tiga elemen ini mempunyai cacat-celanya. Gejala sosial yang hebat di kalangan orang Melayu ini menunjukkan bahawa orang Melayu gagal menghayati nilai-nilai yang baik diri Islam; lantas, Islam akan dipersalahkan.

LANGKAH SETERUSNYA

Sebagai seorang Muslim, kita harus merasa terpanggil untuk berhadapan dengan cabaran waqi’ semasa ini. Kemungkinan dalam beberapa keadaan kita boleh tanganinya seorang diri tetapi dalam banyak keadaan kita perlu berganding bahu dalam membetulkan keadaan. Dalam soal menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran ini, kita disuruh melaksanakannya dalam bentuk jamaah dan organisasi.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Hendaklah ada di kalangan satu kumpulan yang menyuruh kepada kebajikan, yang menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran, Itulah orang-orang yang berjaya.” Ali Imran: 104.

Langkah pertama yang perlu dibuat ialah memahami punca kepada gejala sosial yang berlaku. Kita yakin bahawa apabila Muslim meninggalkan agamanya atau tidak kukuh pegangannya, maka berlakulah kerosakan demi kerosakan ke atas ummah dan negara. Kesan dari kecuaian individu Muslim itu akan menyebabkan masyarakat menjadi binasa.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah oleh tangan-tangan manusia; (timbul yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Ar-Rum: 41)

Antara punca yang menyumbang ke arah kemungkaran ialah kejahilan ummah mengenai Islam; sistem pemerintahan yang membenarkan kemungkaran berlaku melalui undang-undang, sistem pendidikan gagal membentuk insan berilmu dan bertaqwa, media yang memaparkan bahan-bahan yang boleh merosakkan minda dan rohani masyarakat serta sistem ekonomi yang menekan dan menindas.

Langkah kedua yang perlu dilakukan ialah mengambil tindakan untuk menyekat atau menghalang punca kepada kemungkaran yang berlaku. Kalau pun kemungkaran tidak boleh dibanteras semua, tetapi ia tetap boleh dikurangkan. Bagi melaksanakan tugas ini, Ibn Taimiyyah pernah menegaskan:

“Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu . Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan.” (As-Siasah As-Syariah: 172-175)

Dalam hal ini, orang Islam memerlukan kuasa, samada kuasa di peringkat yang paling bawah iaitu ibu bapa mahupun peringkat yang paling tinggi iaitu pemerintah. Kuasa ibu bapa ialah dengan mendidik, mengasuh, membentuk, serta membimbing anak-anak dengan ajaran Islam. Para ibu bapa juga boleh merancang program-program kebajikan, sosial, dan pendidikan di tempat tinggal masing-masing bagi meminimakan masalah sosial dalam masyarakat setempat.

Begitu juga dengan ibu bapa yang bekerja, sudah tentu mereka boleh mengadakan program-program kebajikan, sosial, dan pendidikan di pejabat atau di tempat kerja masing-masing dalam membentuk minda yang sihat. Manakala kuasa pemerintah pula ialah untuk menghalang lorong-lorong yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak dalam masyarakat.
Dosa sekelling kita, harus ada jalan keluar.

Ini termasuklah menutup premis judi, menghadkan aktiviti bersabit dengan arak, mengharamkan bahan-bahan lucah dalam media cetak dan media elektronik, mengenakan tindakan undang-undang yang lebih berkesan ke atas pesalah-pesalah, memastikan kurikulum pendidikan diintegrasikan dengan keagamaan, dan sejuta satu macam perkara yang boleh dilaksanakan apabila kuasa ada ditangan.

Sabda Nabi saw yang maksudnya: “Barangsiapa yang ternampak atau terserempak kemungkaran, maka hendaklah ia berhentikan dengan tangan; jika ia tidak mampu, maka berhentikanlah dengan lidah; jika ia tidak mampu juga, maka berhentikan dengan hati; itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apabila kedua-dua langkah ini dapat dilaksanakan sudah pasti gejala sosial di kalangan masyarakat akan berkurangan. Bagaimanapun dalam soal dakwah atau menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat, kita tidak boleh menunggu sehingga mendapat kuasa untuk memerintah.
Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk memainkan peranannya masing-masing sehinggalah umat Islam dapat memerintah dengan hukum dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu para alim ulama’, ustaz dan guru-guru agama sahaja tetapi MENJADI KEWAJIPAN BAGI SETIAP INDIVIDU MUSLIM sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.


KESIMPULAN

Gejala sosial yang semakin menular dan ketara dalam masyarakat di negara ini haruslah dibendung dengan segera bagi mengelakkan natijah yang lebih buruk dan lebih kronik di sepanjang zaman. Setiap individu Muslim harus merasa terpanggil dan bertanggungjawab dalam menangani gejala ini bersama-sama kerana natijah dari gejala sosial ini akan menimpa semua orang dalam masyarakat termasuklah ahli keluarga kita.
Usaha-usaha mendidik masyarakat dengan agama bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga orang dewasa hendaklah diperhebatkan walaupun terdapat halangan-halangan yang mahukan masyarakat menjadi jahil tentang agama akhir-akhir ini.
Persatuan penduduk, persatuan kebajikan, surau, masjid, serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu tampil ke hadapan mengambil inisiatif dalam menangani gejala sosial sebelum nasi menjadi bubur.

Data:

Kes HIV & AIDS mengikut gender dan negeri yang dilaporkan di Malaysia (1986-2001)

NEGERI LELAKI WANITA JUMLAH
Johor 8403 451 8854
Selangor 4945 266 5211
N. Sembilan 4804 77 4881
Terengganu 4375 172 4547
Pahang 4282 129 4411
Kelantan 3043 329 3372
W. Persekutuan 2995 261 3256
Perak 2741 154 2895
Kedah 2445 235 2680
P. Pinang 1554 164 1708
Melaka 1405 64 1469
Perlis 458 99 557
Sarawak 199 49 248
Sabah 99 20 119
JUMLAH 41738 2470 44208
(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia, 2001)

Kaedah menangani gejala sosial: Pencegahan

Quran

1. Dan hendaklah An-Nisaa’: 9. Dan hendaklah takut akan orang-orang yang ditakdrikan mereka pula meninggalkan anak-naka yang dhaif di belakang mereka.

2. At-Tahrim: Peliharalah diri mu dan keluarga mu dari api neraka

3. Jangan kamu dekati zina

4. Firman Allah SWT yang maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah oleh tangan-tangan manusia; (timbul yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Ar-Rum: 41)

5. AlMukminiun: 5-6.

6. Al-anfal: 60. “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroobo) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.”

7. Al-Baqarah: 195 Janganlah kamu mencampkaakn diri kamu dalam kebinasaan

8. Al-An’am: 164 Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap orang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.

9. Al-Anfal: 25: Dan jagalah diri kamu daripadanya dosa yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).

Hadis

1. Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpin. (Muslim)

2. Islam itu unggul dan tiada yang lebih unggul daripadanya. (Bukhari, Baihaqi, Dar Qutni).

3. Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan diperlukan daripada mukmin yang lemah (Muslim)

4. Dalam Islam janganlah kamu melakukan kemudartan terhadap diri kamu dan kepada orang lain. (Malik)

5. Dikahwini perempuan itu kerana 4 perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu memilih kerana agamanya, nescaya engkau akan selamat dan bahagia. (Bukhari dan Muslim)

6. Barangsiapa yang melihta kemungkrana, hendaklah ia menghentiknanya dengan tangan ... (Muslim)


Usul Fiqh

1. Menolak segala yang membawa kerosakan lebih utama dari mencari keuntungan.
2. Kemudaratan wajiblah dihapuskan.
3. Sesuatu yang menyebabkan tak sempurnanya kewajipan keculai dengannya maka ianya wajib.
4. Seandainya berkumpul antara dua bahaya wajiblah mengambil bahaya yang lebih ringan.
5. Dilarang dari melakukan kemunduran dri dan orang lain
6. Mencegah it lebih baik dari mengubati.
7. Kepentingan umum hedaklahlah didahlukan dan diberi keutamaan daripada kepentingan peribahi.

Tiada ulasan: