Rabu, 11 Ogos 2010

ESQ Sesat!

ESQ satu ‘ideologi’ bukan ‘metodologi’Aizam Mas’od

Ketika menyampaikan kuliah Maghrib malam tadi (6 Ogos 2010, di Wilayah Persekutuan), kebetulan penulis sampai kepada bab berkenaan “Asma dan Sifat Allah SWT”, penulis mengambil kesempatan menjelaskan tentang penyelewengan ESQ dalam mentafsirkan nama-nama Allah SWT yang Maha Baik. Perkara ini bertepatan dengan ayat 74 di dalam surah al-Nahl. Bermaksud: “Maka janganlah kamu menjadikan perumpamaan-perumpamaan bagi Allah”.

Ayat ini menjadi hujjah kepada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah seperti yang terkandung di dalam Sifat 20 yang mengajarkan kepada kita bahawa Allah SWT itu bersifat “al-mukhalafah lil hawadith” iaitu “bersalahan daripada segala yang baharu”.

Tetapi ESQ mengajar sebaliknya apabila cuba mengiyaskan semua sifat-sifat makhluk dengan nama-nama Allah. Kesannya, ada di kalangan alumni ESQ yang memahami bahawa gunung itu tinggi kerana Allah itu Maha Tinggi, alam itu luas kerana Allah itu Maha Luas, bunga itu cantik kerana Allah itu Maha Cantik dan pelbagai lagi.

Ini adalah hasil daripada ajaran ESQ yang mengatakan bahawa “seluruh alam mewakili sifat Allah”. Lihatlah betapa dangkalnya ajaran ini kerana ia tidak berpijak kepada kaedah mantiq yang betul, bagaimana mungkin gunung dan alam yang mempunyai isi padu, had dan mengambil ruang boleh dikatakan menyamai sifat Allah SWT yang qadim?

Malah gunung dan alam itu akan hancur apabila tiba masanya manakala bunga pula akan layu. Ini menunjukkan bahawa sifat alam ini “hadith” (baharu) dan tidak kekal (fana”) sedangkan Allah SWT itu bersifat baqa” (kekal) dan tidak binasa. Juga menjadi persoalan, bagaimana pula dengan makhluq-makhluq seperti iblis, syaitan, haiwan liar, segala jenis penyakit yang kesemuanya adalah perkara-perkara buruk (pada zahirnya)... adakah ia juga mewakili sifat-sifat Allah yang Maha Baik itu?

Apakah bentuk akidah yang diajarkan oleh ESQ ini sebenarnya?

ESQ juga mengajarkan bahawa manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT hasil daripada suara hati yang sedia wujud di dalam fungsi ketiga otak manusia yang dinamakan God Spot. Suara hati ini menurut ESQ adalah fitrah yang telah ditiupkan dengan 99 nama Allah SWT ketika Allah SWT meniupkan roh-Nya ke dalam diri manusia.

Menurut ESQ suara hati ini universal dan terdapat pada seluruh manusia tanpa mengira agama mahupun kepercayaan termasuk atheis sekalipun. Oleh kerana itu, ESQ mengatakan manusia itu berkasih sayang kerana sifat Allah itu yang Maha Pengasih, manusia itu adil kerana Allah itu Maha Adil, manusia itu berwawasan kerana nama Allah itu al-Aakhir dan pelbagai lagi. Bermaksud kesemua sifat manusia yang benar-benar mengikuti suara hatinya yang fitrah itu adalah merujuk kepada 99 nama Allah SWT yang sedia wujud di dalam God Spot tersebut.

Akibatnya kesemua nama-nama Allah SWT termasuk yang mempunyai makna-makna khusus bagi-Nya seperti al-Jabbar, al-Mutakabbir, al-Khaliq, al-Muhyi, al-Mumit diterjemahkan sesuai dengan sifat-sifat manusia. Alasannya kerana manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT.

Kaedah ESQ ini juga amat jelas menyalahi kaedah mantik yang betul, jika benarlah manusia yang mengikuti suara hati itu dikatakan mengikuti fitrah sifat-sifat Allah SWT, bagaimana pula dengan sifat-sifat manusia seperti makan dan minum, berkahwin, tidur, bernafsu dan lain-lain.

Adakah sifat-sifat ini juga mewakili sifat-sifat Allah SWT kerana ia juga fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia? Ia bukan hasil daripada emosi atau fikiran. Malah kaedah literal ESQ yang mengatakan kerana manusia itu berasal daripada Allah SWT maka sifat manusia itu menyamai sifat Allah SWT adalah dangkal kerana ia menyalahi nas dan akal yang sejahtera.

ESQ sebenarnya terperangkap dengan jerangkap “spiritual quotient” yang digagaskan oleh Danah Zohar dan Ian Marshall. Ia didokong oleh hipotesis yang dibuat oleh VS Ramachandran kononnya terdapat fungsi “pencarian Tuhan” di dalam otak manusia.

Padahal al-Quran sendiri telah mengatakan bahawa “otak manusia yang sejahtera” jika berfikir secara rasional sememangnya akan menemui siapakah penciptanya.

Oleh itu, di dalam al-Quran manusia disuruh berfikir dan bertafakur tanpa perlu menunggu penemuan Barat ini. Hakikatnya, teori ESQ lahir dalam keadaan “worldview” Barat yang tidak percayakan Tuhan dan berselirat dengan falsafah materialisme.

Epistemologinya juga jelas hanya berasaskan kepada falsafah Barat dan hipotesis sains. Logiknya bagaimana mungkin ia boleh menjadi tafsiran kepada Islam?

Penulis tidak fikir ESQ akan berjaya diislamkan. Ini kerana ia adalah satu “ideologi” bukan “metodologi”. Ia sama dengan usaha sesetengah orang yang cuba untuk mengislamkan sekularisme, liberalisme, kapitalisme, komunisme dan lain-lain.

Jika ada juga yang cuba untuk mengislamkannya maka akan lahirlah Muslim sekular, Muslim liberal, Muslim kapitalis dan lain-lain. Islam adalah Islam.

Epistemologinya adalah bersumberkan wahyu bukan akal, falsafah atau dapatan sains. Hal ini berlaku kepada Ary Ginanjar. Dia tidak pernah berjaya mengislamkan ESQ, sebaliknya Islam pula yang terpaksa disesuaikan dengan ESQ.

Sebagai contoh, kita tidak pernah mendengar bahawa ihsan itu God Spot atau suara hati atau 99 nama Allah atau tiupan roh Allah. Apa yang kita tahu “ihsan” itu adalah satu martabat tertinggi dalam beribadah. Sama ada seseorang itu mencapai maqam musyahadah atau muraqabah. Syarat ibadah tentulah seseorang itu beriman dan menganut Islam. Ia adalah maqam yang amat eksklusif dan bukan inklusif.

Tetapi ESQ telah membaratkan pengertian “ihsan” dengan mendakwa ia adalah “spiritual quotient” yang berlaku kepada semua manusia tanpa mengira apa jua anutan agama.


Ia dianggap sesuatu yang universal dan inklusif hatta kepada mereka yang tidak beragama. Apa yang berbeza hanyalah pada metodologi bagaimana untuk mereka mencapai “spiritual quotient” itu.

Ia mungkin dicapai dengan solat, yoga, meditasi, pertapaan atau mendengar muzik kerana ia adalah sesuatu yang “built-in” dalam diri manusia dan tidak terikat kepada ritual keagamaan untuk memperolehinya.

Sebab itulah, Ary telah menyenaraikan peneraju syarikat-syarikat besar seperti Walt-Disney, Starbucks, Body Shop, Visa International, Nokia, Matsushita dan lain-lain sebagai tokoh-tokoh sufi korporat yang telah berjaya mencapai “spiritual quotient” sehingga menepati nama-nama Allah SWT yang telah menjadi fitrah dalam diri mereka.

Jenis sufi dan tasawwuf apakah yang diajar oleh Ary Ginanjar ini?

Terus terang penulis katakan, ESQ adalah satu trend halus untuk menerapkan faham “perennial philosophy” ke dalam penganut agama seluruh dunia. Faham ini masuk dengan pelbagai kaedah seperti melalui “Global Theology”, “Global Ethic” dan lain-lain.

Kesemua faham ini pada zahirnya cuba mencari persamaan nilai yang universal antara semua manusia. Asas kepada ideologi ini adalah manusia bersatu pada titik spiritualnya yang disebut sebagai “metaphysical unity” atau kesatuan metafizik (esoteric). Inilah sebenarnya inti pluralisme agama.

Amat silap jika sesetengah pihak beranggapan bahawa pluralisme agama itu hanyalah apabila seseorang mengatakan “agama itu semuanya sama”.


Malah sememangnya “perennial philosophy” itu mengiktiraf agama-agama itu berbeza tetapi hanya pada “level” eksoteriknya (zahirnya) tetapi kesemuanya menuju atau bertawaf kepada paksi yang sama pada level “eksoteriknya” (batinnya). Lebih daripada itu, “perennial philosophy” juga tidak pernah menyekat penganut mana-mana agama mengamalkan agamanya, apa yang penting penganut agama-agama itu menerima bahawa mereka semua bertemu akhirnya pada titik yang sama. Itulah “spiritual quotient” yang dimaksudkan.

Kesimpulannya, inilah rupa paras ESQ yang sebenar... lihatlah worldview kelahirannya dan epistemologi yang mencetuskannya... anda akan kenal apa ESQ yang sebenar!

Tiada ulasan: