Sabtu, 16 Julai 2011

Catatan Kemboja II

Aku dan para pelajar aku bersama seorang ikhwah Kemboja
Hari ini kami memulakan tugas utama kami, mengajar alQuran kepada anak- anak kampung Soy. Aku ditugaskan untuk mengajar pelajar perempuan yang berusia antara 13 dan 14 tahun. Semuanya ada lapan halaqah dibahagikan kepada lapan orang ustaz Malaysia.

Di dalam sebuah madrasah kecil yang mempunyai dua kelas, itulah kelas aku mengajar. Tiadalah susah mengajar pelajar- pelajar ini kerana rata- rata mereka susah mampu membaca alQuran. Cumanya, ada beberapa kesalahan makhraj dan tajwid yang perlu dibetulkan.

Tiadalah susah mengajar alQuran. Saranan Nabi dalam hadis alBukhari sentiasa diingati, "Sebaik- baik antara kamu adalah yang belajar alQuran atau mengajarkannya."

Tambahan pula, mereka sangat menghargai ilmu pengetahuan. Mereka sangat suka menuntut ilmu dan tidak akan mensia- siakan apa sahaja peluang untuk mendapatkan ilmu. Kegigihan mereka istiqamah dalam ilmu ini membuatkan aku banyak belajar dari mereka.

Mengajar memberi aku satu kepuasan. Tak dapat digambarkan bagaimana, tetapi itulah rasanya. Seperti aku, apa sahaja yang aku ada aku suka berkongsi. Begitu juga sewaktu di sekolah dahulu. Mewujudkan diskusi- diskusi ilmiah dan memberi tazkirah memang memenuhkan erti hidup aku sebagai insan. Erti hidup pada memberi.

Aku memberi tugasan kepada mereka menghafal tiga surah dalam masa dua minggu : Surah Al- Mulk, Surah Al- Insan dan surah al- Sajjadah. Tetapi di akhir pengajaran, mereka tidak sempat menghafal surah al- Mulk. Tidak mengapa, dapat dua surah dengan tajwid dan bacaan yang betul pun sudah memadai.

Aktiviti harian kami selepas mengajar, kami akan menziarah ke rumah- rumah penduduk fakir di sekitar Kampung Soy. Ada bermacam kisah, ibu tinggal, orang tua yang menunggu mati (tiada waris) dan mereka yang menumpang di rumah orang kerana tiada kediaman sendiri.

Rata- rata penduduk di kampung ini bukanlah orang yang senang, oleh itu kami memilih mereka yang lebih utama untuk dibantu.

Jauh beza kemiskinan penduduk Muslim Kemboja berbanding dengan Muslim di Malaysia.



Antara penduduk kampung yang berjaya menitiskan air mata aku adalah seorang kanak- kanak perempuan yang berumur 12 tahun. Kisahnya mudah tetapi menyayat hati. Terpaksa berhenti ke sekolah kerana ada saluran matanya tersumbat dengan lemak menyebabkan matanya buta. Baru lagi dia kehilangan kedua matanya, sejak dua bulan lepas. Dijaga oleh neneknya, kerana ibu bapanya bercerai. Lebih menyedihkan, ibu bapanya tiada mengambil tahu hal anaknya.



Selain menjaga anak ini, nenek ini juga menjaga tiga lagi anak- anak yatim yang lain. Nenek ini juga tiada sumber pendapatan, hanya bergantung kepada sumbangan dan zakat penduduk kampung.

Sekian sahaja catatan kali ini.

Catatan 29 - 30 Jun 2011

Tiada ulasan: