Selasa, 5 Januari 2010

Paranoid: Isu Kalimah Allah

Assalamu'alaykum...

Hebat benar isu penggunaan kalimah Allah yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi untuk akhbar The Herald sehingga menjadi polemik dalam masyarakat. Hebatnya sampai menenggelamkan isu- isu besar lain seperti kehilangan enjin jet pejuang F-5E dan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen.


Ada yang berdebat dengan saya, katanya beliau tidak mahu membicarakan soal dibenarkan atau tidak menggunakan kalimah Allah untuk bukan Muslim, tetapi beliau mahu membicarakan soal kewajaran dibenarkan penggunaan kalimah Allah untuk penganut bukan Islam.


Jawapan saya mudah sahaja, apa saja yang dibenarkan oleh Al- Quran dan As- Sunnah, maka ianya wajar. Jika ada larangannya, maka tinggalkan. Kita semestinya tidak lebih pandai dari tuan punya agama ini sehinggakan kita mampu membolehkan itu dan mengharamkan ini tanpa dalil syarak yang sah.


Imam Malik ada menyebut sambil mengisyaratkan tangannya ke kubur Nabi SAW dengan kata beliau;

ما من أحد إلا يؤخذ من قوله ويرد إلا قول صاحب هذا القبر

Maksudnya; “Tidak ada pun seseorang itu, bahawa tidak diterima dan ditolak daripada perkataannya, melainkan perkataan daripada tuan kubur ini


Jika ada sandaran dari Al- Quran dan As- Sunnah yang membenarkan sesuatu perkara, lalu kita membenarkan perkara tersebut dalam amalan kita, maka ketahuilah bahawa ian adalah sebaik- baik manhaj dalam beragama. Merujuk kepada isu ini, saya merasa hairan dengan sesetengah ahli politik yang melarang non- muslim menggunakan kalimah Allah untuk agama mereka, seolah- olah mereka terlebih kealiman mereka dari Nabi SAW.

Sepanjang ilmu yang saya punyai (sangat sedikit), saya tidak mengetahui adanya larangan untuk menggunakan nama Allah bagi non- muslim dalam isu ini melainkan yang membenarkannya.
Jika ada, sila tunjukkan dalilnya!


Ketika berlaku perjanjian al-Hudaibiyyah, Nabi SAW telah memanggil Ali bin Abi Talib dan menyuruh menulis surat perjanjian. Kata Nabi SAW;


اكتب: بسم الله الرحمن الرحيم


Maksudnya;
“tulis (wahai Ali), dengan Nama Allah yang pemurah lagi maha penyayang”

Lalu, apabila surat itu dihulur kepada wakil Quraish (tidak beragama Islam) yang bernama Suhail bin Amr, dia berkata;

لا أعرف هذا، ولكن اكتب: باسمك اللهم


Maksudnya;
“Aku tidak mengetahui ini, tetapi tulislah “dengan Nama-Mu Ya Allah”

Lalu, Nabi SAW pun berkata kepada Ali;

اكتب باسمك اللهم


Maksudnya;
“tulislah (wahai Ali) dengan nama-Mu Ya Allah


Dari kisah ini, Suhail bin Amr menyebut kalimah ”Allah” dalam keadaan Nabi SAW tidak menghalang tindakan Suhail bin Amr itu. bahkan, Nabi SAW mengakui dengan menulis seperti yang disuruh oleh Suhail bin Amr.

Dalil Membenarkan Penggunaan Kalimah Allah


Mari kita lihat, dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim, apakah ia dibenarkan atau tidak? Apa yang dapat kita perhatikan, banyak nas-nas Al-Quran, dan hadis yang membenarkan penggunaan kalimah Allah, berbanding nas-nas Quran dan Hadis yang melarangnya.

Pertama : Surah Al-Ankabut : 61

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)”(Surah Al-Ankabut : 61)

Ayat ini, dengan jelas orang bukan Islam menjawab “Allah” dikala ditanya oleh Nabi SAW tentang siapa pencipta langit dan bumi. Selepas menyebut kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini, Allah tidak pernah menyuruh Nabi SAW menyerang atau menghalang mereka daripada menyebut kalimah “Allah” tersebut.

Kedua : Surah Al-Ankabut : 63

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", Katakanlah: "Segala puji bagi Allah", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya)”(Surah Al-Ankabut : 63)

Sama juga dengan ayat ini, ia mempunyai maksud yang sama dengan ayat di atas. Bahkan, di akhir ayat ini, Allah menyatakan kepada Muhammad agar mengucapkan syukur terhadap apa yang orang bukan Islam sebutkan – iaitu menyebut kalimah Allah. cumanya, Allah memerli mereka dengan alasan mereka tidak menggunakan akal dengan sihat disebalik pengakuan Allah sebagai tuhan yang menurunkan air daripada langit dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan daripada bumi.

Ketiga : Surah Al-Haj : 40

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Maksudnya;
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah”(Surah Al-Haj : 40)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut bahawa rumah-rumah ibadat yang menyebut kalimah Allah ini, bukan hanya digunakan di masjid-masjid sahaja, bahkan digunakan juga di rumah-rumah ibadat agama selain Islam, seperti gereja dan biara yahudi. Ia merupakan satu pengi’tirafan dari Allah, atas keizinan bagi non Muslim menggunakan kalimah Allah dalam peribadatan mereka.

Keempat : Dalam Sahih Muslim, Nabi SAW bersabda;

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ

Maksudnya;
“Tidak akan berlaku kiamat, melainkan tidak ada lagi di bumi orang menyebut, Allah, Allah


Dalam bahasa arab, kalimah ‘assa’ah’ yang diterjemah sebagai ‘kiamat’. Ia juga boleh diterjemah sebagai ‘kebinasaan’. Hal ini merujuk kepada hadis bahawa Nabi SAW bersabda;

فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
“apabila amanah dikhianati, maka tunggulah kebinasaan”

Ditanya, ”bagaimana amanah dikhianati?”

”apabila diberikan sesuatu urusan itu kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kebinasaan” Jawab Nabi SAW ringkas tapi padat
.

Daripada ini, kita fahami bahawa kebinasaan akan berlaku, jika tiada lagi manusia yang menyebut kalimah Allah atas muka bumi. Dalam hadis ini, tidak pernah wujud satu pengkhususan bahawa keizinan menyebut kalimah Allah ini hanya khusus kepada orang islam sahaja.

Justeru, dari segala dalil-dalil yang dikemukakan ini, difahami bahawa tidak ada larangan dari Islam bahawa orang bukan islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah. Bahkan, yang wujudnya adalah, nas sendiri memberikan keizinan untuk disebut kalimah Allah bagi orang bukan Islam.


Bahkan, ini dikuatkan lagi sirah Nabawiyyah, yang mana di awal-awal dakwah Nabi SAW, kalimah Allah sudah digunakan oleh orang-orang quraish ketika itu. apabila kedatangan Islam, nabi SAW tidak pernah menghalang atau melarang orang-orang Quraish daripada menyebut kalimah Allah. Malahan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah, baginda SAW memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah dari sudut yang betul.

Perlu diingat, Nabi SAW datang ketika itu, bukan menghalang dari mereka memggunakan kalimah Allah, tetapi Nabi SAW datang memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah itu sendiri. Inilah tugas nabi, yang wajib dicontohi oleh seluruh umat-umatnya.


Biarlah setebal sarang tebuan pun serban seseorang tu, kalau tanpa dalil dan hujjah, dia boleh melarang apa yang sudah Nabi tetapkan, boleh jalan dah...


Paranoid


Berapa jutalah agaknya orang-orang Arab dah masuk Kristian sebab bible mereka gunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada God? Rasanya, isu murtad tak meletup-letup sangat pun kat negara- negara Arab, walaupun Arab-Arab bukannya kuat sangat Islamnya macam orang Melayu.

Jikalaulah hanya dengan menggunakan nama
Allah akan menyebabkan orang Melayu ramai masuk Kristian, di manakah silapnya?

Maka layaklah orang Melayu terus TAKUT, TAKUT dan TAKUT...
Dan terus hidup di dalam ketakutan...

Sepatutnya silibus Aqidah di setiap sekolah kena masukkan perbincangan perbandingan agama. Tak cukup sekadar sifat 20 dan Tauhid 3 sahaja...atau itupun kita takut, nanti anak- anak lebih minat kat agama lain? Atau ibu bapa kat kampung akan terus gelabah, panik dan memajalkan pemikiran anak- anak mereka yang telah hilang kekampungannya?


Kita lebih suka hidup dalam paranoia takutkan ancaman semua benda. Jika dilihat ceramah-ceramah organisasi dakwah dan juga harakah Islamiyyah, tajuk "Ancaman Zionis, ancaman Gerakan Kristian, ancaman US, ancaman murtad, bahaya itu, bahaya ini, gejala itu dan gejala ini..."
Kebanyakannya membawa konotasi negatif.Seolah-olah umat Islam ni tak ada kederat, tak mampu, dan di kepung musuh...tiada kekuatan, mati pucuk, lemah...

Jika tidak mampu berhujah, maka undang-undang, kekerasan dan emosi menjadi senjata.
Apakah ini sikap yang diajarkan oleh Rasulullah SAW?

Saya teringat tajuk- tajuk ceramah al- 'Allamah Syeikh Yusuf al-Qaradawi kebanyakannya membawa konotasi yang positif, "Mubasyiraat", "Quwwah", "Tahadiyaat", "Daur" dan sebagainya.


Bilakah agaknya orang Melayu kita nak ada keyakinan diri?


Adakah kita terlalu idealis?


p/s: Mungkin selepas ini kita patut fikirkan hujjah- hujjah untuk menghalang gereja andainya mereka ingin menukar nama Jesus kepada Isa selepas ini?

Tiada ulasan: