Sabtu, 6 Jun 2009

Syabab Musafir Kasih

Sewaktu saya menulis, saya baru sahaja selesai menghabiskan novel Syabab Musafir Kasih karya Fatimah Syarha Mohd Nordin.

Secara ringkasnya, novel ini mengisahkan seorang anak kecil bernama Syabab yang mana hidupnya dipersetankan oleh masyarakat sehingga dewasa. Hanya seorang jiran yang rela membantu Syabab iaitu Kak Zah dalam menjalani hidupnya.

Saya tak bercadang untuk mengulas mengenai penderitaan yang dilalui Syabab, kerana nanti tidak ada yang akan tinggal untuk pembaca apabila membacanya.

Dakwah Keperluan Remaja

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar [217]; merekalah orang-orang yang beruntung. [217] "Ma'ruf": segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah; sedangkan Munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-Nya. (Surah Ali Imran 3:104)

Skop dakwah adalah elemen utama yang menghidupkan novel ini.

Watak Ustaz bolehlah disebut sebagai satu agen perubah yang berkesan kepada penduduk kampung. Kecintaan terhadap Islam dan kemanisan Iman kembali mekar dalam kalangan penduduk kampung.

Novel ini mengajar kepada remaja di luar sana yang mempunyai semangat mengembangkan Islam tetapi tidak tahu bagaimana bermula. Dakwah yang ditekankan di sini lebih kepada Lisanul Hal dari Lisanul Maqal.

Lisanul Maqal ialah pendakwah menyampaikan mesej agama melalui kekuatan kefahamannya dan pencapaian ilmu masing- masing. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Sampaikanlah dariku(Islam) walau satu ayat”(Riwayat Muslim)

Hadis berkenaan menjelaskan bahawa pendakwah perlu menyampaikan ajaran, kaunseling, motivasi dan nasihat tanpa serba salah dan ragu. Bagi memperhebatkan tugas dakwah, pedakwah wajiblah menelaah Al- Quran, mengetahui selok- belok, bangun untuk solat malam dan melakukan amalan sunat di samping berusaha untuk meninggalkan dosa dan maksiat.

Jika cara yang dilakukan melalui Lisanul Maqal tidak berkesan, maka bolehlah beralih kepada Lisanul Hal. Lisanul Hal bererti dakwah melalui bahasa badan (body language) atau mimik muka. Antara sunnah yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila seseorang datang bertanya kepada baginda sesuatu yang disukainya, baginda hanya melempar senyuman tanpa perlu menjawab apa-apa.

Bermula dari bermain bola di padang bersama- sama sehingga boleh dibawa ke kuliah agama di masjid, bukankah ia sesuatu dakwah Lisanul Hal yang hebat?

Dakwah Atas Manhaj Apa?


Apa yang menariknya, kemunculan suami Kak Zah, Ustaz di dalam Kampung Lintah Pacat menyebabkan berlaku sedikit konflik. Watak segar Ustaz bolehlah ditonjolkan sebagai Kaum Muda(Salaf) manakala watak Imam diceritakan mewakili pemikian Kaum Tua(Khalaf).

Hakikatnya ramai tidak menyedari bahawa agamawan di Malaysia terdiri daripada golongan Salaf dan Khalaf.

Namun demikian, tidak ramai orang awam yang faham tentang kewujudan dua aliran kefahaman utama di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Cuma jangan dipelikkan kerana ia perkara biasa malah turut wujud dengan luasnya di seluruh dunia umat Islam.

Watak Syabab pada mulanya pening kepala dengan amalan Salafi yang diperlihatkan oleh Ustaz Dia bertanya kepada Kak Zah, tetapi Kak Zah hanya berdiam dan menyuruh bertanya kepada ustaz sendiri. Sikap Kak Zah akan menyerlahkan disiplin ilmu yang tinggi yakni penilaian yang adil terhadap sesuatu perkara mestilah merujuk kepada sumber pertama ilmu itu sendiri (bukannya kepada sumber golongan musuh dan taasub).

Pada mulanya Syabab merasakan ustaz seorang yang hipokrit kerana menjawab soalan yang dikemukakan olehnya, dijawab dalam konteks Khalaf. Sedangkan amalan yang dilakukan oleh ustaz berdasarkan manhaj(panduan) Salaf.

Walaupun kadangkala approach golongan Salaf dilihat agak keras, tidak bersesuaian dengan masyarakat Melayu yang “lemah lembut”, itu bukan alasan untuk menolak konsep aqidah dan feqh mereka.

Namun begitu, menurut pengamatan saya. Aliran Salaf di Malaysia boleh dibahagikan secara umumnya kepada tiga jenis, Pertama : Yang ekstrem lagi keras dan tegas. Kedua : Yang Sederhana (moderate), Ketiga : Yang lebih lembut dan toleran (Mild).

Menyedari sikap masyarakat Melayu yang “lemah lembut”, maka approach dakwah Ustaz … lebih dalam kadaran berhikmah. Contohnya dapat dilihat dalam peristiwa majlis bacaan Yassin dari rumah ke rumah. Walaupun perkara tersebut bukan suatu sunnah dan tidak pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW, namun Ustaz menawarkan majlis tersebut diadakan di rumahnya. Syabab yang sudah mula memahami manhaj Salaf menyanggah tindakan ustaz, katanya majilis itu tidak sunnah.

Jawab ustaz, “Kebanyakan dari orang kampung hanya tahu membaca Yassin sebagai amalan mereka, bukankah merugika kalau tidak dilakukan?”(lebih kurang camni la kot)

Bukankah di situ juga terlihat Fiqh al- Awlawiyat? Mengutamakan perkara yang lebih utama dalam soal furuq(cabang) tanpa perlu ada pertikaman dan pertelingkahan.

Kesimpulannya, mesej yang cuba dibawa oleh Fatimah Syarha adalah kepentingan mengutamakan dakwah melebihi prinsip. Kadangkala, prinsip harus digadaikan seketika supaya kerja dakwah berjalan. Kalaulah approach dakwah oleh Ustaz dengan membid’ahkan masyarakat, tentu payah dakwah hendak diterima masyarakat. Sudah tentulah kampung itu sepi dari cahaya Islam.

Fatimah Syarha membawa kita memahami konsep tasammuh(bertolak ansur) dalam menerima pendapat orang lain. Itu juga merupakan manhaj yang diajar agama.

Khatimul


Pertelingkahan terus berlanjutan bukan sahaja di negara ini, malah di negara tempat pengajian Syabab, Syria. Golongan yang saling tuduh- menuduh antara satu sama lain sebenarnya janganlah kita melihatnya sebagai golongan Salaf dan Khalaf semata- mata bahkan mereka adalah golongan yang taksub kepada pandangan masing- masing.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang saling bertoleransi antara satu sama lain, menghormati pandangan orang lain tanpa perlu ada sikap mahu mempertahankan amalan yang bertentangan dengan jalan sunnah. Sesuai dengan namanya : Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ahli yang berpegang kepada sunnah dan jemaah).

Jika ada perselisihan mengenai sesuatu, mereka serahkan kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah An- Nisa' 4:59)

Bukannya bertelingkah dengan maki hamun dan perkara seumpamanya yang tidak memperlihatkan akhlak umat Islam. Kalau seseorang ingin beramal dengan amalan manhaj Salaf, biarkan dia. Itu tidak salah. Tak perlu kita labelkan dia, “Tengok, Muiz tu gerakkan jari waktu tasyahud, sah dia Wahabi.”

Fokus umat hari ini adalah ancaman sekularisme dan kapitalisme bukannya amalan siapa betul dan siapa salah antara Kaum Muda atau Kaum Tua.

Saya amat selesa dengan nasihat Imam Hassan al- Banna. Katanya, “sama ada kamu memilih aliran Salaf, mahu pun Khalaf, mana-mana yang membawa kamu kepada beriman dengan yakin kepada Allah, maka teruskan sahaja dengan manhaj itu!”. Saranan yang sama saya dapat daripada ramai lagi tokoh yang berjiwa Da’ie.

Antara sebab kukuh saya menyokong perjuangan PAS adalah kerana mereka mengisytiharkan secara berterus terang bahawa, ‘Aku’ ingin hidup berdasarkan Islam dan manhajnya!” Itu adalah taktikal dakwah untuk mewujudkan negara Islam.

Kalau umat Islam berpecah kepada Salaf dan Khalaf sudah pasti konsep negara Islam juga akan menjadi satu perbahasan yang panjang. “Nanti Negara Islam tu nak guna manhaj apa? Salaf atau Khalaf?” Siapa nak jawab?

Tak perlu dipertikai manhaj Salaf atau manhaj Khalaf atau manhaj Wahabi, cukuplah kita dengan jalan Islam. Bukankah itu lebih sejahtera?

Berkaitan:
Wahai Dai`e !!: Jalan Yang Lurus Atau Jalan Yang bengkok?

Tiada ulasan: