Banyak pihak yang berpendapat bahawa PRU13 akan diadakan setelah Anwar Ibrahim disumbatkan kedalam penjara.. hanya masa yang akan membuktikan kepada kita apakah segala telahan ini tepat atau sebaliknya.
Pilihanraya Setelah Anwar Di Penjara!
Oleh Hj Subky Latif
APAKAH mungkin Pilihan Raya Umum Sarawak diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke 13? Inilah jawapan yang sedang dicari oleh sekalian pemerhati. Ia sudah diagak oleh media bahawa kedua pilihan raya itu akan diadakan serentak. Ia bererti pilihan raya umum disegerakan dalam tahun 2011.
Ia disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai suatu ramalan. Tetapi ia tidak dinapikannya dan tidak juga disahkannya.
Maka kemungkinan tahun depan itu tidak boleh ditolak. Apa pun Tun Dr. Mahathir mengingatkan Perdana Menteri Najib jangan gopoh, kerana masih banyak bagi membuat persiapan. Kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya kecil jangan dijadikan petunjuk sangat bahawa suasana sudah memihak semula kepada BN.
Pernah Perdana Menteri Edward Heath tertipu oleh iklim politik yang baik baginya untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut di Great Britain. Angka ekonomi yang baik di England ketika itu dikira memihak kepadanya bagi mengadakan pilihan raya.
Masa matang bagi pilihan raya itu masih banyak. Justeru yakinnya pada ramalan sedap itu Heath mengadakan pilihan raya mengejut. Rupanya ia jadi penamat kepada kuasanya.
Maka bila agaknya pilihan raya ke 13? Adakah diserentakkan dengan pilihan raya Sarawak yang tempohnya hampir matang?
Ia banyak bergantung kepada bila kes liwat-2 diselesaikan. Pilihan raya Sarawak tidak boleh ditangguhkan. Sama ada mahkamah sempat menyelesaikan kes itu atau tidak, pilihan raya Sarawak jalan terus.
Jika ia selesai sebelum pilihan raya Sarawak, maka pilihan raya serentak mungkin diadakan. Jika tidak selesai, maka ada masa bagi semua pihak membuat persiapan.
Maka perhatian sekarang ialah bilakah mahkamah akan berakhir?
Pada Anwar Ibrahim kes liwat-2nya itu adalah lanjutan konspirasi politik yang lalu. Ia adalah dikira usaha bagi memenjaranya lagi.
Dalam dua pilihan raya umum yang Anwar dijadikan banduan, maka Barisan Nasional berjaya mempertahankan pretasi baiknya. Bila keluar saja dia dari penjara sekali pun dia masih dalam idah bila pilihanraya umum ke12 diadakan, dia dapat mendorongkan ledakan tsunami atas keputusan pilihan raya itu.
Bagi mengelakkan tsunami berulang, mungkin lebih parah, maka dipercayai konspirasi memenjarakannya semula dirancang. Manusia hanya merancang. Tetapi manusia tidak berupaya menentukan rancangan itu berjaya atau tidak.
Konspirasi sekurang-sekurangnya boleh mengganggu tumpuan Pakatan Rakyat bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Orang-orang yang buta maklumat dan kurang hidayat mudah dikelirukan oleh gema konspirasi itu. Ia tidak mengelirukan semua orang, tetapi ia mengelirukan setengah orang.
Antara yang sudah dikelirukan itu adalah aktivis reformasi. Mereka putus asa, lalu tidak menyambung kempen reformasi. Tetapi ia tidak mematahkan kempen meneruskan reformasi. Kempen reformasi berjalan terus, tetapi sudah ada kecederaan.
Kalau Anwar dapat dipenjarakan segera, kekeliruan akan bertambah dan kecederaan pun bertambah. Tetapi harapannya ialah supaya reformasi itu terbengkalai.
Bagaimana pun gerakan anti konspirasi muncul sebagai sebahagian dari kempen melucutkan kuasa Putrajaya yang sudah lama goncang dan beertambah goncang. Kesan kempen anti konspirasi itu lebih ketara di peringkat antara bangsa.
Banyak pihak di dunia tidak mengira dakwaan kes liwat-2 itu suatu yang jenuin. Ia sepatutnya tidak diadakan. Baik golongan apa yang dikatakan anti keganasan global dan golongan kontra anti keganasan global, adalah sepakat kes itu tidak diperlukan.
Dakwaan itu tidak popular bagi Amerika, tidak populer bagi Nato dan Kesatuan Eropah, tidak pupuler bagi Hizbullah Lubnan, tidak popular bagi Turki pimpinan Erdogen dan ulama dunia yang diketuai oleh Syaikh Yusuf Qardawi.
Amerika dan Hizbullah Lubnan itu adalah berseteru tetapi mereka sekata bahawa kes Anwar itu bukan kes yang jenuin. Justeru itu kuasa di Putrajaya amat cemas kalau Anwar berangkat ke luar negeri. Anwar tidak perlu keluar negeri untuk memberitahu pekung konspirasi dalam negeri.
Pro anti konspirasi itu tahu untuk berbuat apa seperti apa yang mereka tahu tentang wanita anti junta Myanmar. 20 tahun wanita itu terkurung, tidak ke mana-mana, apa yang terjadi padanya dalam kurungan itu bergema di dunia seluruhnya.
Sementara pemimpin wanita Burma itu sudah keluar dari penjara, Anwar pula sedang berdepan dengan proses untuk dipenjara atau tidak. Banyak yang percaya dia tidak dapat mengelak dari dipenjara lagi.
Sementera dia belum dipenjara, dia boleh pergi ke mana-mana dalam negara ini. Dan di mana-mana pun dia mendapat sambutan baik. Semua orang mahu menengoknya dan mendengarnya.
Antara yang suka mendengarnya ialah penyokong BN yang selalu mendengarnya semasa dia bersama BN dulu. Maka buah mulutnya tetap dirasa berbisa oleh penunggu-penunggu di Putrajaya. Sekali pun sama naik Najib suami isteri untuk menghadapi Anwar suami isteri, selagi Anwar bebas ke sana ke sini, tetap ia suatu yang menyusahkan Najib dan isterinya.
Walau pun BN menang tiga pilihan raya kecil masa setahun ini, Dr. Mahathir tetap merasakan jangan Najib tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya baru. Kalau boleh pilihan raya Sarawak itu sendiri patut ditangguhkan.
Kerana tempoh matang pilihan raya Sarawak hampir tamat, tiada cara ia dapat ditangguhkan. Terpaksalah ia diadakan juga. Tapi kalau boleh, ia juga patut ditangguhkan.
Itulah yang dirasakan oleh Dr. Mahathir dan itulah mesej yang disampaikannya kepada Najib. Mungkin Dr. Mahaathir tidak tahu apa yang Najib tahu, tetapi Mahathir sendiri ada kebimbangan dengan suasana menjelang pilihan raya akan datang. Walau pun media arus perdana memberikan gambaran bahawa PKR berada dalam keadaan yang tertekan, tetapi tetap Mahathir tidak begitu yakin pilihan raya itu wajar dicepatkan.
Apa yang Mahathir tunggu?
Ialah untuk melihat Anwar dipenjara lagi. Kemungkinan Anwar dipenjarakan itu memerlukan masa yang lambat, maka tunggulah kemungkinan itu dulu.
Jika pilihan raya diadakan sebelum Anwar dipenjara, ia bererti negara ada pilihan calon Perdana Menteri. Dia adalah calon Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat mendapat majoriti.
Tiada peraturan dapat menyekatnya jika dia belum disabitkan bersalah. Walaupun dia menghadapi kes, tetapi selagi mahkamah tidak menjatuhkan dia bersalah, maka dia belum bersalah. Dalam keadaan demikian dia boleh menjadi calon Perdana Menteri.
Tetapi kalau dia dipenjarakan, maka dia sudah tidak lagi boleh jadi calon Perdana Menteri. Apabila dia tidak boleh calon Perdana Menteri, maka Pakatan belum ada calon yang sepakati bagi menjadi Perdana Menteri. Dalam keadaan itu macam-macam boleh berlaku.
Pengundi mahu tahu siapa calon Perdana Menteri kalau Pakatan menang pilihan raya? Apabila rakyat tidak nampak siapa bakal Perdana Menteri itu, maka ia memberi banyak pilihan kepada pengundi.
Apa gema Anwar dipenjara lagi, adalah hal yang lain, tetapi yang penting ialah BN mahu meraih keuntungan dari kekosongan calon Perdana Menteri Pakatan.
Itulah perlu ditunggu dulu sehingga perbicaraan itu selesai. Kalau ia cepat selesai maka mudahlah pilihan raya diadakan segera.
Detik Daily
1 ulasan:
sama-sama la kita tunggu..
Catat Ulasan