Isnin, 17 Disember 2007

Memahami Al-Quran secara berkomputer (bhg. 1)

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Apakah maksud tajuk ini dan apa matlamat tajuk ini dibuka? Tajuk ini bukan bermaksud memahami Al Quran dengan membacanya dengan menggunakan software-software Al Quran yang banyak di pasaran semata-mata, tetapi bagi menghuraikan hikmah-hikmah Al Quran mengikut perspektif masakini. Ketika Al Quran mula diturunkan, ia difahami mengikut kehidupan zaman Nabi Muhammad yang ketika itu masyarakat Quraisy Makkah adalah masyarat bersastera dan bersyair.Kini, setelah lebih 1400 tahun, manusia telah sampai pada zaman berteknologi tinggi di mana komputer sudah menjadi sebahagian dari kehidupan manusia. Jadi, memahami Al Quran secara berkomputer ini bermatlamat untuk mengajak kita berfikir isi kandungan Al Quran seperti bagaimana sesebuah komputer berfikir.

Apakah kelebihannya jika kita dapat memahami Al Quran secara berkomputer ini? Oleh kerana komputer adalah dekat dengan kehidupan kita dan kita boleh rasai dan nampak apa yang komputer lakukan, bermakna kita akan lebih mudah memahami Al Quran dengan melihat bagaimana fungsi sesebuah komputer. Secara tidak langsung kita dapat membuktikan Al Quran terus tahan diuji hatta kita telah masuk ke zaman berkomputer sekarang ini.

Apakah asas yang perlu kita ada untuk memahami Al Quran dengan cara ini? Mudah sahaja, iaitu kita perlu ada pengetahuan asas bagaimana sistem komputer berfungsi.

Komputer yang ada depan mata kita sekarang ini asasnya adalah suis ON dan OFF sahaja. Satu suis ini menyimpan satu maklumat sama ada ON (logik 1) atau OFF (logik 0). Untuk menjadikan komputer mampu melaksanakan sesuatu tugas, maka bilangan suis ini dipertingkatkan. Apabila teknologi litar bersepadu (IC) telah berkembang, suis-suis ini ditambah menjadi berjuta-juta di dalam sesuatu IC. Suis elektronik ini dipanggil transistor yang akan menyimpan logik 1 atau 0. Kegagalan komputer membezakan di antara logik 1 dan logik 0 akan menyebabkan komputer gagal berfungsi.

Setelah komputer mampu membezakan logik 1 dan 0, barulah sistem komputer dipertingkatkan dengan adanya operasi logik (OR, AND, Not) dan aritmetik (tambah, tolak, darab, bahagi). Dari operasi asas ini, terlahirlah arahan dan program yang berkeupayaan menjalankan yang suatu ketika dahulu mustahil dilakukan, tetapi zaman sekarang sudah biasa contohnya, keupayaan komputer membuat 3D animasi yang semakin hidup. Begitulah sebenarnya asas bagi komputer yang hanya bermula dari mengenali logik 1 dan 0 sahaja. Dan sekarang ini komputer telah menjadi semakin canggih dengan keupayaan yang menakjubkan bila kita lihat perkembangannya.

Dengan melihat bagaimana perkembangan komputer yang bermula dari mengenali logik 1 dan logik 0, pendekatan yang sama juga boleh kita lakukan untuk menghuraikan Al Quran. Kita hanya perlu mendapatkan logik yang paling asas sekali yang wujud dalam Al Quran...

Apakah logik yang paling asas yang disebut dalam Al Quran? Mari kita kaji kembali wahyu awal yang disampaikan kepada Nabi Muhammad.

1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,
2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. (Surah Al 'Alaq)

Kedua-dua ayat di ayat mengajar manusia perbezaan di antara Zat Yang Mencipta dengan zat yang dicipta.

Zat Yang Mencipta, telah wujud sebelum seluruh alam ini dicipta. Adanya Zat ini pula bukan sebab dicipta, tetapi kerana Zat ini memang telah wujud tanpa awal dan akhir. Jika Zat ini dicipta juga, tidaklah layak Dia memegang status Maha Mencipta.

Manusia pula mewakili seluruh alam, iaitu sebagai zat yang dicipta (makhluk). Asal semua makhluk adalah tiada, tetapi setelah dicipta, barulah makhluk2 menjadi ada atau pun wujud.

Oleh kerana Zat Maha Mencipta sudah wujud sebelum seluruh makhluk dicipta, dalam bentuk logiknya ia diumpamakan sebagai logik 1. Manusia (dan makhluk2 lain) pula tidak wujud jika tidak dicipta. Kewujudan kita sekarang ini pun atas Kekuasaan Maha Mencipta. Kalau dalam bentuk logik, kita umpama logik 0.

Keupayaan kita membezakan logik 1 dan logik 0 di atas akan memudahkan kita mengembangkan akal fikiran kita meneroka Al Quran. Seperti komputer, dari asasnya mengenali logik 1 dan 0, komputer kini telah berkembang menjadi peralatan elektronik yang paling bijak dan pantas berfikir sekarang. Begitu juga kita, bila memahami asas logik yang Al Quran ajar, kita juga berupaya mencapai kecerdasan akal fikiran, kerana setiap ayat-ayat Al Quran kita wakilkan dalam bentuk logik yang mudah. Inilah permulaaan perjalanan kita menerokai Al Quran dalam zaman berkomputer ini.

Mari kita lanjutkan pengkajian Al Quran secara berkomputer ini dengan menilai ayat 3 hingga 5 surah Al 'Alaq tadi.

3. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,
4. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,
5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Ayat 3 mengajak kita mengenal lagi Logik 1 yang dihuraikan tadi. Oleh kerana Zat Mencipta itu Maha Pemurah, ia menunjukkan sifat Dia yang Maha Kaya dan Maha Memiliki segala-galanya pada alam semesta ini. Dalam perumpamaan logik, 1 itu sesuatu yang bernilai tinggi.

Ayat 5 pula mengajak kita mengenal diri kita sendiri. Kita ini asalnya kosong sahaja. Ilmu pun tiada asalnya. Setelah Zat Mencipta mengajar kita, barulah kita ketahui. Dengan perumpamaan logik, manusia (mewakili seluruh alam) adalah berlogik 0, iaitu sesuatu yang amat rendah nilainya.

Apakah kalam dalam ayat 4 pula? Jika kita melihat dari perspektif komputer, kalam itu adalah pembeza di antara logik 1 dan logik 0 tadi. Yang mana nilai logik yang besar di antara logik 1 dan 0 tadi.

Seperti komputer, jika ia tidak mengenal beza di antara logik 1 dan logik 0, maka rosaklah komputer tersebut kerana komputer asasnya juga dari mengenal logik juga. Begitulah juga manusia, jika tidak mengenal beza di antara Maha Mencipta dan yang dicipta (makhluk), maka rosaklah kehidupan seseorang manusia.

Dengan kata lain, ayat 3 hingga 5 tadi, menunjukkan beza di antara nilai logik 1 dan logik 0, di mana logik 1 lebih bernilai dari logik 0. Dalam bentuk logiknya bolehlah kita tulis 1 > 0 . Perasan tak, ayat 4 ini juga adalah perantara bagi ayat 3 dan 5.

Begitulah kehebatan Al Quran jika dikaji secara berkomputer. Tetap tahan uji dengan logik-logiknya sama seperti ada dalam sistem komputer yang kita gunakan sekarang. Sebab itu dikatakan Islam itu mudah. Dengan guna logik mudah seperti yang komputer gunakan pun telah nampak kebenarannya. Jadi sebagai umat Islam, kita merasa yakin kerana Al Quran terus tetap dalam kebenarannya walaupun dihuraikan mengikut persepsi zaman berkomputer ini.

Tetapi bagi orang yang berada di jalan yang sesat atau salah, mereka cukup takut bila kita ajak mereka berbicang secara logik. Kerana segala penipuan dan putar belit mereka akan terbongkar. Walhal dengan berbincang akan secara logik, akan memudahkan sesuatu perkara. Jadi fahamlah kita, bahawa orang-orang kafir, kerjanya hanya untuk menyusahkan pemahaman yang mudah. Bila manusia menjadi susah hendak faham dan terkeliru sesuatu perkara, maka segala tipu daya mudah dilakukan orang si penipu tersebut. Kesimpulannya (setakat ini), dari ayat 1 hingga 5 surah Al 'Alaq, jika difahami mengikut logik komputer, ayat-ayat ini mengajar ktia mengenali logik 1 dan logik 0 dan beza di antara kedua-dua logik tersebut. Keupayaan kita memahami beza logik ini akan memudahkan kita menghuraikan segala ajaran Al Quran kelak. Insya Allah.

Maha Hebat Allah!

Di peringkat ini, untuk memudahkan kita menulis, logik 1 yang di sebut dalam Al Quran ditujukan pada Zat Maha Mencipta, dan logik 0 ditujukan kepada sesuatu selain Dia (seluruh makhluk ciptaan Zat Maha Mencipta).

Mari kita kaji pula surah yang mengEsakan Zat Maha Mencipta tadi, iaitu surah Al Ikhlas.

1. Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,
4. dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia."

Huraian logik ayat 1. Adakah suatu kebetulan atau kerana KebijaksanaanNya, logik 1 itu sesuai sangat ditujukan pada Zat Yang Maha Mencipta itu kerana sifat Yang Maha Satu (Esa) tersebut. Logik ditulis 1 = 1.

Huraian logik ayat 2. Ayat ini menguatkan logik ayat 3 dan 5 surah Al 'Alaq tadi. Oleh kerana pada Maha Mencipta semua ciptaanNya bergantung harap, ia menunjukkan nilai Yang Maha Besar logik 1 berbanding logik 0 tadi, iaitu 1 > 0.

Huraian logik ayat 3. Dalam logik komputer, oleh kerana kita hanya ada dua nilai iaitu 1 dan 0, maka bila TAK kepada 1 akan menjadi logik 0. TAK kepada 0, akan menjadi logik 1. Macam Tak benar = salah. Tak salah = benar.

Sesuatu yang beranak menunjukkan ia dicipta, kena untuk meneruskan generasinya, maka ia terpaksa beranak (nilai logik 0).

Dia Tak beranak, dalam logik ditulis, 1 = TAK 0. Ataupun menjadi 1 = 1.

Sesuatu yang diperanakkan juga adalah dicipta juga, kerana untuk dia wujud, dia perlu diperanakkan (nilai logik 0). Dia tidak diperanakan, dalam logik ditulis, TAK 1 = 0, atau menjadi 0 = 0.

Huraian logik ayat 4. Oleh kerana tiada sesuatu pun (makhluk) yang setara dengan Dia, dalam logik ditulis 0 <> 1.

Jelas kehebatan Al Quran mengajar kita tentang erti logik. Dari surah Al Ikhlas ini, kita sudah kenal operasi logik seperti >, TAK, dan <>. Maka makin jelaslah perbezaan logik 1 dan 0, bagi insan yang mahu memikirkan.

Maha Hebat Allah!

Mari kita kaji hukum logik setakat yang telah kita pelajari.
1 > 0: Allah Maha Besar KekuasaanNya berbanding makhluk.
1 <> 0: Allah tidak boleh disamakan dengan mahkluk.
1 = 1: Allah adalah Tuhan
0 = 0: Makhluk adalah makhluk.

Jika kita masih berfikir seperti hukum logik di atas, apa yang kita fikir itu adalah benar dan bernilai logik 1. Jika kita tidak fikir mengikut logik, maka pemikiran kita itu adalah salah dan logiknya pula adalah 0. Kerana itu orang yang berfikir mengikut logik lebih bernilai dan dipercayai berbanding orang yang tidak berfikir mengikut logik. Kata-kata orang yang tidak menggunakan logik adalah tidak boleh dipercayai.

Dalam logik juga boleh ditulis sebagai:
(1 > 0) = sesuatu yang logik (1)
(0 > 1) = sesuatu yang tidak logik (0)
(1 = 1) = sesuatu yang logik (1)
(0 = 1) = sesuatu yang tidak logik (0)

Oleh itu jika kita:
Membesarkan KeAgungan Allah, adalah sesuatu yang logik.
Membangga diri (SOMBONG) daripada Allah, adalah sesuatu yang tidak logik.
Menyamakan Allah dengan Sifat-sifat yang Agung, adalah sesuatu yang logik.
Menyamakan makhluk dengan Allah, adalah sesuatu yang tidak logik.

Oleh kerana Islam adalah ajaran yang mengAgungkan Tuhan,
maka Islam adalah agama yang menyamai hukum logik (1).
Manakala kafir adalah ajaran yang menyamakan makhluk dengan Tuhan, maka ia adalah ajaran yang menentang hukum logik (0).

Syurga pula adalah tempat yang bernilai, maka logiknya adalah 1. Manakala neraka adalah tempat yang tidak bernilai, atau logiknya adalah 0.

Jika Islam = 1, dan Syurga = 1. Maka Islam = Syurga.
Jika kafir = 0, dan neraka = 0. Maka kafir = neraka.
TAK kafir = 1, dan TAK neraka = 1. Maka TAK kafir = TAK neraka.
TAK Islam = 0, dan TAK syurga =0. Maka TAK Islam = TAK syurga.

(bersambung)

Tiada ulasan: