Isnin, 16 Mei 2011

Nakbah 63



15 Mei 1948 adalah sejarah yang paling getir bagi umat Islam. Semalam, ulangtahun ke 63 penjajahan Israel ke atas bumi berkat Palestin.

Sambutan Nakbah Palestin semalam tidak seperti tahun- tahun sebelumnya. Tahun ini lebih bermakna dengan kejatuhan ramai pemimpin- pemimpin Arab boneka Zionis. Sejarah kaitan Arab dan Zionisme terlalu panjang dan lama.

Bila minyak mulanya ditemui di Arab Saudi, kemudian minyak ditemui pula di Negara Teluk, Iran, Iraq, Libya, Mesir dan Algeria. Berlumba- lumba syarikat dari negara Imperialis datang untuk menguasai minyak. Minyak adalah kekayaan, tetapi juga bencana. Ini adalah langkah kedua penjajah Barat memainkan peranan untuk menguasai negara- negara Arab selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah.

Kolonialisme wujud hasil daripada perkembangan kapitalisma. Latar belakang kolonialisme ialah pasaran dan pemasaran. Kuasa imperialis dan kaum pemodal memerlukan bahan mentah dari negara tanah jajahan. Negara kolonial juga mahu mereka yang di jajah menjadi pembeli dan pengguna produk yang telah dibuat. Hukum dan syarat ini tidak pernah berubah.

Pemimpin- pemimpin Arab yang ada pada kurun ini (kebanyakan mereka baru saja jatuh), adalah boneka Zionis secara jelas. Sesiapa pun tidak dapat menafikan fakta ini.

Mobarak menjual gas asli lebih murah kepada Israel berbanding kepada rakyatnya sendiri. Mobarak juga menyekat sempadan Rafah supaya bantuan kemanusiaan tidak dapat masuk ke dalam Palestin sebelum ini. Arab Saudi pula tidak menyertai misi bantuan Flotilla walaupun seluruh dunia menyertainya.

Kuasa imperial British amat licik dan berpengalaman dalam menjajah. British memiliki strategi berjangka panjang. Justeru pada tahun 1948 British telah bersekongkol dengan kuasa imperialis baru – Amerika Syarikat – untuk mendirikan apa yang dipanggil Israel - di bumi Palestin. Israel sebenarnya telah ditanamkan ke dalam dunia Arab. Tujuan penubuhan negara Israel ini adakah untuk memastikan satu pangkalan tentera yang tersusun rapi akan terus menerus wujud di Timur Tengah. Pangkalan tentera ini bertujuan untuk menjaga dan mengawal telaga minyak. Israel akan menjadi mata-mata dan soldadu kepada kuasa imperil Anglo-Amerika.

Israel pada hari ini telah memiliki senjata dan bom nuklear antara yang tercanggih di dunia. Sudah tidak ada pemimpin Arab yang berani dan tegas melawan Israel seperti  Presiden Nasser - memilik-negarakan Terusan Suez pada tahun 1956 dan Raja Feisal - menutup aliran minyak dari di eksport pada tahun 1974.

Sebagaimana yang disebut Sukarno apabila Malaysia hendak ditubuhkan dengan istilah neo- kolonialisme, begitulah juga kuasa Anglo- Amerika menjajah negara- negara Arab. Negara-negara Arab ini menjadi pelanggan untuk kuasa imperial Anglo-Amerika. Pemimpin mereka wajib dipersenjatai dan diwarwarkan sebagai pemimpin yang berkaliber. Dalam masa yang sama Israel sebagai ' hantu' akan terus menakut nakutkan negara negara Arab ini. Apabila negara Arab takut maka tidak dapat tidak, negara Arab akan membeli senjata dari Britain atau Amerika atau Perancis.

Inilah yang dilakukan penjajah dalam selama 40 tahun. Mereka memunggah minyak dan gas dari negara Arab. Hasil duit minyak dan gas ini akan digunakan oleh negara Arab untuk membeli senjata. Senjata ini dikatakan untuk mempertahankan diri dari Israel.

Dengan berlakunya revolusi rakyat di seluruh tanah Arab, walaupun tidak dilihat satu tanda apa pun untuk menyatakan bahawa tunjuk-tunjuk perasaan sejak penghujung tahun lepas adalah untuk Palestin. Ini kerana regim yang di lawan itu semuanya barua kepada imperialisma Anglo-Amerika dan Zionis Israel. Melawan Mobarak , Ben Ali, Al-Makhtoum sama seperti melawan kuasa Amerika dan zionis Isreal.

Tetapi semenjak tiga hari yang lepas, terbukti unjuk perasaan ini bersifat anti-imperialis dan anti-zionis.  Berlaku kontradiksi baru di benua Arab apabila rakyat dari semua negara yang bersempadan dengan Palestin keluar beramai- ramai ke jalanan membantah pendudukan Israel ke atas Palestin. Rakyat Palestin yang menjadi pelarian di Syria, Lubnan, Mesir dan sebagainya cuba masuk semula ke Palestin untuk membebaskan Palestin.

Tahun ini bukan stahun sambutan Nakbah yang biasa, tetapi ada perancangan melakukan Intifada yang ketiga. Di Gaza, Israel sudah menembak lebih 80 penunjuk perasaan. Di sempadan Syria, Lubnan dan gaza, lebih 13 orang sudah ditembak mati.

Dan mesej jelas yang disampaikan, sudah sampai masanya imperialis dan Zionis Israel berambus dari tanah Arab khasnya Palestin.

1 ulasan:

adysuR berkata...

Syukran.

Israel akan terus berkuasa selagi umat Islam tak bersatu.