Rabu, 3 Februari 2010

Mahasiswa Bangkit Berubah

 
Hidup Mahasiswa!

Mahasiswa Universiti Malaya (UM) akan terus membantah jika keputusan siasatan dakwaan penyelewengan pilihan raya kampus (PRK) Khamis lalu, tidak menyebelahi mereka.

Menurut Pengerusi, Gabungan Mahsiswa Bantah E-undi (Bantah), Mohd Aizat Mohd Salleh setakat ini mereka belum dimaklumkan mengenai hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak pengurusan universiti."Sekiranya perlukan tekanan, kita akan buat demonstrasi lagi," katanya.
Aizat berkata beliau bersama sepuluh wakil yang berunding dengan naib canselor Prof Ghauth Jasmon pada Jumaat lalu diberitahu keputusan PRK akan diumumkan hari ini pada jam 5 petang di Institut Pengajian Siswazah.
Pihak pengurusan bagaimanapun enggan berbincang lanjut berhubung perkara berkenaan.

"Beliau (Prof Ghauth) berkata nak buat keputusan. Dia kata sistem dah ok." kata Aizat lagi.Menurutnya, Bantah juga memohon perbincangan lanjut dengan pihak universiti melalui e-mail tetapi belum mendapat sebarang maklum balas.
Keputusan PRK Khamis lalu digantung selepas ratusan mahasiswa daripada kumpulan yang tewas berdemonstrasi dan menuduh berlakunya penyelewengan.

Ketegangan selama dua hari itu reda seketika selepas rundingan lebih empat jam antara kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) yang tewas dengan pihak pengurusan UM pada Jumaat lalu.

Bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad, turut bersama menyertai rundingan berkenaan yang mengambil keputusan menggantung keputusan sementara menunggu siasatan.

Pada pertemuan itu, naib canselor, Ghauth Jasmon juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M melantik perunding bagi menguji sistem undian elektronik (e-undi) yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan melantik konsultan teknologi maklumat (IT) lulusan Universiti Harvard, bagi membuat laporan penuh siasatan ke atas e-undi dan laporannya dijangka diketahui hari ini.

Konsultan berkenaan dipilih atas permintaan kumpulan Pro-M dan pihak UM turut mempercayai kewibawaan mereka memandangkan Universiti Harvard telah lama menggunakan sistem tersebut.

Jumaat lalu, Ghauth juga berjanji pilihan raya kampus akan diadakan semula jika terbukti berlakunya penyelewengan.

Ini kali pertama keputusan pilihan raya kampus UM ditangguhkan pengumumannya hampir seminggu selepas hari pengundian.

Pada PRK itu kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

Tiada ulasan: