Menurut Dr. Mohammad Naquib Al-Attas ILMU ialah “ma’na yang sampai ke dalam qalbu seseorang”. Mengambil definasi ILMU oleh Naquib itu tadi penulis menambah bahawa ILMU ialah roh ma’na (the spiritual meaning) yang diredhai oleh Allah SWT yang sampai ke dalam qalbu seseorang.
Adanya perkataan "sampai" di dalam definasi tersebut itu menunjukkan bahawa ILMU itu ada sumbernya (asalnya daripada mana) dan ada tempat akhirnya ia sampai; dan ia bergerak pindah dari sumbernya ke tempat ia sampai; dan ia boleh juga bergerak pindah meninggalkan tempat yang ia telah sampai itu lalu kembali kepada tempat asalnya.
Tempat ILMU bagi seseorang ialah di dalam qalbu seseorang itu; bukannya di dalam otaknya; kerana otak hanya merupakan alat atau saluran saja yang dilalui oleh ILMU itu (dari sumbernya) untuk sampai ke tempatnya, iaitu di dalam qalbu seseorang. Walaupun banyak ahli sains neorologi dan psikologi mengatakan otak manusia adalah berperanan sebagai tempat tersimpannya ilmu, namun penulis berpendapat bahawa ILMU tempatnya sebagaimana pendapat Naquib, adalah di dalam qalbu seseorang; ini adalah kerana dalam Islam qalbu adalah istilah yang penting dan ada dihuraikan peranannya.
Oleh kerana ILMU itu bergerak (dari sumbernya ke dalam qalbu seseorang), maka sudah pastilah ada pihak yang membawanya untuk ia sampai ke dalam qalbu seseorang itu. Oleh kerana ILMU itu adalah merupakah roh ma’na (the spiritual meaning), bersifat ghaib; maka pembawa yang membawanya dari sumbernya itu, haruslah membawa ia menuju untuk sampai ke dalam qalbu seseorang itu ialah Malaikat.
Untuk ILMU itu dapat, iaitu boleh sampai atau tidak dapat sampainya ia ke dalam qalbu seseorang, ia bergantung kepada banyak faktor yang membenarkan ILMU itu boleh atau tidak bolehnya ia sampai ke dalam qalbu seseorang itu. Antara faktor pentingnya ialah pertamanya diri seseorang itu, iaitu ia mestilah seorang yang beriman; tiada di dalam keadaan melakukan kemungkaran dan maksiat walau sekecil mana sekalipun; dan faktor keduanya ialah persekitarannya mestilah terhindar dari sebarang adanya elemen-elemen kemungkaran dan maksiat walau sekecil mana sekalipun.
Musuh utama ILMU ialah syaitan; dan sedaya upayanya syaitan akan menghalang ILMU dari dapat sampai ke dalam qalbu seseorang. Sekiranya seseorang itu dalam keadaan tidak beriman atau dalam keadaan kemungkaran dan maksiat, atau berada di dalam suasana dan persekiataran yang terdapat elemen-elemen kemungkaran dan maksiat, maka syaitan akan merampas ILMU itu daripada Malaikat dan menukarkan ILMU itu menjadi PENGETAHUAN. Maka PENGETAHUAN-lah yang dibawa oleh syaitan hingga sampai ke dalam qalbu seseoarang. Maka akibatnya, walaupun asalnya ia adalah iLMU, tetapi oleh kerana pengaruh faktor-faktor tertentu tadi, Syaitan berjaya menukarkan ILMU itu menjadi PENGETAHUAN untuk disampaikannya ke dalam qalbu seseorang itu.
Apakah PENGETAHUAN? PENGETAHUAN ialah ketibaan roh ma’na yang tidak diredhai oleh Allah SWT yang sampai ke dalam qalbu seseorang. Maka pembawa PENGETAHUAN dari sumbernya sehingga sampai ke dalam qalbu seseorang adalah syaitan. Syaitanlah yang menyampaikan PENGETAHUAN itu tiba ke dalam qalbu seseorang.
Hampir semua mata pelajaran yang diajar oleh guru di sekolah atau di Universiti asalnya adalah ILMU. Ilmu Sains, Mathematik, Geografi, Agama Islam dll. adalah ILMU. Tetapi anda boleh buat analisis, hasil proses pengajaran-pembelajaran yang dilaksanakan itu; input yang diterima oleh para pelajar, adakah ILMU atau PENGETAHUAN?
Contoh: Bagi seorang wanita Islam, sewaktu ia di sekolah rendah dahulu ada dia belajar ILMU Agama Islam bahawa wanita mestilah menutup aurat. Apa yang dia pelajari itu adalah ILMU. Tetapi apabila ia sudah dewasa, menjadi isteri orang kenamaan misalnya, di kalayak ia mendedahkan auratnya dengan kepala dan rambutnya dapat dilihat oleh khalayak. Ini membuktikan bagi wanita ini, yang ada di dalam qalbunya, bukannya ILMU mengenai penutupan aurat itu. Ia tahu mendedahkan aurat adalah berdosa, dan menutup aurat adalah wajib baginya; tetapi kefahamannya kini mengenai kewajipan menutup aurat yang berada di dalam qalbunya adalah sebagai PENGETAHUAN saja.
Pelajaran Matematik misalnya, apabila diajar oleh guru dan sampai boleh diterima oleh para pelajar, adakah ia merupakan ILMU Mathematik atau PENGETAHUAN Matematik? Pelajaran Agama Islam yang diajar oleh ustaz dan ustazah, adakah apabila sampai ke dalam qalbu para pelajar, yang sampai itu merupakan ILMU Agama Islam atau PENGETAHUAN Agama Islam?
Kita boleh mengetahui jawapan kepada soalan-soalan itu tadi dengan melihat tingkah laku seseorang. Seseorang yang dahulunya belajar berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran ILMU Matematik dan lulus dengan cemerlang di Unversiti dalam bidang ILMU Perakaunan, tetapi setelah menjawat jawatan Akauntan dalam sebuah Syarikat, ia memanipulasi akaun Syarikat itu bagi membolehkan ia mengaut keuntungan secara haram. Ini bererti, ILMU Matematik dan ILMU Perakaunannya telah hilang; kerana telah ditukarkan oleh Syaitan menjadi PENGETAHUAN Matematik dan PENGETAHUAN Perakaunan.
Semua orang lelaki Islam belajar ILMU Agama Islam faham bahawa mendirikan SOLAT Jumaat itu adalah wajib. Ini adalah ILMU yang ia belajar. Tetapi banyak kali tanpa uzur syariei, ia tidak pun ke masjid untuk bersama jemaah mendirikan SOLAT Jumaat. Ini membuktikan yang ada di dalam qalbunya itu bahawa mendirikan SOLAT Jumaat itu adalah wajib bukannya lagi sebagai ILMU baginya, tetapi telah bertukar menjadi PENGETAHUAN-nya saja.
Seorang ahli POLITIK beragama Islam misalnya, ia berkelulusan Universti dalam bidangan Pengajian ILMU Islam. Sudah pastilah ia ada mendengar atau mempelajari Al-Hadis, misalnya 2 Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “TIDAK BERIMAN SEORANG MU’MIN ITU SEHINGGA IA MENCINTAI SAUDARANYA SEBAGAIMANA IA MENCINTAI DIRINYA SENDIRI” dan “ANTARA MU’MIN DENGAN MU’MIN ITU ADALAH BERSAUDARA BAGAIKAN SATU TUBUH….” [Hadis-Hadis Sahih Bukhari & Muslim]. Adakah mereka yang menggunakan wadah dan wahana POLITIK menerima-pakai maksud kedua-dua Al-Hadis ini?
Sudah tentu tidak! Terhadap ahli-ahli parti POLITIK yang seagama difitnah; malahan dalam parti POLITIK yang sama pun sesama ahli mahu dijatuhkan atau bersetuju dipenjarakan. Ini membuktikan bahawa ILMU Hadis itu tadi, baginya telah bertukar menjadi sebagai PENGETAHUAN-nya saja di dalam qalbunya.
Sistem Pendidikan di Malaysia adalah jelas sistem yang menyampaikan PENGETAHUAN kepada para pelajar, rata-rata bukannya menyampaikan ILMU. Kita boleh lihat di sekolah-sekolah dan di universiti, proses pengajaran dan pemelajaran adalah tidak merupakan proses untuk menyampaikan ILMU tetapi majoritinya adalah proses menyampaikan PENGETAHUAN. Ini adalah kerana untuk menyampaikan ILMU, persekitaran dan suasananya mestilah merupakan MAJLIS ILMU.
Sesuatu kelas atau bilik kuliah itu tidak boleh dikatakan sebagai MAJLIS ILMU apabila terdapatnya elemen-elemen kemungkaran seperti guru atau pensyarah wanitanya beragama Islam tidak menutup aurat, para pelajar wanitanya yang beragama islam tidak menutup aurat dan bercampur-gaul pula dengan pelajar lelaki yang bukan mahram. Keadaan dan situasi ini hanya layak diklasifikasikan hanya sebagai MAJLIS PENGETAHUAN, bukannya MAJLIS ILMU.
Fungsi ILMU dan PENGETAHUAN adalah sama, iaitu ia membentuk KEFAHAMAN kepada seseorang setelah ia sampai ke dalam qalbu. Dari KEFAHAMAN, ia bertukar menjadi KEYAKINAN, dari KEYAKINAN ia bertukar menjadi NILAI, dan NILAI ini pula membentuk SIKAP, dan SIKAP itulah pula yang mencorakkan TINGKAH LAKU: iatu bagi ILMU tingkah laku yang memiliki ILMU adalah diistilahkan sebagai IBADAT, tetapi bagi PENGETAHUAN, tingkah laku yang memiliki PENGETAHUAN adalah diistilahkan sebagai PERANGAI.
Kenapakah dalam bahasa Melayu diistilahkan sebagai PERANGAI? Sebabnya ialah ia berasal dari perkataan PERANG, iaitu yang kita umat Islam mesti perangi dengan cara melalui pelaksanaan kaedah “amal makruf nahi mungkar”.
Nota: Perbedaan ILMU dan PENGETAHUAN di atas bukanlah perbedaan dari segi istilah, tetapi membezakan antara ILMU dengan PENGETAHUAN dari sedut bahawa PENGETAHUAN mengikut maksud yang terdapat dalam pengertiannya dalam bahasa Melayu yang diguna pakai dalam masyarakat Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan