Jumaat, 30 Julai 2010

MASALAH SOSIAL: IMPLIKASI KE ATAS USAHA DAKWAH DI MALAYSIA

0 komen pembaca
MASALAH SOSIAL: IMPLIKASI KE ATAS USAHA DAKWAH DI MALAYSIA
Dr. Supyan Hussin,
Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM
http://www.atma.ukm.my/

PENGENALAN
Melayu itu Islam?
Sering kita mendengar beberapa pemimpin negara kerajaan, dan sebahagian rakyat Melayu, mendakwa bahawa negara Malaysia adalah “negara Islam” meskipun kita tahu bahawa falsafah pemerintahan negara tidak berpijak di atas dasar Islam. Malah tanpa segan silu, ada juga orang mendakwa bahawa “Melayu itu Islam” dan “Islam itu Melayu” walaupun kita maklum bahawa tidak semua Melayu itu Islam.

Menurut banci penduduk 1980, Jabatan Perangkaan mendapati bahawa daripada penduduk Melayu yang berjumlah 6.1 juta orang, 4,766 orang Melayu adalah beragama Kristian, 522 orang Melayu beragama Hindu, 456 orang Melayu beragama Buddha/Konfusius, 44,317 orang Melayu menganut agama suku kaum (anisma), 1,706 orang Melayu beragama lain dari yang di atas, dan 13,666 orang Melayu tidak ada agama. Jelas bahawa tidak semua Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Dan sudah tentu bilangan Melayu yang tidak beragama Islam semakin meningkat di abad ini walaupun statistik mengenainya tidak dipaparkan oleh pihak berwajib.

Apa yang lebih menarik ialah kedua-dua dakwaan ini adalah suatu yang ironik jika kita meneliti pelbagai gejala sosial yang berlaku dalam negara. Logiknya, kalau benar Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan Islam sudah tentu gejala sosial berada di tahap minima atau berkurangan setiap tahun. Sebaliknya terdapat kecenderungan peningkatan dalam setiap kes gejala sosial pada setiap tahun.
Lebih tepat lagi kalau kita katakan bahawa kaum Melayu yang kononnya beragama Islam lebih banyak terlibat dengan kes-kes masalah sosial. Apa yang jelas ialah orang Melayu rata-rata mendahului kaum lain dalam pelbagai gejala sosial. Persoalan pertama yang sering ditanyakan ialah mengapa boleh jadi begini? Persoalan seterusnya, jika kaum Melayu-Islam lebih terkedepan dalam pelbagai gejala sosial, maka apakah mungkin perkembangan dakwah Islam akan terjejas akibat dari gambaran buruk yang ditunjukkan oleh orang Melayu dalam negara ini?

GEJALA SOSIAL

Di bawah ini disertakan data-data mengenai gejala sosial yang berlaku di kalangan dalam negara Malaysia yang didakwa sebagai “negara Islam” dan orang “Melayu=Islam”.

Sepanjang 1985-1991, daripada 449 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, 43.3% daripada kanak-kanak malang ini adalah keturunan Melayu, 29.5% keturunan India, dan 22.5% keturunan Cina. (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1996)

Sepanjang 1985-1995, daripada 1688 kes penganiyaan kanak-kanak, 50.2% melibatkan orang Melayu, 29.8% melibatkan orang India, dan 14.6% melibatkan orang Cina (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1996)

Pada tahun 1992, daripada 166 kes remaja lari dari rumah, 59.6% daripadanya adalah membabitkan orang Melayu (Kementerian Kesihatan, 1992).

Pada tahun 1992, daripada 970 kes penderaan ke atas remaja, 45.6% daripadanya melibatkan keluarga Melayu (Kementerian Kesihatan, 1992).

Sepanjang 1997-2001, jumlah kes rogol membabitkan orang Melayu ialah 4,465; Cina 761; India 449; lain-lain 1,209. Daripada jumlah keseluruhan ini, 3,715 adalah mangsa di bawah umur 16 tahun. (NST 22 April 2002)

Daripada 10,000 bilangan makyah Melayu 70-80%, Cina 8.33, India 10.84, dan lain-lain 3.33. South East Asia Research, 6(2) July: 165-180

Kadar penceraian meningkat dari 506 (1992) kepada 615 (1993) di Wilayah Persekutuan (Muslimah April 1993).

Kes sumbang mahram yang melibatkan bapa kandung. 1992: 42 kes; 1993: 35 kes; 1995:, 62 (35.8%) kes daripada 173 kes; 1996: 65 kes (32.5%) daripada 200 kes membabitkan bapa kandung; 1997 April- dari jumlah 56 kes, 20 kes melibatkan bapa kandung (35.7%). Yang melibatkan bapa tiri (1991)18 kes; (1992): 25kes

1997 1998 1999 200 2001 2002 (Jan – Mac)
Melayu 186 220 192 158 179 43
Cina 10 13 7 5 9 4
India 21 27 15 12 17 6
Lain2 34 57 61 38 41 12
Jumlah 251 317 275 213 246 65

Laporan Polis Diraja Malaysia (1997 – 2002).

2001: kes juvana (3,479), sebanyak 2,288 melibatkan lelaki Melayu; 546 Cina; 383 India; 262lain-lain

Bilangan penduduk Malaysia yang terlibat dengan penagihan dadah : 500,000 orang. Bilangan remaja

Melayu yang dianggarkan terlibat dengan penagihan: 350,000 (70%). (Sunday Mail 6/2/94, Utusan

Malaysia 10/2/96, Berita Harian 8/4/96 dan New Straits Times 11/7/96).

Agensi Dadah Kebangsaan. Jan – Sept 2001: Statistik penagih dadah di Malaysia: 17,382 daripada 21,692 penagih dadah baru berumur antara 13 hingga 40 tahun. 14,754 daripada 21,692 adalah Melayu. Terdapat 25 pusat serenti awam dan 55 pusat pemulihan swasta.

Anggaran perbelanjaan untuk dadah di kalangan penagih Melayu: Harian : 350,000 x RM 10 = RM 3.5 juta; Bulanan : RM 3.5 juta x 30 = RM 105 juta;Tahunan : RM 105 juta x 12 = RM 1.26 bilion. (Sunday Mail 6/2/94, Utusan Malaysia 10/2/96, Berita Harian 8/4/96 dan New Straits Times 11/7/96)

Kes pembuangan bayi (1994): Jumlah anak dibuang – 54 ( JKM) Melayu – 32; Cina 4; India 16; lain-lain – 2. (Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96).

Sepanjang 1997-1999 (Ogos), jumlah kes pembuangan bayi di kalangan orang Melayu ialah 106, manakala Cina 12, dan India 19 (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1999).

Kes mengandung luar nikah (JKM) 1994: Jumlah yang mengandung – 181; Melayu – 147; Cina 10; India 12; lain-lain 12. (Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96).

Wanita Mengandung Luar Nikah (JKM) 1995: Jumlah yang mengandung – 125; Melayu 115; Cina 4; India 4. (Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96.

Wanita Mengandung Luar Nikah (JKM) 1996 ( Jan – Jun) Jumlah yang mengandung - 72; Melayu 65; Cina 3; India 2. (Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96).

Sepanjang 1997-1999 (Ogos), jumlah kes hamil luar nikah yang melibatkan orang Melayu ialah 14, manakala Cina 6, dan India 4 (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 1999).

Bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti HIV dan AIDS : 51,256 (HIV ) hingga Disember 2002. 7,218 daripadanya adalah AIDS. 63.7% Melayu, 21.3% Cina, Indian 6.2%, Asing, 4.4%. 5,424 pesakit telah mati. Johor mencatat kes palng tinggi, 1421 (20.3%) diikuti oleh Selangor, 1152 (16.5%). Majoriti adalah penagih dadah. (NST 8 Dec 2003)

Pembawa kuman HIV dan AIDS di kalangan orang Melayu di Johor. Pada tahun 1989, setiap 100,000 rakyat Johor, maka 48.2 orang adalah pembawa kuman HIV/AIDS, 1999 – 52.7; 2000 – 61.2 orang. 2003 – 10,000 pembawa kuman HIV/AIDS di mana 90% daripadanya adalah Melayu. (BH 25 Feb 2004)

DILEMA

Jika dilihat data-data yang dipaparkan di atas, jelas kelihatan kaum Melayu mendahului kaum-kaum lain dalam pelbagai bentuk gejala sosial. Data-data ini bukan sahaja memalukan bangsa Melayu yang konon semuanya Islam, malah ia boleh menjadi penghalang kepada usaha-usaha dakwah Islamiah dalam negara ini.

Sudah pasti orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu merasa hairan bagaimana orang Melayu yang sering mengatakan Islam itu bersih, suci, dan syumul serta membawa kesejahteraan menunjukkan gambaran yang buruk dan jijik dalam gejala sosial. Justeru agak sukar bagi orang bukan Islam dan bukan Melayu untuk menerima Islam apabila orang Melayu Islam tidak menunjukkan contoh tauladan yang terbaik.

Di dalam persoalan dakwah, terdapat 3 perkara yang perlu diberi perhatian. Yang pertama ialah mesej Islam yang benar dan syumul; kedua, pendakwah yang bertanggungjawab; ketiga, pendekatan berhikmah. Dalam beberapa keadaan, biar bagaimana cantik sekalipun mesej Islam itu tetapi apabila pendakwahnya atau penganutnya tidak menunjukkan contoh dari apa yang didakwahkan atau diajar oleh ugama, maka sudah tentu mesej itu akan ditolak. Begitu juga akan berlaku pada kita jika salah satu dari tiga elemen ini mempunyai cacat-celanya. Gejala sosial yang hebat di kalangan orang Melayu ini menunjukkan bahawa orang Melayu gagal menghayati nilai-nilai yang baik diri Islam; lantas, Islam akan dipersalahkan.

LANGKAH SETERUSNYA

Sebagai seorang Muslim, kita harus merasa terpanggil untuk berhadapan dengan cabaran waqi’ semasa ini. Kemungkinan dalam beberapa keadaan kita boleh tanganinya seorang diri tetapi dalam banyak keadaan kita perlu berganding bahu dalam membetulkan keadaan. Dalam soal menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran ini, kita disuruh melaksanakannya dalam bentuk jamaah dan organisasi.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Hendaklah ada di kalangan satu kumpulan yang menyuruh kepada kebajikan, yang menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran, Itulah orang-orang yang berjaya.” Ali Imran: 104.

Langkah pertama yang perlu dibuat ialah memahami punca kepada gejala sosial yang berlaku. Kita yakin bahawa apabila Muslim meninggalkan agamanya atau tidak kukuh pegangannya, maka berlakulah kerosakan demi kerosakan ke atas ummah dan negara. Kesan dari kecuaian individu Muslim itu akan menyebabkan masyarakat menjadi binasa.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah oleh tangan-tangan manusia; (timbul yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Ar-Rum: 41)

Antara punca yang menyumbang ke arah kemungkaran ialah kejahilan ummah mengenai Islam; sistem pemerintahan yang membenarkan kemungkaran berlaku melalui undang-undang, sistem pendidikan gagal membentuk insan berilmu dan bertaqwa, media yang memaparkan bahan-bahan yang boleh merosakkan minda dan rohani masyarakat serta sistem ekonomi yang menekan dan menindas.

Langkah kedua yang perlu dilakukan ialah mengambil tindakan untuk menyekat atau menghalang punca kepada kemungkaran yang berlaku. Kalau pun kemungkaran tidak boleh dibanteras semua, tetapi ia tetap boleh dikurangkan. Bagi melaksanakan tugas ini, Ibn Taimiyyah pernah menegaskan:

“Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu . Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan.” (As-Siasah As-Syariah: 172-175)

Dalam hal ini, orang Islam memerlukan kuasa, samada kuasa di peringkat yang paling bawah iaitu ibu bapa mahupun peringkat yang paling tinggi iaitu pemerintah. Kuasa ibu bapa ialah dengan mendidik, mengasuh, membentuk, serta membimbing anak-anak dengan ajaran Islam. Para ibu bapa juga boleh merancang program-program kebajikan, sosial, dan pendidikan di tempat tinggal masing-masing bagi meminimakan masalah sosial dalam masyarakat setempat.

Begitu juga dengan ibu bapa yang bekerja, sudah tentu mereka boleh mengadakan program-program kebajikan, sosial, dan pendidikan di pejabat atau di tempat kerja masing-masing dalam membentuk minda yang sihat. Manakala kuasa pemerintah pula ialah untuk menghalang lorong-lorong yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak dalam masyarakat.
Dosa sekelling kita, harus ada jalan keluar.

Ini termasuklah menutup premis judi, menghadkan aktiviti bersabit dengan arak, mengharamkan bahan-bahan lucah dalam media cetak dan media elektronik, mengenakan tindakan undang-undang yang lebih berkesan ke atas pesalah-pesalah, memastikan kurikulum pendidikan diintegrasikan dengan keagamaan, dan sejuta satu macam perkara yang boleh dilaksanakan apabila kuasa ada ditangan.

Sabda Nabi saw yang maksudnya: “Barangsiapa yang ternampak atau terserempak kemungkaran, maka hendaklah ia berhentikan dengan tangan; jika ia tidak mampu, maka berhentikanlah dengan lidah; jika ia tidak mampu juga, maka berhentikan dengan hati; itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apabila kedua-dua langkah ini dapat dilaksanakan sudah pasti gejala sosial di kalangan masyarakat akan berkurangan. Bagaimanapun dalam soal dakwah atau menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat, kita tidak boleh menunggu sehingga mendapat kuasa untuk memerintah.
Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk memainkan peranannya masing-masing sehinggalah umat Islam dapat memerintah dengan hukum dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu para alim ulama’, ustaz dan guru-guru agama sahaja tetapi MENJADI KEWAJIPAN BAGI SETIAP INDIVIDU MUSLIM sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.


KESIMPULAN

Gejala sosial yang semakin menular dan ketara dalam masyarakat di negara ini haruslah dibendung dengan segera bagi mengelakkan natijah yang lebih buruk dan lebih kronik di sepanjang zaman. Setiap individu Muslim harus merasa terpanggil dan bertanggungjawab dalam menangani gejala ini bersama-sama kerana natijah dari gejala sosial ini akan menimpa semua orang dalam masyarakat termasuklah ahli keluarga kita.
Usaha-usaha mendidik masyarakat dengan agama bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga orang dewasa hendaklah diperhebatkan walaupun terdapat halangan-halangan yang mahukan masyarakat menjadi jahil tentang agama akhir-akhir ini.
Persatuan penduduk, persatuan kebajikan, surau, masjid, serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu tampil ke hadapan mengambil inisiatif dalam menangani gejala sosial sebelum nasi menjadi bubur.

Data:

Kes HIV & AIDS mengikut gender dan negeri yang dilaporkan di Malaysia (1986-2001)

NEGERI LELAKI WANITA JUMLAH
Johor 8403 451 8854
Selangor 4945 266 5211
N. Sembilan 4804 77 4881
Terengganu 4375 172 4547
Pahang 4282 129 4411
Kelantan 3043 329 3372
W. Persekutuan 2995 261 3256
Perak 2741 154 2895
Kedah 2445 235 2680
P. Pinang 1554 164 1708
Melaka 1405 64 1469
Perlis 458 99 557
Sarawak 199 49 248
Sabah 99 20 119
JUMLAH 41738 2470 44208
(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia, 2001)

Kaedah menangani gejala sosial: Pencegahan

Quran

1. Dan hendaklah An-Nisaa’: 9. Dan hendaklah takut akan orang-orang yang ditakdrikan mereka pula meninggalkan anak-naka yang dhaif di belakang mereka.

2. At-Tahrim: Peliharalah diri mu dan keluarga mu dari api neraka

3. Jangan kamu dekati zina

4. Firman Allah SWT yang maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah oleh tangan-tangan manusia; (timbul yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Ar-Rum: 41)

5. AlMukminiun: 5-6.

6. Al-anfal: 60. “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroobo) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.”

7. Al-Baqarah: 195 Janganlah kamu mencampkaakn diri kamu dalam kebinasaan

8. Al-An’am: 164 Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap orang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.

9. Al-Anfal: 25: Dan jagalah diri kamu daripadanya dosa yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).

Hadis

1. Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpin. (Muslim)

2. Islam itu unggul dan tiada yang lebih unggul daripadanya. (Bukhari, Baihaqi, Dar Qutni).

3. Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan diperlukan daripada mukmin yang lemah (Muslim)

4. Dalam Islam janganlah kamu melakukan kemudartan terhadap diri kamu dan kepada orang lain. (Malik)

5. Dikahwini perempuan itu kerana 4 perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu memilih kerana agamanya, nescaya engkau akan selamat dan bahagia. (Bukhari dan Muslim)

6. Barangsiapa yang melihta kemungkrana, hendaklah ia menghentiknanya dengan tangan ... (Muslim)


Usul Fiqh

1. Menolak segala yang membawa kerosakan lebih utama dari mencari keuntungan.
2. Kemudaratan wajiblah dihapuskan.
3. Sesuatu yang menyebabkan tak sempurnanya kewajipan keculai dengannya maka ianya wajib.
4. Seandainya berkumpul antara dua bahaya wajiblah mengambil bahaya yang lebih ringan.
5. Dilarang dari melakukan kemunduran dri dan orang lain
6. Mencegah it lebih baik dari mengubati.
7. Kepentingan umum hedaklahlah didahlukan dan diberi keutamaan daripada kepentingan peribahi.

Selasa, 27 Julai 2010

Sebelum Melangkah ke Teori Konspirasi...

6 komen pembaca
Sudahkah kita mengenal ilmu fundamental dalam Islam?
Sekarang semua orang sibuk nak cerita pasal konspirasi.

Di USIM pun, ada seorang ustaz telah dijemput sempena Karnival Mahasiswa '10 untuk membentangkan teori konspirasi Illuminati ni.

Dan, saya sanggup minta excuse dari Mas'ul halaqah saya, akhi Hussein supaya dapat pergi ke program tersebut.

Saya pergi dengan satu tujuan saja. Ingin bertanya kan soalan, sekurang- kurangnya membuka separuh minda dewan tersebut.

Apakah pendedahan secara besar- besaran teori konspirasi Illuminati adalah perancangan halus musuh untuk memesongkan umat Islam dari mengkaji ilmu- ilmu penting Islam seperti Usul Fiqh dan sebagainya? Apakah panduan yang dapat ustaz berikan supaya kita tak pandang semua perkara sebagai konspirasi?

Saya tak pernah minat dengan idea konspirasi. Ulama' kaum muslimin pun tak pernah sibuk dengan konspirasi ni semua.

Teori konspirasi terus berkembang mengikut massa. Ada World Cup 2010, ada pendedahan baru. Nanti ada Olimpik di UK, akan ada lagi pendedahan tentang penglibatan Illuminati.

Ia terus, dan terus, tak pernah surut. Berantai.

Bagi saya remaja Islam perlu perkuatkan jati diri Islamnya dan faham kata-kata kunci seperti ilmu, keadilan dan kebebasan menurut Islam. Jika benar faham terbanglah dan terokalah apa -apa jenis pemikiran manusia pun insya Allah kita tidak akan sesat. Jika sesat pun insya Allah kita boleh kembali.

Maaflah, saya tak minat langsung dengan konspirasi ni semua.


Bukannya salah nak ambil tahu pasal konspirasi, tapi bila pandang itu konspirasi, pandang ini konspirasi. Bukankah itu menjengkelkan?


Semuanya konspirasi. Bosan.


Sekali lagi, tak salah pun nak tahu. Perkukuhkan asas dulu. Pastikan kuasai ilmu Islam dahulu.

*Tulisan ini dialu- alukan supaya dikritik oleh pembaca sekalian*

Rabu, 21 Julai 2010

Rakyat diDahulukan Ditipu.

2 komen pembaca
Mereka kata laungan tidak mahu subsidi dikurangkan hanya dijerit pekik oleh ahli politik. Benarkah?




Aduhai malangnya, ketika kerajaan sedang membina istana negara yang berharga 811 juta yang hanya ekslusif untuk segolongan manusia sahaja, serta di sana berbagai lagi pembaziran yang lain, tiba-tiba rakyat awam menjadi mangsa, subsidi mereka pula yang dirampas..

Kenangilah orang-orang kampung yang susah, ibubapa yang terhad pendapatan mereka dan anak-anak miskin yang akan termangsa dari setiap kenaikan harga barang.. mereka tiada istana mewah, tiada kereta mewah, tiada hidangan mewah..

Ketika golongan bangsawan dan pembesar itu bersenang lenang dengan segala kemewahan yang telah merampas subsidi rakyat, orang miskin menangis suapan mereka yang makin meninggi harganya, yang meratah tenaga jasad dan kekayaan negara mereka..

Oleh: * Dr. Mohd Asri Zainul Abidin *

Mereka kata laungan tidak mahu subsidi dikurangkan hanya dijerit pekik oleh ahli politik. Benarkah?

Rabu, 7 Julai 2010

Tiada larangan wanita jadi hakim syarie

3 komen pembaca
Tiada larangan wanita jadi hakim syarie PDF Print E-mail
Image (Gambar: Dr. Juanda Jaya)Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan harus bagi wanita Islam yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Syariah.
Batasnya, mereka tidak mengadili kes-kes hudud dan qisas. (keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 6 April 2006).


Bagaimanapun, hal ini masih terus menjadi topik perbahasan. Di pihak yang membantah, hujah mereka antara lainnya ialah firman Allah, Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita). (al-Nisa’: 34)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ZUL AZHAR SHEBLEE menemu bual mantan Timbalan Mufti Negeri Sarawak, Dr. Juanda Jaya bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah kedudukan wanita dalam Islam?

DR. JUANDA: Islam adalah agama yang meletakkan wanita setaraf dengan lelaki. Adalah amat malang sekiranya wujud pemahaman kuno lagi lapuk yang memandang lelaki lebih mulia daripada wanita dan wanita adalah gender kelas dua. Pegangan mundur sebeginilah yang mencacatkan imej Islam. Ia berpunca daripada sikap segolongan manusia yang mengutamakan kebiasaan, tanpa mahu memahami tuntutan nas dan perubahan zaman.

Bukankah Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa wanita itu adalah saudara kandung lelaki. Kesamaan taraf yang menjelaskan tiada sebarang perbezaan melainkan apa yang telah digariskan oleh Yang Maha Pencipta. Al-Quran telah melaungkan persamaan ini ribuan tahun yang lalu yang bermaksud: Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal saleh, baik laki-laki maupun wanita sedang ia orang yang beriman, Maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun. (an-Nisa’: 124)

Umat hanya akan kuat jika sepenuh kekuatan yang mereka miliki digunakan. Wanita adalah ‘separuh daripada umat'. Bahkan kini setelah peluang pendidikan dibuka untuk semua jantina didapati majoriti yang bijak dan terkehadapan adalah wanita.

Realiti sebegini sepatutnya membuka mata, telinga dan hati mereka yang masih memandang rendah kekuatan ‘separuh umat ini’. Bukankah realiti menunjukkan setiap jantina diberikan hak sivil yang sama dalam kehidupan moden dan hal ini diakui dan diterima semua, tetapi tiba-tiba sebahagian umat Islam apabila membincangkan isu wanita dari skop agama, wujud sikap prejudis kepada wanita, semata-mata kerana mereka itu wanita!

Antara sebab menolak hakim syariah di kalangan wanita ialah perbezaan akal antara wanita dan lelaki. Wanita dikatakan mempunyai sembilan nafsu dan satu akal berbanding lelaki sembilan akal dan satu nafsu. Bolehkah kita berpegang kepada fahaman begini dalam hal ini?

DR. JUANDA: Inilah antara stigma yang masih mendasar dalam pemikiran sebahagian umat Islam. Hatta di kalangan wanita sendiri ada yang menganggap wanita dijadikan kurang berakal berbanding lelaki.
Sebenarnya berlaku silap faham dalam hal sebegini yang wajar dirujukkan kepada tafsiran yang sahih terhadap nas dan teks yang berkenaan dengan mengambil kira sabab wurud al-hadis.
Hadis ini sebenarnya disampaikan sebagai satu cara Nabi s.a.w bermesra dengan wanita sewaktu mengutip derma setelah selesai solat Eid.

Apakah termasuk kurang akal para sahabat wanita seperti Ummu Salamah yang memberi nasihat bernas dalam Peristiwa Hudaibiyah, Nusaibah binti Ka’ab yang terlibat secara berkesan dalam Perang Uhud, Ummu Sulaim binti Milhan yang gagah dalam Perang Hunain, al-Shifa’ yang dijadikan oleh Umar r.a. sebagai penasihatnya.

Lebih hebat lagi kedudukan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid. Ini menunjukkan bahawa wanita juga setaraf dengan lelaki dalam soal kecerdasan otak
.
Catatan sejarah terkini Malaysia telah membuktikan, wanita adalah setaraf dengan lelaki dalam soal kecerdasan akal.

Contohnya tokoh kehakiman seperti Tan Sri Norma Yaakob, mantan Hakim Besar Malaya. Saya diberitahu oleh seorang tokoh politik bahawa pernah berlaku sedikit keributan puluhan tahun lalu apabila Siti Norma hendak dilantik memasuki bidang kehakiman, namun akhirnya ia dapat diatasi dengan baik.

Dalam konteks kehakiman syarie, rujukan kepada lelaki sebagai syarat menjadi hakim sering diterima bulat-bulat. Rujukan dibuat kepada pandangan sebagai contohnya Ibnu Abu al-Dam yang menegaskan keperluan perlantikan hakim itu adalah seorang lelaki kerana wanita tidak termasuk Ahlu al-Qadha’.

Apakah alasan wanita bukan Ahlu al-Qadha’ menepati kehendak tekstual dan kontekstual. Masa berubah dan manusia turut berubah. Nas tetap kekal teksnya, manakala konteksnya perlulah diambil kira.

Apakah kita masih mahu menerima pakai hujah wanita tidak layak menjadi hakim semata-mata kerana mereka wanita? Contohnya Ibnu Qudamah dalam al-Mughni menyatakan bahawa wanita tidak layak menjadi hakim kerana mereka tidak layak menjadi saksi dalam kes tertentu walaupun bilangan mereka sebagai saksi adalah 1,000 orang. Subhanallah! Benarkah nas syarak sebegitu ketat?

Mengapakah Abu Hanifah berpendapat wanita boleh menjadi hakim dalam kes-kes yang mereka boleh menjadi saksi iaitu selain kes hudud dan qisas?

Mengapa pula ulama tafsir yang ulung, Ibnu Jarir al-Tabari dan Ibnu Hazm menyatakan bahawa wanita boleh dilantik menjadi hakim untuk menghakimi semua kes secara mutlak sebagaimana yang dilakukan oleh orang lelaki tanpa kecuali? Kalau dilihat dari segi sejarah mereka ini hidup pada zaman awal Islam yang gemilang.
Umat Islam di Malaysia menjadikan mazhab syafie sebagai pegangan utama. Antara pandangan yang melarang melantik hakim syariah wanita ialah Imam as-Syafie. Persoalannya, bolehkah kita bertaklid kepada mazhab lain dalam hal ini?

DR. JUANDA: Persoalan merujuk kepada pandangan mazhab lain yang didapati lebih sesuai dalam menyelesaikan masalah umat bukanlah perkara baru di Malaysia.
Bahkan dalam perundangan syariah di Malaysia telah dikanunkan bahawa rujukan kepada hukum syarak dalam undang-undang bererti merujuk kepada pandangan mana-mana mazhab yang empat ataupun mana-mana pandangan ulama yang muktabar.

Terlalu banyak rujukan syariah masa kini di Malaysia adalah berdasarkan pandangan bukan mazhab Syafie walaupun sentiasa dilaungkan ketaksuban kepada mazhab Syafie.

Dalam urusan munakahat, perundangan kekeluargaan Islam di Malaysia banyak merujuk kepada pandangan mazhab Maliki dan Hanbali. Dalam urusan muamalat, banyak pandangan Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnu al-Qaiyim menjadi rujukan dan sandaran.

Dalam urusan akidah dan akhlak, rujukan kepada ulama luar seperti dari Arab Saudi dan Mesir yang bukan bermazhab Syafie turut diamalkan. Dalam zakat kita banyak mengikut mazhab Hanafi, dalam hal ibadat haji juga dirujuk dan diamalkan pendapat pelbagai mazhab lain dan sebagainya.

Jelasnya, tidak timbul langsung isu bertaklidkan mazhab lain boleh menggugat keharmonian mazhab Syafie. Apa yang menjadi matlamat ialah selagi mana sesuatu pandangan itu menepati kehendak dalil, kesesuaian kehendak teks dan kontekstual berlaku, maka pandangan yang tepat itu hendaklah diaplikasikan demi memastikan maslahat umat terpelihara.

Dalam isu hakim wanita, pandangan yang meletakkan perbezaan gender sebagai kayu pengukur dalam menilai keupayaan dan kompetensi seseorang dalam kerjayanya wajar diketepikan kerana ia akan membantutkan kemajuan sebuah negara.

Keengganan melantik hakim wanita walaupun berwibawa dan memenuhi syarat atas alasan kurang akal, kurang bijak, tidak berpengalaman dan tidak terdedah kepada cabaran semasa sehingga menyebabkan mereka tidak mampu membuat keputusan dengan tepat, adalah amat jahil dan mereka yang sebegini wajar dijauhi daripada pembuat dasar.

Hadis riwayat al-Bukhari iaitu “Kaum yang dipimpin oleh wanita tidak akan berjaya dalam urusan mereka” sering menjadi dalil bagi golongan yang membantah pelantikan hakim syarie wanita. Tidakkah cadangan melantik hakim syarie wanita bercanggah dengan sunah Rasulullah?

DR. JUANDA: Umum mengetahui hujah utama golongan yang menolak kehakiman wanita hanyalah sebuah hadis di atas sahaja.

Sewajarnya teks hadis ini disesuaikan dengan konteksnya iaitu Rasulullah s.a.w bersabda sedemikian ketika bersiap sedia memerangi bangsa Parsi yang ketika itu diketuai oleh Kisra wanita iaitu Buran binti Kisra.

Kerajaan Parsi telah menabalkan anak perempuan kepada Maharaja yang telah mangkat dan berita ini sampai kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda sedemikian.

Menurut ulama terkenal mazhab al-Syafie iaitu al-Sha’rani dan ulama paling ulung sedunia masakini yang juga Pengerusi Majlis Ulama sedunia, Prof. al-Shaikh Yusuf al-Qaradawi, hadis tersebut membawa maksud kepimpinan umum ke atas ummah seluruhnya iaitu kepimpinan ketua negara.

Ia dinyatakan dengan kalimah “urusan mereka” yang membawa maksud kepimpinan umum mereka. Bagi sebahagian urusan lain tidak dilarang kepimpinan wanita seperti kepimpinan dalam fatwa atau ijtihad, pengajaran, periwayatan, pentadbiran dan sebagainya.

Perkara ini dipersetujui secara ijmak malah sejarah membuktikan ia telah diamalkan sejak sekian lama. Jelasnya hadis ini bukan berkaitan urusan kehakiman wanita.

Sepatutnya sikap yang diamalkan sekarang adalah sekurang-kurangnya mengikut pandangan Abu Hanifah dan ashabnya yang membenarkan wanita menjadi hakim dalam perkara selain hudud dan qisas. Bahkan tabien yang ulung seperti Sufyan al-Thauri dan Tawus menyatakan kesaksian lelaki dan wanita adalah diterima dalam segalanya kecuali hudud dan zina.

Saya pula berpandangan lebih jauh mengajak agar pandangan Ibn Jarir al-Tabari, Ibnu Hazm, al-Sha’rani dan tokoh perundangan Islam moden seperti Prof. Dr. Muhammad Baltaji dari Universiti Kaherah yang membenarkan wanita menjadi Hakim secara mutlak, tanpa kekecualian diterima pakai.

Ini bukan hanya pandangan mereka, bahkan sebelum mereka lagi, kalangan salaf seperti Ali bin Abu Talib dan Sufyan bin ‘Uyainah (dalam satu riwayat), ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Hamad bin Abi Sulaiman (dalam satu riwayat) mempunyai kecenderungan ke arah pandangan yang sama.

Ini disebut oleh Ibnu al-Qayyim dalam al-Turuq al-Hukmiyyah. Ibnu Hazm turut membenarkan walaupun beliau seorang yang bermazhab “Zahiriyyah” yang hanya melihat kepada teks nas. Ini menunjukkan tiada nas syarak yang qatie melarang wanita menjadi hakim. Sekiranya ada dalil pasti Ibnu Hazm akan menentangnya sebagaimana kebiasaan beliau yang mempertahankan nas menurut al-Qaradawi.

Bolehkah doktor jelaskan asas dalam agama suci ini ialah hukum Allah itu kekal bukannya hakim yang memutuskannya?

DR. JUANDA: Persoalan ini memerlukan penjelasan yang panjang lebar dan saya rasa ruang ini bukanlah tempatnya. Memadai saya ungkapkan pandangan ulama mazhab al-Syafie yang terkenal iaitu Al-Sha’rani dalam al-Mizan al-Kubra 2: 205 yang mengulas pertikaian pandangan ulama bagi masalah hakim wanita. Beliau menyatakan: “Kita rujukkan perkara ini kepada dua martabat mizan. Yang pertama menyatakan Hakim adalah wakil al-Imam al-‘Azam, mereka sepakat ia mestilah seorang lelaki. Yang kedua dan ketiga menyatakan bahawa menyelesaikan pertikaian adalah termasuk dalam amar makruf nahi munkar dan ia tidak disyaratkan seorang lelaki”.

Yang menjadi asas dalam syariah yang suci ialah “Yang kekal adalah hukum bukan hakim yang memutuskannya.” ... Inilah pandangan-pandangan yang berbeza dan dalilnya. Tetapi apalah daya kita apabila berhadapan dengan pandangan Imam al-Mufassirin dan Shaikh al-Muarrikhin Ibnu Jarir?

Apakah boleh sesiapa menyalahkan kita apabila kita mengikuti pandangan Ibnu Jarir yang membenarkan wanita secara mutlak boleh menjadi Hakim sedangkan asas syariah adalah “Yang kekal adalah hukum bukan hakim yang memutuskannya”.

Kehakiman wanita adalah cabang daripada hak wanita dalam al-wilayah al-’ammah. Sedangkan firman Allah s.w.t datang secara mutlak dalam ayat 71 surah al-Taubah dan tiada sesiapa ada hak untuk menghalang wanita daripada memegang wilayah al-Qada’.

Jadi, kesimpulannya bolehkah kita melantik wanita sebagai hakim atau pemimpin?

DR. JUANDA: Kesimpulannya, tiada nas yang qat’ie melarang pelantikan hakim wanita. Hatta al-Nawawi, Ibnu Abdul Salam dan al-Sharbini dari kalangan al-Shafi’eyah menyatakan bahawa sekiranya pemerintah yang mempunyai kuasa telah melantik wanita sebagai hakim maka hukuman dia boleh dijalankan.

Ini membuktikan tiada nas sareh yang melarang. Nas syarak juga menunjukkan bahawa tiada suatu bentuk khusus bagi mengendalikan mahkamah ditetapkan, yang ada hanyalah arahan umum untuk berlaku adil dalam hukuman.

Ia diserahkan kepada para mujtahid pada zamannya. Apa yang lebih jelas, jawatan hakim bukanlah lebih penting daripada jawatan fatwa dalam agama yang memerlukan proses berijtihad hukum, menaqalkan nas dan meriwayatkannya kepada manusia. Sedangkan semua ini telah dilakukan oleh wanita sejak zaman sahabat tanpa dinafikan. Bahkan sebahagiannya dilakukan dengan perintah Nabi s.a.w kepada sebahagian sahabatnya, sebagaimana dinukilkan oleh al-Syafie dalam al-Risalah.
----------------
sumber: utusanonline

Ahad, 4 Julai 2010

Himpunan Tak Nak Judi 3 Julai

0 komen pembaca

 Tahniah anak muda! Kerana yang majoriti hadir adalah anak muda!

Alhamdulillah, terlepas dah dari dosa dengan tidak mendiamkan kemungkaran yang berlaku depan mata. Tentu, berkata benar kepada pemerintah yang zalim (zalim terhadap hukum Islam dgn menghalalkan judi yg haram) adalah satu jihad yang besar. Berkata benar di hadapan pemerintah zalim adalah sebaik- baik jihad.

Alhamdulillah, aku sudah melaksanakan tanggungjawab. Setidaknya dah terlepas soalan di akhirat kelak pabila ditanya apakah tindakan kamu yang melihat kemungkaran. Menyesal lah sesiapa yang ada peluang mengubah kemungkaran tapi tidak berbuat begitu.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud;
“Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman.”
 
Seseorang itu jika melihat kemungkaran berlaku di hadapan matanya, sekiranya boleh diubah dengan tangan, maka gunakanlah ia, jika berkuasa berbuat demikian.

Sebagai contoh sekiranya benda itu layak dibakar api atau dihancurkan, maka benda itu perlulah dilakukan demikian selepas ditegur dengan lidah, kemungkaran itu tetap tidak berubah dengan syarat jangan membawa fitnah yang lebih besar.

Demo ni bolehlah kata cegah kemungkaran dengan lidah.


Presiden Gamis, Saudara Idris
 




Polemik Negara Islam: Adakah Nik Aziz Berbalah dengan Karpal?

0 komen pembaca
Aziz: Hentikan debat negara Islam, lebih rugi dari untung

July 04, 2010

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Debat mengenai negara Islam dan negara sekular tidak perlu dibangkitkan kerana polemik itu tidak akan menguntungkan sesiapapun, sebaliknya hanya mengelirukan umat Islam dan menakutkan bukan Islam, kata penganalisis politik Prof Aziz Bari.

Oleh itu menurut Aziz, semua orang harus berhenti dari bercakap tentang negara Islam kerana berpendapat orang Islam tidak akan jatuh kafir hanya kerana tidak bercakap tentang negara Islam.

“Tetapi bagi orang politik mereka lain, bagi mereka ini soal prinsip.

“Orang politik dari parti mana puan asyik prinsip saja. Atau pun mereka bertindak demikian kerana takut nanti orang tanya kenapa tidak persoal tentang perkara itu (negara Islam).

“Ini sebenarnya masalah antara Karpal dan Nik Aziz tadi,” kata dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gamabar) berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat termasuk DAP.

Sehubungan itu beliau mahu Pengerusi DAP Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Menteri Besar Kelantan itu menganggap kenyataan Karpal, Pengerusi DAP yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika Pakatan Rakyat dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider minggu lalu Karpal mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.

“Ia sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia,” kata ahli politik veteran ini kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, setakat ini Nik Aziz berkata beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.

Aziz, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa menambah, ahli-ahli politik hanya mempertahankan sesuatu perkara yang telah diulang-ulang selama ini.

“Jika mereka tidak sentiasa bercakap tentang perkara negara Islam, nanti orang akan persoal dia,” tambah Aziz.

Kata beliau, wacana negara Islam sebenarnya lebih banyak merugikan dari menguntungkan negara.

“Lebih baik kita tonjolkan perkara lebih berguna kepada masyarakat yang mana mereka boleh merasai kesannya seperti perbankan Islam, kebajikan, pendidikan Islam dan sistem Al-Rahnu. Itu rakyat terima.

“Namun dalam soal negara Islam siapa pun pihak yang bercakap sama ada PAS atau Umno akan terperangkap.

“Sampai sekarang MCA dan Gerakan asyik dipersalahkan kerana sebelum ini banyak berdiam diri dalam isu negara Islam,” katanya lagi.

Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara yang cukup rapat dengan Islam berdasarkan sejarahnya, kata Aziz, Perlembagaan Persekutuan hanya mengesahkan apa yang telah termaktub tentang kedudukan Islam.

“Tidak perlu dibangkitkan lagi kerana ia akan hanya merugikan kita semua.

“Tetapi masalah orang seperti Karpal, Majlis Peguam dan sebagainya tidak mahu mengiktiraf perkara ini dan mereka lihat seolah-olah perkara ini nak paksa mereka ikut,” kata Aziz.

Kata Aziz lagi, “namun kita sebagai orang Islam perlu fikir juga tentang kedudukan orang bukan Islam supaya kita boleh berkongsi hidup dengan selesa sesama kita dan ia juga menjadi aktiviti dakwah yang penting.”

“Bagi saya berhentilah berdebat dalam soal negara Islam kerana sekarang ini kita sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik walaupun kita negara Islam.

“Siapa yang ramai terlibat dalam dadah, buang anak dan sebagainya.

“Tumpukah kepada perkara bagaimana mahu menyelesaikan masalah seperti ini yang akhirnya menuntut kita menjadi umat lebih baik dan dihormati,” kata beliau.

Aziz menambah sekarang ini orang bukan Islam tidak faham tentang negara Islam dan mereka tidak mahu bersama sedangkan kalau dari praktikalnya orang bukan Islam ini boleh bersama jika kita betul menunjukkan contoh sebab Islam itu untuk semua.

Dalam temu bual itu beliau mengulas tentang pendirian Karpal mengenai isu negara Islam.

Kata Aziz, Karpal dan Nik Aziz berbalah dari sudut yang berlainan.

“Karpal macam biasa bercakap tentang soal negara Islam, Perlembagaan, negara sekular dan sebagainya manakala Nik Aziz pula bercakap tentang negara Islam.

“Jelas mereka bercakap dua perkara berbeza. Seorang bercakap mengenai agama sebagai satu sistem hidup dan seorang lagi bercakap perkara yang bertentangan.

“Begitu juga dalam soal Datuk Ibrahim Ali dengan (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin. Khairy tidak bersetuju dengan perjuangan Perkasa manakala bagi Ibrahim itu merupakan perjuangan dan survival Melayu.

“Oleh itu kita tidak perlu terlalu terkejut tentang pertelingkahan antara Karpal dan Nik Aziz apatah lagi mereka bercakap tentang perkara atau dasar bersama yang tidak ada dalam pakatan pembangkang,” katanya.


Aziz seterusnya memberitahu beliau berpandangan Karpal tidak menyebut perkara itu dengan jelas, cumanya hanya menjawab soalan wartawan.

“Maka sebagai ahli politik dia perlu konsisten dan konsistensi itu makin lama makin janggal.

“Ini kerana orang DAP sendiri sudah tidak membangkitkan perkara itu malah ia semakin kurang disebut dalam pakatan pembangkang,” katanya.

Namun sehingga kini kata beliau, Karpal masih tidak berubah pendiriannya.

“Kalau kita lihat MCA dan Tan Sri Bernard Dompok juga tidak setuju dengan negara Islam dan ini pasti dilihat tidak selari dengan kerajaan.

“Kalau ada yang tidak setuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan mendakwa negara ini sebagai sekular ia umpama membohongi diri sendiri.

“Jika dilihat secara jelas Perlembagaan dalam Perkara 3(1) sudah tercatat, agama bagi Persekutuan adalah Islam,” katanya lagi.

Oleh itu soal beliau, buat apa kita hendak tafsir banyak-banyak?

“Malah saya tidak nampak kenapa kita perlu rujuk kepada Suruhanjaya Reid dan lain-lain.

“Kita hanya merujuk jika sesuatu perkara itu tidak jelas namun perkara tentang negara Islam ini sudah jelas termaktub, maka cukuplah sandiwara ini.

“Kalau kita lihat lebih jauh siapa sebenarnya yang membuat draf Perlembagaan ini, Suruhanjaya Reid. Tapi suruhanjaya itu tidak ada menyebut apa-apa tentang kedudukan Islam,” katanya.

Malah kata beliau, mereka tidak ada memberikan apa-apa cadangan dan hanya berdiam diri sahaja.- MalaysianInsider